Rabu, 5 Mac 2014

NILAI ILMU DAN MAKLUMAT DALAM KARYA AGUNG

ILMU FIRASAT

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ( 2010:412) ilmu firasat ialah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka iaitu anggota badan dan lain-lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Ilmu firasat dapat dikatakan sebagai ilmu yang boleh menilik nasib seseorang. Sesiapa yang mempelajari akan ilmu ini akan boleh membaca fikiran seseorang. Dalam Hikayat Hang Tuah, terdapat beberapa peristiwa yang boleh dikaitkan tentang penggunaan ilmu firasat. Antaranya ialah berdasarkan kepada peristiwa mimpi yang telah di alami oleh Hang Mahmud.
 “ Maka pada malam itu Hang Mahmud bermimpi bulan turun dari langit; maka cahayanya penuh di atas kepala Hang Tuah. Hang Mahmud pun terkejut lalu bangun daripada tidur, lalu diribanya anaknya Hang Tuah dan diangkatnya, maka diciumnya seluruh tubuh.”
(Hikayat Hang Tuah : 23)

Hang Mahmud telah bermimpi tentang bulan yang turun dari langit dan cahaya bulan tersebut telah mengenai Hang Tuah. Melalui peristiwa tersebut, Hang Mahmud berpendapat bahawa sesuatu akan berlaku kepada Hang Tuah. Dengan itu, beliau telah berpesan kepada isterinya iaitu Dang Merdu agar sentiasa menjaga Hang Tuah. Hang Mahmud juga berfikir bahawa Hang Tuah patut diberikan ajaran yang sempurna. Namun, disebabkan keadaan di Kampung Sungai Duyung tidak mempunyai tempat pengajian yang sesuai untuk Hang Tuah, maka Hang Mahmud berpendapat mereka haruslah berpindah ke Bentan. Di Bentan, Hang Tuah telah diserahkan kepada seorang lebai untuk diajarkan mengaji al-Quran.

“ … Maka dilihatnya seekor pelanduk putih, seperti kambing besarnya, berhadapan dengan anjingnya. Maka oleh pelanduk itu digigitnya akan anjing kedua itu. Maka anjing itu pun berteriak keduanya lalu terjun ke dalam sungai itu. Maka pelanduk itu pun mengusir anjing keduanya. … “ Ya Tuanku Syah Alam, ada patik dengar kata orang tua-tua patik, jika ada pelanduk putih pada hutan atau barang tempat sekalipun, baiklah tempat, patut diperbuat negeri; berdaulat negeri, tuanku.”
(Hikayat Hang Tuah : 64)

Selain itu, dalam hikayat ini juga peristiwa yang berkaitan dengan ilmu firasat dapat di lihat pada peristiwa penubuhan Kota Melaka. Pada ketika Tuanku Syah Alam sedang berehat di bawah sepohon pokok, Hang Tuah telah mengkhabarkan kepada Tuanku tentang Anjing pemburuannya yang telah dikalahkan oleh seekor pelnduk putih. Tuanku Syah Alam tertarik dengan cerita yang disampaikan dan bertanya kepada salah seorang pembesar tentang peristiwa tersebut. Pada pandangan pembesar, menurut cerita yang di sampaikan oleh orang tua-tua, jika terdapat seekor pelanduk putih, maka tempat itu amat sesuai untuk dibuka sebuah negeri. Berdasarkan kepada peristiwa dan pendapat yang diberikan oleh pembesar, Tuanku Syah Alam berfirasat, jika dibuka sebuah negeri, negeri tersebut akan maju dan kuat.

… “ Apa juga dipakainya maka tiada lut kuparang? Tetapi pada firasatku sebab kerisnya inilah maka ia tiada dapat ditentang lawan dan tiada lut kuparang tubuhnya ini. Jikalau demikian, apa jua kehendaknya? Baiklah kuperdayakan.”
(Hikayat Hang Tuah : 155)

Menerusi peristiwa yang berlaku tentang rahsia Keris Taming Sari. Hang Tuah berfirasat bahawa jika seseorang itu mempunyai keris Taming Sari, badannya tidak akan lut jika ditikam. Dengan menggunakan kebijaksanaannya, Hang Tuah telah berjaya merampas keris tersebut dari tangan Taming Sari. Dengan itu, dapat dikatakan bahawa, untuk memperoleh keris Taming Sari tersebut. Firasat awal Hang Tuah tentang keris tersebut sememangnya betul, kerana sepanjang beliau menggunakan keris tersebut, beliau tidak pernah tercedera dalam pertarungan.

ILMU PENGASIH

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ilmu pengasih ialah pengetahuan tentang jampi, azimat, atau guna-guna untuk mendatangkan atau membangkitkan rasa kasih terhadap individu yang dikehendaki. Ilmu pengasih boleh difahami sebagai salah satu ilmu kebatinan yang digunakan sebagai satu usaha untuk menakluki dan memiliki sekeping hati yang dimiliki individu yang dihajati atau dicintai secara halus atau ghaib. Ilmu ini hanya akan berkesan kepada individu yang dimaksudkan sahaja dan tidak akan memberi kesan kepada orang yang terdekat dengannya.

Ilmu pengasih dibuat dalam berbagai jenis, kaedah serta nama. Contohnya minyak dagu, pengasih purnama, pengasih arjuna, pengasih jiwa dan banyak lagi. Ilmu pengasih boleh dilakukan dengan menggunakan minyak pengasih yang diperbuat daripada bahan tertentu, makanan dan minuman, minyak wangi, tenungan mata, hikmah suara, hikmah seri wajah dan sebagainya. Hakikatnya, ilmu pengasih ini telah diamalkan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi.  Keadaan ini turut digambarkan dalam karya-karya warisan Melayu. Dalam Hikayat Hang Tuah turut diceritakan perihal Hang Tuah menggunakan ilmu pengasih bagi mendapatkan Tun Teja.:

Maka Tun Tuah pun bermohonlah lalu pulang ke rumahnya. Maka Tun Tuah pun mandi dan berlangir. Maka Tun Tuah pun duduklah membuka pustakanya. Setelah sudah dilihat dalam pustakanya, maka Tun Tuah pun tersenyum, seraya dikucupinya puatakanya itu.
(Hikayat Hang Tuah: 216)

Setelah Tun Tuah berolah jebat itu, maka Tun Tuah pun kembalilah ke rumahnya berbuat suatu guna pengasih namanya. Setelah sudah diperbuat guna itu, maka pada malam itu juga Tun Tuah berjaga membaca pustakanya datang siang.
(Hikayat Hang Tuah:  217)

Demi berpalit gunanya itu maka Tun Teja pun terkejut seperti disentap orang kakinya. Maka Tun Teja pun bangun, seraya berkata, “Rindunya aku akan Mak Inang…” … “Janganlah inangda takut. Mana Tun Tuah itu sekarang?
(Hikayat Hang Tuah: 218)

Hang Tuah difitnah oleh Patih Kerma Wijaya serta pembesar-pembesar yang lain kerana mereka merasa iri hati dengan kepercayaan Raja Melaka terhadapnya. Hang Tuah telah difitnah berkelakuan sumbang dengan dayang-dayang. Oleh itu Bendahara Paduka Raja diperintah untuk membunuh Hang Tuah, tetapi Bendahara melepaskan Hang Tuah, disebabkan oleh jasa-jasanya. Selepas itu, Hang Tuah membawa diri ke Inderapura dengan tujuan mendapatkan Tun Teja untuk Raja Melaka, demi menebus kesalahan dirinya.

Hang Tuah menngunakan tipu muslihat bagi meyakinkan Tun Teja untuk mengikutnya pulang ke Melaka. Hang Tuah menyatakan bahawa dia ingin memiliki Tun Teja. Pada mulanya Tun Teja amat marah akan perkhabaran yang dibawa oleh inangya itu. Oleh sebab itu Hang Tuah mengambil jalan untuk menggunakan ilmu pengasih terhadap Tun Teja dengan menggunakan ‘jebat’ yang diperoleh daripada seorang perempuan tua. Hang Tuah membuka ‘pustakanya’ iaitu kitab atau buku lama yang mempunyai ilmu tentang cara-cara membuat ilmu pengasih dan terus keluar mencari ‘jebat’ iaitu wangi-wangian yang dijual oleh seorang perempuan tua bagi menghasilkan ubat guna-guna tersebut.

Hang Tuah bersepakat dengan inang Tun Teja untuk mencalitkan guna-guna tersebut pada Tun Teja yang sedang tidur. Sebaik sahaja ‘jebat’ itu dicalitkan pada Tun Teja, beliau segera bangun dari tidur dan mencari inangnya. Tun Teja menyatakan bahawa beliau teringin untuk berjumpa dengan Hang Tuah. Ketika itulah Hang Tuah memasang jerat dengan menyatakan bahawa beliau akan berangkat ke Melaka. Tun Teja berasa sedih untuk berpisah dengan Hang Tuah dan menyebabkan beliau bersama-sama Hang Tuah berangkat ke Melaka beserta semua dayang-dayang.

Keterangan di atas jelas menunjukkan bahawa Hang Tuah telah menggunakan ilmu pengasih bagi memikat Tun Teja untuk di bawa ke Melaka dan dikahwinkan dengan Raja Melaka. Ilmu pengasih yang dibuat Hang Tuah ternyata berkesan apabila Tun Teja segera memanggil inangya dan bertanyakan tentang Hang Tuah sejurus selepas dicalitkan ubat pengasih tersebut. Hang Tuah juga digambarkan telah mempunyai ilmu tersebut kerana beliau mempunyai ‘pustaka’ atau kitab tentang ilmu pengasih. Kitab inilah yang dirujuk beliau sebelum mencari bahan bagi menghasilkan ubat pengasih atau guna-guna tersebut.

Namun, sebagai umat Islam kita wajib menjauhi perkara yang dilarang Allah SWT. Setiap perkara yang tidak diajarkan oleh Rasulullah SAW adalah dikira sebagai perkara Bid’ah iaitu perkara yang bercanggah dengan al-Quran atau Sunnah dan turut dianggap sesat. Peredaran masa serta meningkatnya tahap mentaliti dalam kalangan masyarakat sekarang menjadikan amalan-amalan sebegini tidak lagi di amalkan kerana masyarakat kini telah pandai memilih dan membezakan antara yang buruk dan baik.

ILMU PENDUKUNAN

Perdukunan merupakan penterjemahan dari kata al kahaanah daripada Bahasa Arab. Ilmu dukun ini dikatakan mengandungi tiga unsur iaitu unsur yang pertama ialah mesti adanya yang disebut sebagai kaahin (si pendukun), mutakaahin (peminta atau pesakit yang berjumpa dukun) dan mahkuun (kepada siapa dukun itu ditujukan). Kamus Dewan menyatakan bahawa dukun merupakan orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional dengan membaca jampi serapah dan sebagainya. Perdukunan pula didefinisikan sebagai sesuatu yang mengenai  atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional yang berkaitan dengan ilmu dukun.

Terdapat beberapa istilah untuk orang yang mengamalkan ilmu perdukunan ini. Antaranya ialah kahin, ‘arraf, rammal, munajjim atau ahli nujum, sahir atau tukang sihir dan lain-lain. Al Baghawi mengatakan bahawa al-kahin merupakan seseorang yang mengkhabarkan sesuatu yang akan terjadi pada masa akan datang. Namun demikian, ada juga yang mengatakan al-kahin adalah individu yang memberitahu apa yang tersirat di dalam hati seseorang. Istilah yang kedua yang berkaitan dengan perdukunan ialah ‘arraf. ‘Arraf dikatakan oleh Al-Baghawi sebagai orang yang mengaku-ngaku tahu akan urusan-urusan tertentu melalui cara yang tertentu dan mungkin juga mengetahui tempat sesuatu barang yang hilang itu disorokkan.

Istilah yang ketiga bagi pendukun ialah rammal. Rammal ini merupakan kata akar bahasa Arab iaitu raml yang diertikan sebagai pasir yang lembut. Rammal pula adalah seorang tukang ramal yang akan menggaris-gariskan sesuatu di pasir untuk mengetahui sesuatu perkara yang diminta oleh orang yang datang berjumpa dengannya. Ilmu ini telah lama dikenali oleh masyarakat Arab dengan nama ilmu raml. Munajjim atau juga disebut sebagai ahli nujum sudah pasti sinonim dengan masyarakat Melayu. Nujum membawa erti bintang-bintang. Ahli nujum ini biasanya akan meramal nasib seseorang menggunakan cara yang tertentu. Sebagai contohnya dapat dilihat dalam Hikayat Hang Tuah seperti berikut :

Maka segala ahlul nujum dan sasterawan pun melihat yang di dalam nujum. Setelah sudah dilihatnya, maka masing-masing pun menggerakkan kepalanya. Maka titah baginda, “Apa sebab kamu sekalian mengerakkan kepalamu?” Maka sembah segala ahlul nujum dan sasterawan itu, “ya Tuanku Syah Alam, patik mohonkan ampun beribu-ribu ampun dan kurnia ke bawah Duli Syah Alam; adapun patik anakanda ini terlalu amat bahagia beroleh suami anak raja besar,  dan anak cucu paduka anakanda inilah akan raja datang kepada akhir zaman, akan menjadi raja besar. Maka duli tuanku pun hendaklah segera memberi paduka anakanda bersuami, hendaklah paduka anakanda ini ditaruhkan pada suatu pulau yang bernama Biram Dewa itu dengan suatu mahligai dan dayang-dayang. Di sanalah paduka anakanda bersuami raja besar itu.”
(Hikayat Hang Tuah: 5)

Berdasarkan petikan di atas, hikayat ini menceritakan perihal Tuanku Syah Alam yang menggunakan khidmat ahli nujum bagi menilik untung nasib anak gadisnya itu iaitu Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam. Melalui tilikan para ahli nujum, mereka mendapati bahawa nasib anak gadisnya itu adalah beroleh keuntungan pada masa akan datang melalui perkahwinannya dengan anak raja besar. Justeru, untuk beroleh keuntungan tersebut ahli nujum menyarankan supaya Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam segera dikahwinkan dan diletakkan di sebuah pulau yang bernama Biram Dewa dengan sebuah istana berserta dayang-dayang.

Melalui Hikayat Hang Tuah, jelas menunjukkan bahawa peranan dukun sangat penting pada zaman dahulu dalam menentukan masa depan seseorang. Dukun bukan sahaja berupaya mengubati orang sakit, bahkan dukun juga dapat mengetahui sesuatu perkara yang bakal berlaku kelak. Hal ini berlaku disebabkan pengaruh Hindu-Buddha yang meresapi dalam budaya Melayu pada ketika itu. Mereka lebih percaya tilikan yang akan menetukan nasib mereka pada masa akan datang. Selepas kedatangan Islam, ilmu pendukunan semakin jarang digunakan.                                     

ILMU JAMPI

Jampi didefinisikan Kamus Dewan sebagai kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian seperti boleh menyembuhkan penyakit. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Orang Melayu sangat dekat dunianya dengan spiritual. Ini mungkin juga disebabkan oleh Islam yang menjadi agama rasmi orang Melayu, agama Hindu dan Buddha juga pernah mempengaruhi masyarakat Melayu suatu ketika dahulu. Jika dilihat pada zaman dahulu, hampir kesemua aktiviti akan diikuti dengan jampi.

Ilmu jampi atau perdukunan ini dapat dilihat dalam teks Sulalatus Salatin pada bab 3 yang ada menyentuh tentang Badang beroleh gagah. Dalam bahagian ini, Badang merupakan seorang hamba yang tinggal di Sayung dan mengerjakan sebuah huma milik tuannya. Badang juga mempunyai aktiviti lain iaitu gemar menahan lukah. Namun apa yang menghairankan ialah lukahnya tidak pernah dimasuki ikan dan dia hanya menjumpai tulang ikan sahaja berhampiran lukahnya itu. Maka, pada suatu hari Bdang mengintip kawasan lukah itu untuk mengetahui siapakah yang telah memakan ikan di lukah yang ditahan itu.

Badang berasa terkejut apabila melihat seekor hantu yang berbadan besar dan panjang, matanya merah seperti matahari terbit, dan rambutnya dikatakan mencecah pusat. Dengan berbekalkan parang dan kapak, Badang menerpa kea rah hantu itu dan memegang janggutnya dan mengugut mahu membunuhnya. Akibat ketakutan, hantu itu memberikan beberapa tawaran dan Badang memilih untuk menjadi kuat. Untuk menjadi kuat, hantu itu mengarahkan Badang supaya memakan muntahnya. Berikut adalah kata-kata hantu tersebut :

“Jikalau engkau hendakkan gagah, makanlah muntahku. Setelah itu oleh Badang dicubanya segala pohon kayu hampirnya yang besar-besar itu, dengan sekali bantunnya habis patah-patah”.                                       ( Hikayat Hang Tuah: 48-49 )

Dalam Islam, terdapat juga unsur-unsur jampi. Namun demikian, ayat-ayat yang dibacakan dalam jampi tersebut adalah ayat al-Quran dan bergantung kepada keizinan Allah untuk menyembuhkan sesuatu penyakit atau tidak. Pada hari ini, ramai yang terkeliru antara jampi yang diamalkan pengamal ilmu hitam dengan pengamal al-Quran. Tidak kurang juga ada yang menyatakan bahawa jampi yang menggunakan ayat al-Quran ini adalah syirik kerana menyekutukan Allah. Di sini terdapat percanggahan pendapat kerana dari segi syarak itu sendiri, Islam membenarkan umatnya untuk berubat selagi mana cara perubatan itu tidak menyekutukan Allah dan tidak membuatkan individu itu terpesong kepercayaannya.

MAKLUMAT TENTANG STRATA  SOSIAL MASYARAKAT

Strata masyarakat  atau statifikasi ialah menggambarkan tentang struktur sosial masyarakat dari segi iaitu pembahagian masyarakat kepada beberapa lapisan atau kelas yang berlainan atau juga dikenali sebagai susun lapis masyarakat. Dalam Karya Agung Sejarah Melayu, masyarakat Melayu digambarkan mempunyai struktur yang tersusun. lanya didahului oleh seorang raja sebagai pemerintah. Baginda akan dikelilingi oleh kerabat-kerabat di raja, permaisuri, putera-puteri raja serta kaum kerabat di raja yang lain. Berada di bawah baginda ialah golongan pentadbir atau lebih dikenali juga sebagai golongan bangsawan. Antara jawatan penting ialah seperti Bendahara, Laksamana, Penghulu Bendahari, Temenggung, Syahbandar, Bentara dan lain-lain lagi. Selain itu, golongan ulama juga berada dalam hirarki ini seperti Makhdum, Sayyid, Maulana dan Kadhi.

Seterusnya ialah golongan rakyat biasa yang merdeka. Biasanya golongan ini terdiri dari pedagang-pedagang, petani, tukang-tukang mahir serta saudagar-saudagar. Contoh yang terkenal dalam Sejarah Melayu ialah seperti Hang Isap serta Raja Mandeliar, Mina Sura Dewana, Kitul, Ali Manu Nayan dan Patih Adam yang rapat dengan golongan bangsawan. Golongan yang berada dalam kelas terbawah ialah golongan hamba. Ada tiga kategori hamba yang dipaparkan dalam Sejarah Melayu seperti hamba abdi, hamba biduanda dan hamba hutang. Namun, perkara yang paling menarik ialah tiadanya unsur kasta dalam masyarakat Hindu yang dibawa ke dalam strafikasi masyarakat Melayu Melaka.

Golongan pemimpin iaitu raja mempunyai kuasa penuh terhadap rakyatnya sehingga mampu membuat keputusan tanpa berfikir atau mengusul periksa terlebih dahulu. Hal ini dapat dilihat dalam kisah Singapura dilanggar todak. Banyak nyawa terkorban apabila Paduka Seri Maharaja telah memerintahkan rakyatnya berkotakan betis. Kemudian datang seorang budak yang pintar, bernama Hang Nadim mencadangkan agar mereka berkotakan batang pisang. Tetapi budak tersebut telah dijatuhi hukuman bunuh akibat hasutan para pembesar terhadap raja. Para pembesar menghasut baginda bahawa budak tersebut akan menggugat kedudukan baginda kerana sejak kecil lagi sudah jelas kebijaksanaannya. Raja yang tidak berfikir panjang terus menitahkan agar budak tersebut dibunuh segera. Contoh lain yang menunjukkan bahawa raja memegang kuasa mutlak terhadap pemerintahan sesebuah negeri pada masa itu ialah dalam kisah Tun Besar yang dihukum bunuh apabila bola yang dimainnya terkena destar Raja Muhammad.

… Tun Besar, anak Bendahara, sedang bermain sepak raga di lebuh, dengan segala orang muda-muda. Maka Raja Muhammad pun lalu, ketika itu Tun Besar sedang menyepak raga itu pun jatuh menimpa destar Raja Muhammad, jatuh ke tanah.
(Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu): 152)

Golongan pembesar turut berada dalam kategori pemimpin selepas golongan raja. watak Hang Tuah yang digambarkan sebagai seorang hulubalang yang sangat setia kepada rajanya. Beliau sentiasa mentaati perintah raja yang kadang kala tidak dapat diterima akal oleh masyarakat kini. Kisah penderhakaan Jebat adalah salah satu daripadanya. Dalam peristiwa tersebut tidak ada seorang pun yang dapat mengusir Hang Jebat daripada istana. Apabila Sultan Mansor Syah menitahkan Hang Tuah supaya membunuh Hang Jebat, beliau tidak menolak langsung perintah itu walaupun orang yang bakal dibunuhnya itu adalah sahabatnya sendiri.
Maka bertikam pula ia dengan Hang Jebat, dua tiga kali keris Hang Tuah tertikam kepada tiang dan dinding.
(Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu): 142)

Strata rakyat biasa pula dapat dilihat pada kisah Wan Empuk dan Wan Malini yang merupakan seorang petani yang mengerjakan padi huma di lereng bukit. Pada suatu hari, mereka melihat padi mereka sudah masak dan berbuahkan emas serta berdaunkan perak. Di  atas bukit itu, mereka menemui tiga orang pemuda yang tampan parasnya. Mereka menyatakan bahawa mereka adalah keturunan Raja Iskandar Zulkarnain bernisabkan Raja Nusirwan dan pancaran Raja Biktram Syah. Pemuda itu bernama Nila Pahlawan dan Karna Pndita dan bersama-sama mereka ialah sebilah pedangn bernama Simandang Kini dan lembing bernama Lembuara.

Maka kepada malam itu dipandang oleh Wan Empuk dan Wan Malini dari rumahnya, di atas Bukit Si Guntang itu bernyala seperti api … Maka keduanya naik ke atas Bukit Siguntang itu. Maka dilihatnya padinya berbuahkan emas dan berdaunkan perak dan batangnya tembaga suasa.
(Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu): 20)

Akhir sekali ialah golongan hamba yang dapat dilihat pada watak Badang.Badang merupakan seorang hamba yang ditugaskan oleh tuannya mengerjakan sebuah huma di sebuah kampung yang bernama Sayung. Selepas memakan muntah hantu, Badang beroleh kekuatan yang luar biasa hingga dapat mencabut pokok-pokok besar sepemeluk dua pemeluk dengan tangan sahaja. Dalam masa sehari, Badang dapat membersihkan ladang tuannya yang sangat luas. Kekuatan Badang telah menyebabkan tuannya menjadi kaya sehingga digelar “Orang Kaya Sayung”. Beliau kemudiannya telah memerdekakan Badang.
Maka dipandang tuannya Badang lagi tidur, belum pergi menebas, maka ia marah serta membangunkan Badang, katanya “Hei Badang mengapa engkau tiada mendengar kataku…
(Sulalatus Salatin ,Sejarah Melayu : 51)

Kata-kata di atas dilontarkan oleh tuan Badang kepadanya  kerana beliau kelihatan masih tidur. Tuannya beranggapan bahawa Badang belum lagi menyelesaikan tugasnya tetapi hakikatnya Badang telah pun menyelesaikan tugasnya. Badang dapat membersihkan kawasan tanah tuannya dengan mudah dengan kekuatan luar biasa yang diperolehnya hasil makan muntah hantu.

Keterangan diatas jelas menunjukkan bahawa strata masyarakat pada zaman dahulu dapat dibahagikan kepada dua iaitu golongan atasan dan golongan bawahan. Raja dan pembesar menduduki kedudukan sebagai golongan atasan manakal rakyat biasa dan hamba pula dianggap sebagai golongan bawahan.

ADAT ISTIADAT

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 8) adat bermaksud peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun iaitu sejak dahulu kala di dalam sesuatu masyarakat iaitu sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Manakala istiadat pula ialah bermaksud peraturan atau cara-cara melakukan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan, adat kebiasaan,  dan resam. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa adat istiadat merupakan peraturan yang harus dilakukan sama ada dalam urusan rasmi atau tidak. Adat istiadat ini sering kali dikaitkan dengan istana. Dalam karya agung Sejarah Melayu, terdapat beberapa peristiwa yang dapat menggambarkan tentang adat istiadat raja pada ketika itu. Selain itu, Sejarah Melayu dianggap penting kerana ia memberikan adat istiadat kerajaan, susunan raja Melayu dan sejarah kerajaan Melayu. Antaranya adat istiadat yang terdapat dalam Sejarah Melayu ialah:

i.   Adat mengadap raja di balai rung.
ii.  Adat menjunjung duli.
iii. Adat menyambut kedatangan utusan kerajaan dari luar.

i.                     Adat Mengadap Raja di Balairung
Dalam adat mengadap raja di balairung ialah, para pembesar akan disusun mengikut pangkat kebesaran masing-masing. Pangkat tersebut di mulai dengan bendahara, penghulu bendahari dan temenggung. Mereka akan duduk di seri balai. Kemudian, anak-anak raja pula akan duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Selepas itu, akan di ikuti dengan sida-sida yang muda-muda akan duduk berselang seli dengan bentara dan hulubalang yang berdiri di ketapakan balai.

 “ Adapun apabila raja dihadap orang di balairung, maka bendahara, dan penghulu bendahari dan temenggung dan segala menteri dan orang besar-besar, segala sida-sida duduk di seri balai”.
(Sejarah Melayu :57)

Adat ini merupakan perkara yang wajib dilakukan ketika mengadap Sultan. Malahan, sehingga sekarang juga adat ini masih diteruskan walaupun tidak semuanya sama dengan yang dahulu. Hal ini demikian kerana, Sultan di anggap orang yang paling mulia, oleh itu sesiapa yang ingin mengadap Sultan haruslah mengetahui tentang adat-adat yang telah ditetapkan.

ii.                   Adat menjunjung duli
Adat menjunjung duli memerlukan empat atau lima orang kepala bentara yang terdiri daripada sida-sida yang akan duduk di seri balai. Malahan, segala perkakas diraja seperti ketur, kendi, kipas dan barang sebangainya akan di susun secara diselang selang kedudukannya. Sementara itu, puan dan pedang akan berada dikelekan kiri dan kanan. Manakala, pedang kerajaan akan dipikul oleh laksama atau Seri Bija Diraja.

“ Adapun segala perkakas raja, seperti ketur dan kendi, kipas dan barang sebagainya diselang selang duduknya; melainkan puan dan pedang di kelek-kelekan kiri dan kanan: pedang kerajaan itu laksamana atau Seri Bija Diraja memikul pedang itu”.
(Sejarah Melayu : 54)

Dalam adat menjunjung duli ini, barang-barang kebesaran yang digunakan penting untuk melambangkan sesebuah intitusi diraja. Manakala, biduanda-biduanda yang ditugaskan untuk membawa alat-alat kebesaran tersebut haruslah sentiasa mematuhi segala protokol dan memahami adat yang terdapat dalam istana tersebut.

iii.                   Adat menyambut kedatangan utusan kerajaan dari luar
Untuk menyambut kedatangan utusan terdapat adat yang perlu di ikuti. Sambutan terhadap kedatangan utusan adalah berbeza mengikut tahap kebesaran kerajaan tersebut. Apabila utusan dari kerajaan yang besar seperti Pasai dan Haru, sambutannya akan menggunakan selengkap alat kerajaan seperti gendang, serunai dan lain-lain. Jika, sekiranya utusan datang dari negeri yang kurang kebesarannya, alat kelengkapan keraian untuk menyambutnya akan dikurangkan, cukup sekadar gendang dan serunai sahaja atau berpayung kuning atau bergajah. Walau bagaimanapun, sepersalinan tetap akan diberikan.

“ Jika surat dari Pasi atau dari Haru, dijemput dengan selengkapnya alat kerajaan, gendang, serunai, nafiri Negara, paying putih dan perapit; melainkan medali juga yang tiada pergi menjemput itu. …Telah datang ke balai, maka surat disambut oleh hulubalang asal,yakni kepada  bentara yang kiri menyampaikan titah raja kepada utusan, kepada bentara yang di kanan menyampaikan sembah”
(Sejarah Melayu : 57)

Dalam adat ini, pihak yang lebih berkuasa akan dihormati. Dengan itu, untuk menyambut utusannya akan di buat secara besar-besaran. Malahan, pihak tersebut juga berkemungkinan mempunyai kekuasaan yang amat kuat dan terpengaruh di rantau tersebut. Dengan itu, jika tidak menyambutnya dengan cara yang terhormat, berkemungkinan akan memberi kesan kepada sesebuah kerajaan kelak.

KONSEP ADAT

Adat menurut Kamus Dewan bermaksud suatu peraturan yang diamalkan secara turun temurun (sejak dahulu kala) di dalam masyarakat sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Adat juga didefinisikan sebagai suatu cara yang sudah menjadi kebiasaan. Etimologi perkataan adat adalah dari bahasa Arab “adah” yang bermaksud kebiasaan atau suatu perbuatan yang dilakukan secara berulang-ulang lalu menjadi kebiasaan yang tetap dan dihormati orang, maka kebiasaan itu menjadi adat. Kata majmuk adat ialah adat istiadat. Apabila konsep adat dijadikan istilah Melayu, perkataan ini boleh disamakan dengan kebudayaan. Konsep adat dalam masyarakat Melayu bukan sahaja bermaksud istiadat atau upacara, tetapi termasuk seluruh sistem hidup seperti sistem sosial, kepercayaan dan perundangan.

Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan atau cara hidup. Adat mencerminkan segala perbuatan yang kadang kala dilakukan setiap hari atau musim sama ada berpandukan bulan atau tahun . Inilah pengertian adat yang selalu difahami oleh masyarakat berkenaan dengan adat. Suatu perkara yang sinonim dengan adat ialah budaya. Walaupun berbeza daripada aspek bunyi, namun dari segi pengertiannya, budaya mempunyai konsep yang sama dan saling bergantungan.

Seperti definisi di atas, adat ialah cara hidup iaitu tingkah laku, kepercayaan dan sebagainya. Adat bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat.  Ianya timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila dizahirkan dan dilaksanakan, seperti adat bercukur, adat bersanding dan sebagainya. ianya sudah menjadi suatu budaya. Maknanya, budaya ialah suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan adat sesuatu masyarakat itu. Hal ini demikian kerana budaya dan adat merupakan dua entiti yang terlalu berkait sifatnya. Pada hari ini, kita selesa menjadikan adat dan budaya itu sebagai suatu perkara yang sama. Perbezaannya hanyalah dari sebutan. Budaya yang difahami dan dilihat, hakikatnya merupakan adat. Budaya bersifat tidak tetap, iaitu boleh berubah-ubah. Justeru itu, wujud pengkelasan budaya tradisional dan budaya moden. Budaya tradisional tidak sama dengan budaya moden. Oleh itu, jelaslah menunjukkan bahawa budaya boleh berubah. Adat pula ialah suatu ketetapan yang tidak berubah. Oleh itu, bolehlah kita katakan bahawa adat sebagai budaya yang asal.

Di Malaysia, adat kebiasaannya terbahagi kepada dua, iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Selain itu, terdapat juga adat-adat khusus lain seperti adat perkahwinan, adat pertabalan raja, adat bersalin, dan sebagainya.

ADAT PERPATIH

Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera. Adat ini diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato’ Perpatih Nan Sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang sitentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tiada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan, tetapi Adat Perpatih ini telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke-14 Masihi.

Adat Perpatih ini masih diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian dari Melaka terutamanya Masjid Tanah. Majoriti daripada mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau. Masyarakat Adat Perpatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama, iaitu Perut, Suku dan Luak.Perut adalah unit sosio-politik yang terkecil di mana anggota sesuatu perut itu adalah berasal daripada moyang (Keturunan perempuan) yang sama. Setiap perutmempunyai seorang ketua yang digelar Buapak. Buapak ini dipilih oleh anak-anak buah di dalam sesuatu perut berkenaan. Suku pula dibentuk oleh beberapa buahperut yang menjadikan keluarga berkenaan menjadi besar. Suku diketuai oleh seorang ketua yang digelar Dato’ Lembaga. Luak pula merupakan unit kawasan pentadbiran dari segi adat di mana terdapat empat luak utama iaitu Rembau, Sungai Ujong, Johol dan Jelebu. Setiap luak diketuai oleh seorang Undang.

Dalam Karya Agung Pantun Melayu: Bingkisan Permata, terdapat beberapa pantun yang menggambarkan tentang Adat Perpatih ini. Antaranya:

Dibelah-belah dipertiga
      Pisau raut pembelah rotan
Luak dibahagi tiga
      Adat dibahagi delapan
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata: 83)
Inggeris mengerat kuku
     Dikerat dengan pisau raut
Peraut betung tua-tuanya
Elok negeri keempat suku
     Lebih suku berbuah perut
Tuah kampung ada tuanya
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata: 85)

Berdasarkan pantun-pantun di atas, jelas menunjukkan bahawa terdapat penggunaan perkataan-perkataan yang menggambarkan tentang Adat Perpatih. Perkataan luak, suku, dan perut menggambarkan susun lapis pentadbiran masyarakat yang mengamalkan adat ini.

Adat Perpatih mempunyai lima prinsip utama iaitu keturunan dikira melalui nasab ibu, tempat kediaman adalah di kawasan ibu isteri, perempuan mewarisi pusaka manakala lelaki menyandang saka, perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang, dan orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku.

ADAT TEMENGGUNG

Adat Temenggung merupakan undang-undang adat Minangkabau yang diamalkan di negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih. Adat ini diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan yang merupakan abang tiri kepada Datuk Perpatih Nan Sebatang yang mengasaskan Adat Perpatih yang berasal dari Sumatera. Adat ini dibawa masuk ke Melaka pada awal abad ke-15 Masihi dan kemudiannya diresapi dengan pengaruh Islam dan hokum syarak bermazhab Shafie. Dari Melaka, Adat Temenggung ini disebar ke negeri-negeri Melayu yang lain dengan perkembangan Empayar Melaka.

Disebabkan oleh Adat Temenggung ini diamalkan di hamper semua negeri-negeri Melayu, maka Adat Temenggung telah bercampur dengan undang-undang adat Melayu sedia ada yang mempunyai nama yang berbeza mengikut negeri. Antaranya ialah Undang-undang Melaka, Undang-undang Johor dan Undang-undang Kedah.

Adat Temenggung ini mempunyai beberapa ciri utama iaitu hukuman bersifat pembalasan, pemerintahan bersifat autokratik, pewarisan harta lebih kepada nasab lelaki dan perkahwinan dibenarkan dengan sesiapa sahaja asalkan tidak melanggar hukum syarak.

Berdasarkan karya agung, kita dapat melihat contoh adat temenggung yang menunjukkan pertabalan seorang raja. Telah diketahui bahawa dalam Adat Temenggung, nasab lelaki lebih diutamakan.
Maka titah Raja merong Mahawangsa kepada menteri Rom, “Sudahlah beta rajakan anakanda ini. Maka sekarang akan negeri ini patutlah kita namakan sesuatu akan dia.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 34)

Berdasarkan petikan di atas, jelas menunjukkan bahawa seseorang raja akan menabalkan puteranya untuk memerintah sesebuah negeri. Raja Merong Mahawangsa telah menabalkan puteranya, Raja Merong Mahapudisat untuk memerintah sebuah negeri baru. Seseorang putera raja akan mendapat keistimewaan tersebut berbanding puteri raja. Hal ini sama seperti yang terdapat dalam Adat Temenggung yang lebih menutamakan pihak lelaki berbanding wanita.


Sumber : http://telapaksireh.blogspot.com/2013/05/nilai-ilmu-dan-maklumat.html

2 ulasan:

  1. buah rambutan jauh di sana
    lalu dikait dimakan Azian
    ilmu ini sangat berguna
    terima kasih atas perkongsian.. :)

    BalasPadam
  2. sama-sama erima ahmad...sama-sama kita berkongsi ilmu... :)

    BalasPadam

Assalamualaikum. Dah baca kandungan, boleh tinggalkan komen. Terima kasih.