Pengarang tidak menyebut langsung perkaitan antara negeri
Kedah dengan negeri Perak dan Patani tetapi menggambarkan wujudnya pertalian
yang erat antara negeri Kedah dengan negeri Siam. Pengarang menceritakan
bagaimana bermulanya tradisi penghantaran bunga emas dan bunga perak oleh
negeri Kedah kepada Siam bila Raja Seri Mahawangsa (Raja Kedah yang ketiga)
mendapat berita kekanda sulungnya Raja Siam mendapat putera. Terus raja Kedah
memerintahkan supaya tradisi menghantar bunga emas itu diteruskan hingga ke
akhir zaman setiap kali mendapat putera.
Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah puteranya, Raja Seri
Maha Inderawangsa menentang perintahnya dan berkahwin dengan puteri bangsa
gergasi. Perkahwinan inilah yang melahirkan Raja Bersiung, raja yang paling
terkenal dalam hikayat ini. Raja Ong Maha Perita Deria atau lebih terkenal
sebagai Raja Bersiung menjadi seorang Raja yang zalim terhadap rakyatnya
sendiri dan tersingkir dari takhta. Baginda diganti oleh puteranya yang
bergelar Raja Phra Ong Mahaputisat yang digantikan pula oleh puteranya, Raja
Phra Ong Mahawangsa.
Dalam zaman pemerintahan Raja Phra Ong Mahawangsalah,
negeri Kedah menerima Islam yang dibawa oleh Syeikh Abdullah. Baginda merupakan
raja Kedah pertama memeluk Islam dan menukar namanya kepada Sultan Mudzaffar
(sic Muzaffar) Syah. Setelah selesai meletakkan asas keislaman di negeri itu,
Syeikh Abdullah pulang ke Baghdad. Sultan Mudzalfal Syah diganti oleh puteranya
bergelar Sultan Mu'azzam Syah. Hikayat diakhiri dengan jurai keturunan
raja-raja yang memerintah Kedah hingga ke Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah, raja
yang memerintah semasa hikayat ini disalin kali terakhir.
Jelas kelihatan bahawa hikayat ini dikarang selepas
ketibaan Islam dan pengarang banyak memberi perhatian kepada
peristiwa-peristiwa tertentu yang menyerlahkan asal-usul rajanya, pertalian
dengan Siam yang menceritakan mengikut kebijaksanaan pengarang untuk menjaga
kedaulatan raja dan negerinya, kisah kedatangan Islam yang sengaja dikemukakan
berbeza dengan kedatangan Islam ke Pasai dalam Hikayat Raja Pasai dan
kedatangan Islam ke Melaka dalam Sulalat al Salatin (Sejarah Melayu) dan
lain-lain peristiwa. Ini membuktikan bahawa hikayat ini dikarang secara sedar
oleh pengarangnya dengan tujuan mengagungkan kedaulatan raja dan negerinya.
Sumber : http://www.mykedah2.com/10heritage/111_3.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum. Dah baca kandungan, boleh tinggalkan komen. Terima kasih.