Isnin, 14 April 2014

RETORIK DAN GAYA BAHASA MELAYU KLASIK


PENDAHULUAN

Seni retorik dan gaya bahasa merujuk kepada seni pemakaian dan penggunaan bahasa dalam sesebuah karya agung. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010 :1326), retorik boleh didefinisikan sebagai kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan atau pertuturan. Tujuan adanya seni retorik dan gaya bahasa ini adalah untuk menjadikan sebuah karya itu menarik dan indah untuk mempengaruhidan meyakinkan para pembaca. Retorik turut berkaitan dengan seni memilih perkataan, memilih susunan ayat dan menggunakan bunga-bunga bahasa. Berikut adalah peneltian terhadap Bustan al-Katibin mengenai Retorik Dan Gaya Bahasa Melayu Klasik berdasarkan empat ciri. Ciri-ciri tersebut ialah konsep retorik Melayu klasik, bentuk binaan ayat, frasa dan klausa dan pengaruh bahasa asing yang digunakan oleh pengarang.

KARYA PILIHAN: BUSTAN AL-KATIBIN

Bustan al-Katibin atau judul lengkapnya, Bustanul Katibin Iish Shibyanil Muta’allimin merupakan sebuah karya bahasa Melayu paling awal yang dikarang oleh seorang ilmuwan dan budayawan Melayu terulung, iaitu Raja Ali Haji. Karya ini selesai dikarang pada 15 September 1850.

Beliau menekankan bahawa mempelajari bahasa bukan sekadar mengetahui peraturan nahu, susunan ayat, struktur kata, sistem bunyi dan ejaannya sahaja tetapi ilmu yang terkandung di dalamnya perlu dipelajari dan diketahui oleh orang Melayu. Bahasa dikatakan bertindak sebagai suatu alat dalam sistem pemikiran yang digunakan secara kreatif oleh manusia untuk mencapai ilmu yang benar dan yakin tentang alam ciptaan Allah SWT. Pembelajaran bahasa Melayu mampu melahirkan penutur yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi fasih bercakap dengan budi bahasa dan adab sopan yang mutlak dengan ilmu sahih dan benar.

Bahasa juga dapat melambangkan budaya, nilai, akal budi dan budi pekerti sosial dan moral bangsa Melayu. Perlambangan itulah yang dikatakan sebagai ‘isi’ sesuatu bahasa itu, bukan sekadar ‘struktur’ fizikal sesuatu bahasa. Keistimewaan Raja Ali Haji ialah beliau telah meletakkan tradisi pengajian bahasa Melayu berdasarkan maksud dan matlamat pengajian bahasa yang telah digariskan dalam pengajian Islam. Dalam Islam, pengajian sesuatu bahasa merupakan suatu bentuk ilmu untuk mencapai makrifat, iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudan alam dan memperteguhkan keimanan dan ketaqwaan. Pengajian bahasa tersebut merangkumi ilmu-ilmu seperti ilmu nahu (sintaksis), saraf(morfologi), qawa’id (tatabahasa), mantiq (logik), balaghah (retorik), istidlal(pendalilan), kalam (penghujahan) dan sebagainya.

Bustan al-Katibin terdiri daripada tiga bahagian, iaitu bahagian Mukadimah atau pendahuluan, bahagian Fasal yang mengandungi 30 fasal kesemuanya dan bahagian Khatimah, iaitu bahagian penutup.

Bahagian Mukadimah membincangkan tentang kelebihan ilmu, akal, adab dan budi bahasa. Bahagian Fasal    pula dibahagikan seperti berikut:

Fasal 1- Fasal 9 : Huraian tentang peraturan ejaan Jawi bahasa Melayu (30 abjad daripada bahasa Arab dengan tambahan empat abjad, iaitu ca, ga, nga dan nya).

Fasal 10- Fasal 13 : Huraian tentang kelas kata yang terbahagi kepada tiga golongan (kelas kata isim, iaitu kata nama, kelas kata fi’il iaitu kata kerja, kelas kata harf, iaitu kata partikel).

Fasal 14 dan Fasal 15: Huraian tentang unit tatabahasa, iaitu ayat/klausa, frasa dan perkataan yang diistilahkan oleh pengarang sebagai perkataan-perkataan, kata-kata dan kata.

Fasal 16- Fasal 28 : Huraian tentang binaan sintaksis.

Fasal 29 : Huraian tentang prinsip dan peraturan menusun perkataan dalam membuat karangan.

Fasal 30 : Sambungan prinsip dan peraturan membuat karangan dan huraian tentang kaedah membuat surat kiriman.

Bahagian Khatimah atau bahagian penutup pula mengandungi tiga pesanan daripada Raja Ali Haji. Pesanan pertama ditujukan kepada para penuntut supaya sentiasa mematuhi adab, syarat dan peraturan menuntut ilmu. Pesanan kedua pula ditujukan kepada para guru. Para guru perlulah mengajar secara tertib mengikut susunan bab dan fasal. Pesanan terakhir ditujukan kepada para penyalin kitab tersebut supaya tidak mengurangkan atau melebih-lebihkan isi kandungan yang terkandung dalam kitab.

SIFAT FIZIKAL KITAB BUSTAN AL-KATIBIN

Sifat fizikal kitab ini merangkumi dua aspek, iaitu:

(i) aspek penjilidan
(ii) aspek reka bentuk dalaman teks

Aspek penjilidan melibatkan ciri kulit buku atau kitab dan tulang belakang kitab. Kulit buku atau kitab ini diperbuat daripada kulit asli (bonded leather). Kulit kitab tersebut juga dihiasi dengan corak kerawang (deboss) di hadapan dan di belakang kulit kitab. Kitab tersebut dijilid dengan benang yang dijahit ke atas kulit dan kertas kitab tersebut. Tulang belakang kitab pula beralur sendi antara bahagian tersebut dengan kulit hadapan dengan kulit belakang. Terdapat perada emas di bahagian pinggir buku. Pada bahagian atas dan bawah buku mempunyai head band dan reben disediakan sebagai penanda buku.

Aspek kedua dalam sifat fizikal kitab adalah aspek reka bentuk dalaman teks. Reka bentuk dalaman teks merangkumi jenis kertas yang bersifat long life. Jenis kertas ini adalah kertas yang bebas asid. Teks dalam kitab ini pula terbahagi kepada dua, iaitu teks tulisan Rumi dan teks tulisn Jawi. Kedua-dua teks ini dihiasi dengan kerawang di sekeliling teks.

KONSEP RETORIK MELAYU KLASIK
Retorik berasal daripada perkataan Yunani ‘rethor’ yang membawa maksud pidato. Konsep retorik dalam konteks moden ialah seni penggunaan bahasa tulisan utau lisan yang membabitkan penyampaian fakta atau idea dengan menggunakan bahasa yang menarik dan berkesan berdasarkan pengetahuan yang tersusun baik.  Retorik melayu klasik sama seperti retorik moden kerana ia turut melibatkan analisis teks tulisan dan visual.

Dua aspek penting tentang retorik ialah pengetahuan tentang bahasa dan penggunaan bahasa yang baik dan pengetahuan tentang sesuatu perkara yang akan disampaikan menggunakan bahasa. Retorik mempunyai ciri-ciri umum seperti mempunyai bahasa, pemikiran dan perasaan yang tepat dan baik dalam penulisan atau gaya lisan. Ia juga memerlukan kekemasan dan wacana yang tersusun. Penghasilan retorik yang berkesan perlu melibatkan penggunaan satu daripada empat corak wacana, iaitu pemerian, pendedahan, penghujahan dan penceritaan.

Retorik melayu klasik yang terkandung dalam kitab Bustan al-Katibin dilihat daripada penyampaian ilmu bahasa dengan menggunakan bahasa Melayu klasik. Pemakaian bahasa tersebut merupakan ciri yang ditonjolkan dalam karya agung tersebut selain daripada penggunaan bahasa asing seperti bahasa Arab.

BENTUK BINAAN AYAT

Pengarang Bustan al-Katibin iaitu Raja Ali Haji menggunakan ayat yang panjang atau berbelit atau berulang, penggunaan ayat pasif dan songsang, penggunaan perdu perkataan atau kata pangkal ayat dan kata partikel dalam karya beliau.

Penggunaan ayat yang panjang, berbelit atau berulang terdapat dalam karya ini. Pengarang gemar menggunakan ayat yang panjang dalam penulisan beliau. Sebagai contoh boleh dilihat pada Fasal 11 (Bustan al-Katibin, 2005 : 26):

Adapun nama itu, nama tiap-tiap sesuatu seperti nama barang yang di atas seperti langit dan matahari dan bulan dan bintang dan pengawak dan awan dan mega, atau barang yang di bawah seperti bumi dan tanah dan bukit dan sekalian haiwan daripada nama manusia dan nama binatang, ya’ni sekalian haiwan, dan nama batu dan kayu dan tumbuh-tumbuhan dan nama alat segala pe(r)kakas dan pakaian dan nama makanan dan minuman dan nama segala ubat-ubatan dan nama segala ba[h]u-ba[h]uan dan nama segala kenderaan dan nama segala permainannya.

Selain itu, Raja Ali Haji turut menggunakan ayat pasif atau songsang dalam Bustan al-Katibin dan boleh dikatakan hampir keseluruhan penulisan ini menggunakan ayat pasif atau songsang. Hal ini kerana Bustan al-Katibin merupakan karya yang mempunyai ciri-ciri penggunaan bahasa sastera klasik. Antara contoh penggunaan ayat pasif atau songsang dalam karya ini ialah pada Fasal (10), halaman 25:

Bermula yang diperbuat perkataannya itu tiadalah sunyi ia daripada tiga perkara.

Munculnya sesuatu perkataan itu telah diketahui tentang tiga perkara tersebut.

Raja Ali Haji juga menyelitkan penggunaan kata pangkal ayat atau perdu perkataan dalam penulisan beliau. Kata pangkal ayat termasuklah penggunaan perkataan syahadan, alkisah, dan sebermula. Contoh penggunaan kata pangkal ayat boleh dilihat pada bahagian Muqaddimah iaitu pada halaman 4:

Syahadan jika demikian nyatalah apabila tiada ‘ilmu dan ‘akal, ‘alamat tiadalah ia mencium ba[h]u kemuliaan dan sangatlah jinak kehinaan kepadanya, maka terbukalah pintunya, maka masuklah kehinaan itu pada tiap-tiap pintu itu.

Di samping itu, penggunaan kata partikel turut dimasukkan oleh pengarang Bustan al-Katibin. Penggunaan kata partikel ini boleh dikatakan banyak terdapat dalam karya ini. Kata partikel termasuklah –lah dan –pun. Antara contoh kata partikel yang digunakan dalam karya ini boleh dilihat pada bahagian Muqaddimah halaman 10 :

Syahadan telah engkau ketahui apalah bagi segala perkara yang lima seperti yang tersebut dahulu itu, iaitulah yang menegahkan sekaliannya kita akan mendapat ‘ilmu itu.

FRASA DAN KLAUSA

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 417), frasa boleh didefiniskan sebagai kumpulan kata yang membentuk unit sintaksis sesuatu bahasa. Klausa pula ditakrifkan sebagai unit yang merupakan rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat yang menjadi konstituen atau bahagian kepada ayat (Kamus Dewan Edisi Keempat 2010 : 798).

Frasa dan klausa yang digunakan dalam kitab Bustan al-Katibin tidak sama binaannya seperti penggunaannya dalam bahasa Melayu moden. Binaannya tidak dapat ditentukan kerana ayat yang dibina merupakan ayat bahasa Melayu klasik yang panjang dna berbelit-belit.

Walaupun binaannya dalam bahasa Melayu klasik, isi perbincangan dalam kitab ini ada  membincangkan tentang aspek perkataan-perkataan, kata-kata dan kata. Huraian tentang unit-unit tatabahasa ini diterangkan dalam Fasal 14 dan Fasal 15. Perkataan-perkataan merujuk kepada ayat atau klausa. Istilah kata-kata pula merujuk kepada frasa, manakala istilah perkataan bererti perkataan. 

Perkataan-perkataan (ayat/klausa) merupakan didefinisikan sebagai lafaz yang memberikan faedah. Contoh yang diberikan dalam teks kitab Bustan al-Katibin adalah “Berdirilah engkau” yang membawa maksud menyuruh seseorang untuk bangun. Istilah kata-kata yang merujuk kepada frasa pula merupakan kata-kata yang hadir selepas perkataan-perkataan dan ianya melengkapi perkataan tersebut. Contohnya “Si Zaid itu berdirikah ia atau dudukkah ia”. Perkataan tersebut akan menjadi sempurna apabila dijawab dengan “Si Zaid berdiri”.

PENGARUH BAHASA ASING

Pengaruh bahasa asing dalam kitab Bustan al-Katibin dapat dilihat dengan jelas apabila pengarangnya, Raja Ali Haji banyak menggunakan istilah-istilah Arab dalam penulisannya. Pengaruh bahasa Arab dalam penulisan beliau mungkin disebabkan oleh latar belakang pendidikannya yang telah mendalami ilmu pengetahuan di Makkah.

Seluruh huraian dalam kitab tersebut yang berkaitan ilmu bahasa Melayu adalah berdasarkan kaedah huraian dan konsep tatabahasa Arab. Istilah-istilah yang digunakan juga dipinjam secara langsung daripada bahasa Arab. Contoh penggunaan bahasa Arab dalam penulisan kitab ini dapat dilihat daripada bab permulaan lagi.

Raja Ali Haji telah memulakan bahagian Muqaddimah atau pendahuluan dengan ayat Fifadhilati al-‘ilmu wa ‘l-‘aqlu yang bermaksud pendahuluan ini menyatakan tentang kelebihan ilmu dan akal. Selain itu, beliau juga menyatakan hadith Rasulullah SAW yang berbunyi Kama qala ‘ n-Nabiyi sallal-Lahu’alaihi wa sallam man yarda ‘l-Lahu bihi khairan yafqahahu fi’d-din yang membawa pengertian “Barangsiapa dikehendaki Allah untuk membuat kebaikan, maka ia diberi pemahaman kepada ilmu agama” (Bustan al-Katibin, 2005: 4).

Penggunaan kata Arab juga dapat dilihat dalam penyataan lima syarat keberhasilan ilmu yang merangkumi al-himmat, al-mudarasah, al-muhafazat, muzakarah danmutala’at. Al-himmat merujuk kepada kesungguhan untuk mendapatkan ilmu. Al-mudarasah pula bererti kuat menderas atau mengulang ilmu yang sudah diperoleh. Syarat ketiga, al-muhafazat bermaksud ilmu-ilmu yang diperoleh hendaklah dihafaz.Muzakarah yang merupakan syarat keempat bererti menyebut-nyebut ilmu itu kepada orang lain agar sentiasa saling mengingati. Syarat yang terakhir merupakan mutala’atyang merujuk kepada menilik ilmu yang dikaji dan memikirkan maknanya (Bustan al-Katibin, 2005: 5-6).

Penggunaan kata Arab juga digunakan untuk merujuk kepada kata nama, kata kerja dan kata partikel. Kata-kata tersebut diterangkan dalam Fasal 10 hingga Fasal 13. Kata Arab yang merujuk kepada kata nama adalah isim, kata kerja (fi’il) dan kata partikel dirujuk sebagai harf. Bukti penggunaan bahasa Arab dinyatakan seperti berikut:

Pertama, pada bahasa ‘Arab isim yakni nama, dan kedua, fi’il yakni perbuatan, dan ketiga harf.  (Bustan al-Katibin, 2005: 26-26)

PENUTUP

Bustan al-Katibin yang dikarang oleh Raja Ali Haji merupakan karya awal mengenai tatabahasa bahasa Melayu yang telah membolehkan pembaca untuk mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada peringkat awal pembinaan. Bustan al-Katibin mengandungi perbincangan kepentingan mempelajari bahasa dan huraian dalam konteks bahasa pula luas dan mendalam. Karya ini juga membincangkan aspek ilmu yang terkandung dalam bahasa Melayu yang sesuai bukan hanya untuk pembacaan pada zaman tersebut tetapi masih bermanfaat sehingga sekarang sebagai bahan untuk dikaji dan dibaca. Empat ciri yang terkandung dalam Seni Retorik dan Gaya Bahasa yang dimasukkan oleh pengarang Bustan al-Katibin ialah konsep retorik klasik, bentuk binaan ayat, frasa dan klausa, dan pengaruh bahasa asing. Pengarang menggunakan ayat yang panjang atau berbelit, ayat pasif atau songsang, kata pangkal ayat, kata partikel, pengaruh bahasa Arab dan retorik Melayu klasik dalam Bustan al-Katibin. Bustan al-Katibin secara keseluruhannya merupakan satu karya agung yang mempunyai nilai estetika tersendiri dan boleh digunakan sebagai rujukan untuk membuat kajian sama ada dari segi kandungan atau nilainya.

SUMBER :

Hashim Musa (2005). Bustan al-katibin. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan

Nik Safiah Karim (2010). Tatabahasa bahasa melayu: daripada Bustan al-Katibin kepada tatabahasa dewan. Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan Akademi Pengajian Melayu, UM

http://kumpulan5kac.blogspot.com/2013/05/retorik-dan-gaya-bahasa-melayu-klasik.html

DEFINISI KARYA AGUNG


KARYA AGUNG

Karya Agung ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Kita mengenal tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.


KARYA AGUNG MELAYU

Karya Agung Melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi sastera ini. Karya Agung Melayu bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu Brunei, atau orang Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang menghasilkan karya itu. Dari segi ini sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira di manakah daerah asalnya di Dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-menurun.


KARYA AGUNG DUNIA MELAYU

Karya Agung Dunia Melayu dimaksudkan kepada karya agung di kawasan Dunia Melayu yang terdapat dalam bahasa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang lain. Terdapat banyak karya dalam bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam bangsa berkenaan sebagai karya agung, antaranya Nagarakertagama atau Serat Centhini yang ditulis dalam bahasa Jawa, atau I la Galigo yang ditulis dalam bahasa Bugis. Karya-karya yang seperti ini jika sesuai dengan takrif Yayasan, boleh diterima sebagai Karya Agung Dunia Melayu dan bolehlah dimasukkan ke dalam rancangan Yayasaan untuk dikaji, diperkenalkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu melalui terjemahan.



SUMBER : www.yayasankaryawan.com

HIKAYAT POCUT MUHAMMAD

      Hikayat Pocut Muhammad ini semula berasal dari sebuah naskah koleksi Museum Banda Aceh yang kemudian disunting oleh Drs. Ramli Harun dan diterbitkan oleh Proyek Penerbitan Buku Sastra Indonesia dan Daerah, Departemen Pendidikan dan Kebudayaan, 1981.

      Secara ringkas hikayat ini mengisahkan keadaan Negeri Aceh pada masa pemerintahan Raja Muda, putera pertama Sultan Alaudin. Raja Muda mempunyai adik tiga orang, yaitu Pocut Keling, Pocut Sandang dan Pocut Muhammad. Pada masa pemerintahan Raja Muda, keadaan negeri sangat kacau. Hukum dan adat tidak terpelihara, Bajak laut merajalela, bahkan ada sebagian orang berpendapat bahwa pada waktu itu di Aceh tidak ada hukum lagi.

      Keadaan negeri yang tidak menentu dan kacau balau itu sebenarnya disebabkan ulah seorang keturunan Arab bernama Jamaloialam yang berkuasa di Gampong Jawa, yaitu kawasan Bandar Aceh yang banyak menghasilkan bea masuk. Jamaloialam menjadi penguasa di Gampong Jawa ini sejak pemerintahan Sultan Alaudin, ayah Raja Muda. Melihat kepemimpinan Raja Muda yang lemah, Pocut Muhammad tidak senang. Ia melihat negeri seolah-olah dikuasai oleh dua orang: Raja Muda berkuasa di Keraton dan Jamaloialam berkuasa di Gampong Jawa. Dengan dukungan kedua kakaknya, Pocut Keling dan Pocut Sandang, maka Pocut Muhammad berniat menyerang Gampong Jawa. Rencana ini diketahui oleh Raja Muda sehingga adiknya diingatkan akan pesan ayahnya agar tidak menyerang Jamaloialam. Selain itu Raja Muda juga melarang semua hulubalang membantu Pocut Muhammad.

      Dalam upaya mewujudkan cita-citanya itu, Pocut Muhammad mencari dukungan rakyat. Ia pergi ke Pidie. Dalam perjalanannya ke Pidie, ia singgah di Cot Peukan Tuha. Di tempat ini ia mendapat dukungan hulubalang dari daerah Meuntroe dan Bentara. Tokoh daerah ini yang membantu perjuangannya, diantaranya ialah Pangulee Peunaroe alias Bentara Keumangan; seorang tokoh yang dalam perang Glumpangan Payong pernah diselamatkan nyawanya oleh Jamaloialam. Di daerah Timur, yaitu di Awe Geutah, Langsa dan Pasi Puteh, Pocut Muhammad juga mendapat dukungan besar dari tokoh-tokoh daerah itu.

      Mengetahui daerah kekuasaannya akan diserang, Jamaloialam meminta bantuan dari Kuala Meulaboh, Sinagan, Bubon dan Ranto Seumayam. Bahkan Jamaloialam meminta bantuan dari negeri Batak. Setelah kedua belah pihak mempersiapkan pasukannya, perang pecah dengan dahsyatnya. Meriam Lada Sicupak milik pasukan Pocut Muhammad berlaga dengan meriam Jeura Hitam dari Gampong Jawa. Satu demi satu benteng Jamaloialam, seperti: benteng Peumayong, benteng Meuraksa, benteng Gampong Pang, benteng Kuala, benteng Gampong Pande dan benteng Neujit diruntuhkan. Jamaloialam kalah dan melarikan diri ke Lam Baro. Seusai perang, Raja Muda tetap berkuasa di Banda Aceh dengan memperoleh sebagian hasil pelabuhan yang sebelumnya diperoleh Jamaloialam. Pocut Muhammad menikah dengan seorang puteri dari Lam Bhuk.

      Dilihat secara sepintas, tema yang terkandung dalam Hikayat Pocut Muhammad merupakan tema yang banyak dijumpai pada hikayat yang lain, yaitu tema kepahlawanan. Jika disimak dengan saksama ada beberapa hal yang patutu diungkapkan dari hikayat ini, yakni (1) keberanian Pocut Muhammad untuk mengubah “kezaliman” yang diamanatkan oleh ayahnya, Sultan Alaudin, agar tidak mengganggu gugat kekuasaan Jamaloialam yang pernah berjasa terhadap negada dan (2) keberanian Bentara Keumangan untuk membedakan antara budi baik dan kezaliman.


      Sebagai seorang anak raja, Pocut Muhammad tentunya akan berupaya berbakti kepada almarhum ayahnya, tetapi ia menyadari bahwa berbakti kepada orangtua dengan mengorbankan negara dan rakyat merupakan perbuatan yang keliru. Keadaan Banda Aceh yang kacau, tanpa hukum dan yang berlaku hukum rimba; siapa yang kuat adalah yang berkuasa, mengusik hati Pocut Muhammad untuk memperbaiki keadaan itu. Memang korban jiwa tidak dapat dihindari dalam peperangan di antara kedua pihak tersebut. Namun akhirnya tatanan kehidupan bernegara dapat ditegakkan kembali di Banda Aceh setelah kekalahan Jamaloialam. Demikian pula halnya dengan Bentara Keumangan yang telah berbuat serupa seperti apa yang dilakukan oleh Pocut Muhammad. Bahkan keputusan Bentara Keumangan untuk memerangi orang yang telah menolong jiwanya, Jamaloialam yang akhirnya telah berbuat sewenang-wenang, patut mendapat nilai tersendiri. Dalam hal ini tampak bahwa Bentara Keumangan lebih mementingkan keselamatan negara dan rakyat banyak daripada hanya sekedar mengenang budi baik, walaupun akhirnya ia harus menebus keberaniannya dengan nyawanya. Dengan demikian, dalam Hikayat Pocut Muhammad, dapat dijumpai dua tokoh yang memiliki wawasan, keteguhan hati dan keberanian yang sama, yang rela mengorbankan kepentingan pribadinya untuk kepentingan masyarakat.


Sumber : http://uun-halimah.blogspot.com/2008/07/hikayat-pocut-muhammad.html

Serat Chentini

      Serat Centhini disusun berdasarkan kisah perjalanan putra-putri Sunan Giri setelah dikalahkan oleh Pangeran Pekik dari Surabaya, ipar Sultan Agung dari Kerajaan Mataram. Kisah dimulai setelah tiga putra Sunan Giri berpencar meninggalkan tanah mereka untuk melakukan perkelanaan, karena kekuasaan Giri telah dihancurkan oleh Mataram. Mereka adalah Jayengresmi, Jayengraga/Jayengsari, dan seorang putri bernama Ken Rancangkapti.

     Jayengresmi, dengan diikuti oleh dua santri bernama Gathak dan Gathuk, melakukan "perjalanan spiritual" ke sekitar keraton Majapahit, Blitar, Gamprang, hutan Lodhaya, Tuban, Bojonegoro, hutan Bagor, Gambirlaya, Gunung Padham, desa Dhandher, Kasanga, Sela, Gubug Merapi, Gunung Prawata, Demak, Gunung Muria, Pekalongan, Gunung Panegaran, Gunung Mandhalawangi, Tanah Pasundan, Bogor, bekas keraton Pajajaran, Gunung Salak, dan kemudian tiba di Karang.

      Dalam perjalanan ini, Jayengresmi mengalami "pendewasaan spiritual", karena bertemu dengan sejumlah guru, tokoh-tokoh gaib dalam mitos Jawa kuno, dan sejumlah juru kunci makam-makam keramat di tanah Jawa. Dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh itu, dia belajar mengenai segala macam pengetahuan dalam khazanah kebudayaan Jawa, mulai dari candi, makna suara burung gagak dan prenjak, khasiat burung pelatuk, petunjuk pembuatan kain lurik, pilihan waktu berhubungan seksual, perhitungan tanggal, hingga ke kisah Syekh Siti Jenar. Pengalaman dan peningkatan kebijaksanaannya ini membuatnya kemudian dikenal dengan sebutan Seh (Syekh) Amongraga. Dalam perjalanan tersebut, Syekh Amongraga berjumpa dengan Ni Ken Tambangraras yang menjadi istrinya, serta pembantunya Ni Centhini, yang juga turut serta mendengarkan wejangan-wejangannya.

     Jayengsari dan Rancangkapti diiringi santri bernama Buras, berkelana ke Sidacerma, Pasuruan, Ranu Grati, Banyubiru, kaki Gunung Tengger, Malang, Baung, Singhasari, Sanggariti, Tumpang, Kidhal, Pasrepan, Tasari, Gunung Bromo, Ngadisari, Klakah, Kandhangan, Argopuro, Gunung Raung, Banyuwangi, Pekalongan, Gunung Perau, Dieng, sampai ke Sokayasa di kaki Gunung Bisma Banyumas.

      Dalam perjalanan itu mereka berdua mendapatkan pengetahuan mengenai adat-istiadat tanah Jawa, syariat para nabi, kisah Sri Sadana, pengetahuan wudhu, salat, pengetahuan dzat Allah, sifat dan asma-Nya (sifat dua puluh), Hadist Markum, perhitungan slametan orang meninggal, serta perwatakan Pandawa dan Kurawa.


       Setelah melalui perkelanaan yang memakan waktu bertahun-tahun, akhirnya ketiga keturunan Sunan Giri tersebut dapat bertemu kembali dan berkumpul bersama para keluarga dan kawulanya, meskipun hal itu tidak berlangsung terlalu lama karena Syekh Amongraga (Jayengresmi) kemudian melanjutkan perjalanan spiritualnya menuju tingkat yang lebih tinggi lagi, yaitu berpulang dari muka bumi.

Sumber : http://id.wikipedia.org/wiki/Serat_Centhini

Pantun Melayu : Bingkisan Permata

Karya ini menghimpunkan 4000 pantun, puisi istimewa ciptaan orang Melayu. Buku ini memuatkan pelbagai jenis dan bentuk pantun yang meliputi tema dan isi yang luas dan pelbagai. Edisi ini juga menyediakan tiga jenis indeks, iaitu Indeks Baris Pertama, Indeks Maksud dan Indeks Kata Rujuk untuk memudahkan pengguna membuat rujukan.

LATAR BELAKANG PENYELENGGARA PANTUN MELAYU: BINGKISAN PERMATA

Sumbangan Harun Mat Piah dalam pengkajian dan penyelidikan sastera banyak mengarah kepada sastera dan budaya tradisional. Buku-buku, makalah dan kertas-kertas kerja persidangan yang dihasilkan adalah hasil daripada penyelidikan-penyelidikan yang teliti dan bersifat akademik serta sistematik bentuknya. Beliau adalah antara tokoh yang berwibawa dalam kesusasteraan Melayu lama, khususnya puisi Melayu tradisional.

            Anak bongsu daripada lima adik-beradik ini berasal dari Perak dan pendidikan awalnya diterima dari sekolah Melayu, sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (1955-1957). Dengan mengikuti kelas-kelas persendirian di sekolah Inggeris, Harun berjaya memperoleh sijil-sijil MCE (Malaysia Certificate of Education, 1961) dan HSC (Higher Certificate of Education, 1996). Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Bahasa (1963), Maktab Perguruan Ilmu Khas (1965) dalam bidang seni dan kraftangan. Pada tahun 1967, Harun memasuki Universiti Malaya dan tiga tahun kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang linguistik.

            Setelah tamat pengajian universiti, Harun bertugas sebagai Pengetua Sekolah Menengah Inggeris Kuala Kubu Baharu, tetapi khidmatnya tidak lama di situ. Beliau berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di Universiti Malaya dan pada tahun 1973, beliau meraih ijazah tersebut dalam bidang kesusasteraan klasik. Selepas itu, Harun menerima Biasiswa British Commonwealth Universities untuk melanjutkan pengajian di School of Oriental and African Studies, University of London (1972-1975). Dalam tempoh tersebut beliau berpeluang membuat penyelidikan di pusat-pusat manuskrip Melayu di Eropah.

            Sekembalinya ke tanah air, Harun bertugas sebagai pensyarah di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu dan Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan  Malaysia. Pada tahun 1981, Harun berjaya mendapat Ijazah Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia melalui disertasinya, “Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi.” Penyelidikan untuk tujuan itu mengambil masa lebih daripada liam tahun yang melibatkan 750 buah kampung dan sekitar 10000 responden. Penyelidikannya dianggap cukup autoritatif dalam bidang pengkajian puisi Melayu tradisional.

            Sepanjang tahun 1984, Harun bertugas sebagai Asian Scholar-in-Residence di Universiti Michigan, Ann Arbor, Amerika Syarikat di bawah Rancangan Pertukaran Sarjana-sarjana Fulbright. Antara jawatan lain yang diterimanya ialah Timbakan Pengarah Institusi Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan (IBKKM), Ketua Jabtan Pengajian Melayu dan Profesor Madya di Universiti Kebangsaan Malaysia. Harun bersara pada awal tahun 1990 untuk bertugas sebagao penyarah kanan di Universiti Brunei Darussalam dan kemudiannya sebagai Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu di universiti tersebt. Harun bersara dari jawtannya pasa akhir tahun 1977. Kini, beliau melibatkan diri dalam penerbitan karya agung bersama Yayasan Karyawan Malaysia.

            Dalam bidang penulisan, Harun menumpukan pengkhususan kepada sastera klasik selain budaya tradisi dan memberikan sumbangan dalam pengkajian tradisi lisan, permainan-permainan kesenian seperti gamelan. Semasa di maktab, beliau pernah memenangi peradua-peraduan mengarang esei, cerpen dan drama menggunakan nama Hasrum Syam dan Har. Harun juga pernah memenangi peraduan syarahan, perbahasan dan berbalas pantun selain menyertai aktiviti muzik pancaragam. Pada tahun 1983, beliau memenangi Hadiah Sastera Malaysia bagi kategori esei bersama Prof. Muhammad Haji Salleh. Mungkin kerana minatnya lebih tertumpu kepada sastera tradisional dan penulisan akademik yang lebih serius, menyebabkan bajat kreatifnya tidak dikembangkan.

            Dalam aktiviti akademik dan sosial, Harun pernah mengasas dan memimpin persatuan-persatuan belia dan kebajikan masyarakat. Beliau pernah menjadi Setiausaha dan kemudian Pengerusi Persatuan Pengajian Melayu Malaysia pada tahun 1983 dan 1985 hingga 1990. Dengan keahliannya itu, beliau sering dilantik sebagai pakar rujuk sastera klasik.


DEFINISI PANTUN

Pantun merupakan puisi Melayu yang popular jika berdasarkan daripada penggunaannya yang paling meluas. Bukan itu sahaja, puisi ini juga yang paling mendapat perhatian para pengkaji untuk diteliti, tidak kira pengkaji tempatan ataupun pengkaji luar. Pantun juga merupakan puisi Melayu yang tidak diragukan sifat keasliannya. Dalam bahasa Jawa, pantun dikenali sebagai ‘parikan’ dan dalam bahasa Sunda dikenali sebagai ‘paparikan’.

            Harun Mat Piah (1989) telah memberikan definisi pantun berdasarkan aspek dalama dan luaran atau struktur visialnya. Aspek dalama pantun meliputi unsur estetik dan isi (tema dan persoalan). Unsur estetik pantun dapat dilhat berdasarkan dua aspek. Pertama, yang berkaitan penggunaan lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu dan yang kedua, berdasarkan hubungan makna antara pasangan pembayang dengan pembanyang maksud sama ada secara konkrit atau abstrak.

            Berdasarkan pada aspek isi (tema dan persoalan) pantun biasanya menyentuh hampir seluruh kehidupan masyarakat Melayu. Daripada penelitian terhadap isi juga telah membawa kepada pengelompokan pantun yang lebih sistematik (Harun Mat Piah, 1989:63) seperti pantun kanak-kanak, pantun puji-pujian atau sambutan, pantun nasihat dan pendidikan, pantun agama dan kepercayaanm pantun adat, pantun peribahasa, pantun naratif atau cerita dan sebagainya.

CIRI-CIRI PANTUN

1.    Rangkapnya berasingan dan boleh berdiri sendiri sebagai satu kesatuan idea.
2.   Rangkapnya terbina daripada baris atau kerat yang berpasangan misalnya dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan seterusnya. Namun, pantun yang popular dan terus berkembang adalah pantun empat kerat dan dua kerat.
3.    Jumlah perkataan setiap baris sekitar tiga hingga lima patah perkataan.
4.   Jumlah suku kata dalam setiap baris sekitar lapan hingga dua belas suku kata.
5.   Skima rima di tengah dan/atau di hujung baris adalah bersejajar berselangan, iaitu ab;ab. Ada juga skima rima yang sama, iaitu aa;aa.
6.    Struktur pantun terdiri daripada dua unit, iaitu pembayang (yang menjadi kiasan) dan maksud (yang menjadi inti persoalan) yang hendak disampaikan. Pembayang adalah adalah gambaran alam dan maksud adalah gambaran sifat dan sikap manusia.
7.    Setiap rangkap memiliki kesatuan idea yang lengkap.
8.    Pemilihan perkataan merujuk kepada lambang yang sesuai dengan norma, nilai dan tanggapan masyarakat setempat.
9.    Pantun yang baik mempunyai hubungan idea dan wacana antara unit pembayang dan unit maksud.

FUNGSI PANTUN DALAM MASYARAKAT MELAYU

Pantun Melayu terdiri daripada beberapa jenis pantun seperti pantun adat, agama, nasihat, jenaka, budi dan teka-teki. Setiap pantun yang dicipta mempunyai fungsi atau kegunaannya sendiri. Dalam masyarakat Melayu, pantun merupakan satu corak komunikasi berseni yang digunakan di tempat yang tertentu, dalam upacara yang tertentu atau untuk menyampaikan sesuatu dalam maksud kiasan atau sindiran. Penggunaan pantun dalam menyampaikan sindiran bertujuan agar yang kena sindir atau yang kena nasihat itu tidak marah, sebaliknya mempunyai azam untuk membaiki perbuatan dan perangai yang tidak disukai.

            Seseorang yang akan menyampaikan dan melafazkan pantun diingatkan supaya memerhatikan isi pantun. Keadaan pantun yang dilafaz menjadi pertimbangan dalam penyampaian isi pantun. Jika hal ini tidak diberi perhatian oleh seseorang yang melafazkan pantun, dikhuatiri akan menimbulkan salah faham kepada pendengar terutama pantun yang berkaitan sindiran dan nasihat. Begitu juga jika melafazkan pantun yang berkaitan dengan budi dan jenaka. Cara melafazkan pantun harus dijaga agar maksud atau tujuan sesuatu pantun itu dilafazkan sampai kepada pendengar. Sesungguhnya, pantun Melayu yang dicipta oleh masyarakat Melayu dahulu mempunyai pelbagai fungsi. Antara nilai yang terdapat dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata selenggaraan oleh Harun Mat  Piah, ialah:

i.              Mendidik

Masyarakat Melayu terutamanya golongan tua, kaya dengan pelbagai nasihat. Sebagai golongan yang ‘makan garam’ terlebih dahulu pastinya mereka mempunyai pelbagai pengalaman hidup dan amat peka terhadap perubahan sesuatu perkara. Justeru, jika mereka mendapati ada sesuatu perkara yang tidak kena atau bertujuan untuk memberi peringatan kepada golongan muda atau kanak-kanak, mereka akan menggunakan pantun sebagai alat untuk menyampaikan nasihat dan didikan. Contohnya:

Air melurut di tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk;
Elok diturut resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.

            Selain pantun nasihat, pantun agama juga dicipta oleh masyarakat dahulu untuk tujuan mendidik. Pantun agama yang dicipta selalunya memberi peringatan dan pedoman kepada semua lapisan masyarakat agar tidak tersasar ke jalan yang salah. Contohnya seperti pantun Melayu lama ini:

Sungguh indah pintu dipahat,
Burung puyuh di atas dahan;
Kalau hidup hendak selamat,
Taat selalu perintah Tuhan.


ii.             Meluahkan Rasa Kasih Sayang

Pantun Melayu juga digunakan untuk meluahkan perasaan kasih sayang dalam kalangan masyarakat Melayu tanpa kira batasan sama ada rasa sayang teruna kepada dara, suami kepada isteri atau anak kepada ibu dan bapa. Pantun-pantun sebegini akan disulami dengan kata-kata yang indah, berbunga-bunga, puji-pujian yang menggambarkan perasaan kasih, sayang, cinta dan rindu yang mendalam. Misalnya:

Ribu-ribu pokok mengkudu,
Cincin permata jatuh ke ruang;
Kalau rindu sebut namaku,
Air mata jangan dibuang.

            Pantun di atas menggambarkan nasihat orang yang melafazkan pantun kepada pasangannya yang kerinduan tidak kira sama ada pasangan kekasih atau suami isteri atau anak kepada ibu bapanya.

iii.            Menyampaikan Rasa Penghargaan

Masyarakat Melayu juga terkenal sebagai masyarakat yang tahu mengenang budi dan jasa. Oleh itu, kita dapat lihat banyak pantun Melayu yang dicipta untuk menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih kepada orang-orang yang telah berjasa atau berbudi. Antara pantun yang popular sehingga sekarang ialah:

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Rangkap pantun di atas memperlihat masyarakat Melayu zaman dahulu memandang tinggi orang yang berbudi lebih daripada segalanya.

iv.           Adat Istiadat

Masyarakat Melayu sememangnya mementingkan adat istiadat dalam kehidupan sehari-hari. Oleh itu, pantun juga memainkan peranan yang penting dalam upacara yang melibatkan adat istiadat. Dalam majlis merisik, bertunang sehinggalah majlis perkahwinan, pantun akan dilafazkan sebagai mukadimah atau pembuka kata sebagai tanda meminta kebenaran atau untuk menyampaikan maksud di hati. Pantun-pantun sebegini dikenali sebagai pantun adat.  Sebagai contoh, dapatlah kita lihat dalam pantun Melayu lama di bawah ini yang kerap kali dilafazkan dalam majlis merisik sehingga kini:

Tok Sami ke Teluk Lipat,
Kain sekodi dibawa sama;
Datang kami membawa hajat,
Kalau sudi minta terima.

v.            Sindiran

Pantun juga digunakan oleh masyarakat Melayu untuk menggambarkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu dengan bahasa yang berselindung atau dengan kata lain secara tidak berterus terang. Melalui pantun, masyarakat Melayu dapat menyembunyikan perasaan sebenar sama ada kesal, kecewa dan dukacita terhadap sesuatu dengan penyusunan kata-kata yang indah. Hal ini bertujuan mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan akhirnya mencetuskan pergaduhan antara mereka. Contohnya:

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

vi.           Menguji Minda

Pantun juga dicipta untuk tujuan mencabar ketangkasan fikiran. Pantun-pantun sebegini amat digemari ramai terutama golongan kanak-kanak. Pantun yang menguji minda ini dinamakan pantun teka-teki. Antara contoh pantun Melayu lama yang masih diingati ialah:

Kalau tuan pergi ke kedai,
Belikan saya buah keranji;
Kalau tuan bijak pandai,
Apakah binatang keris di kaki?

vii.          Hiburan

Pantun juga dicipta oleh masyarakat Melayu untuk tujuan hiburan. Pada zaman dahulu, masyarakat Melayu akan berhibur dengan melafazkan pantun-pantun bersifat jenaka atau mengusik. Misalnya:

Tuan Puteri memasang panjut,
Dayang tolong menghalau lalat;
Kucing tidur bangkit terkejut,
Melihat tikus pandai bersilat.


            Ada juga pantun yang dijadikan lagu untuk hiburan seperti lagu ‘Dondang Sayang’ yang popular dalam kalangan Baba Nyonya.


Sumber : http://karyaagung234.blogspot.com/2013/05/pantun-melayu-bingkisan-permata.html