Isnin, 14 April 2014

Pantun Melayu : Bingkisan Permata

Karya ini menghimpunkan 4000 pantun, puisi istimewa ciptaan orang Melayu. Buku ini memuatkan pelbagai jenis dan bentuk pantun yang meliputi tema dan isi yang luas dan pelbagai. Edisi ini juga menyediakan tiga jenis indeks, iaitu Indeks Baris Pertama, Indeks Maksud dan Indeks Kata Rujuk untuk memudahkan pengguna membuat rujukan.

LATAR BELAKANG PENYELENGGARA PANTUN MELAYU: BINGKISAN PERMATA

Sumbangan Harun Mat Piah dalam pengkajian dan penyelidikan sastera banyak mengarah kepada sastera dan budaya tradisional. Buku-buku, makalah dan kertas-kertas kerja persidangan yang dihasilkan adalah hasil daripada penyelidikan-penyelidikan yang teliti dan bersifat akademik serta sistematik bentuknya. Beliau adalah antara tokoh yang berwibawa dalam kesusasteraan Melayu lama, khususnya puisi Melayu tradisional.

            Anak bongsu daripada lima adik-beradik ini berasal dari Perak dan pendidikan awalnya diterima dari sekolah Melayu, sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (1955-1957). Dengan mengikuti kelas-kelas persendirian di sekolah Inggeris, Harun berjaya memperoleh sijil-sijil MCE (Malaysia Certificate of Education, 1961) dan HSC (Higher Certificate of Education, 1996). Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Bahasa (1963), Maktab Perguruan Ilmu Khas (1965) dalam bidang seni dan kraftangan. Pada tahun 1967, Harun memasuki Universiti Malaya dan tiga tahun kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang linguistik.

            Setelah tamat pengajian universiti, Harun bertugas sebagai Pengetua Sekolah Menengah Inggeris Kuala Kubu Baharu, tetapi khidmatnya tidak lama di situ. Beliau berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di Universiti Malaya dan pada tahun 1973, beliau meraih ijazah tersebut dalam bidang kesusasteraan klasik. Selepas itu, Harun menerima Biasiswa British Commonwealth Universities untuk melanjutkan pengajian di School of Oriental and African Studies, University of London (1972-1975). Dalam tempoh tersebut beliau berpeluang membuat penyelidikan di pusat-pusat manuskrip Melayu di Eropah.

            Sekembalinya ke tanah air, Harun bertugas sebagai pensyarah di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu dan Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan  Malaysia. Pada tahun 1981, Harun berjaya mendapat Ijazah Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia melalui disertasinya, “Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi.” Penyelidikan untuk tujuan itu mengambil masa lebih daripada liam tahun yang melibatkan 750 buah kampung dan sekitar 10000 responden. Penyelidikannya dianggap cukup autoritatif dalam bidang pengkajian puisi Melayu tradisional.

            Sepanjang tahun 1984, Harun bertugas sebagai Asian Scholar-in-Residence di Universiti Michigan, Ann Arbor, Amerika Syarikat di bawah Rancangan Pertukaran Sarjana-sarjana Fulbright. Antara jawatan lain yang diterimanya ialah Timbakan Pengarah Institusi Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan (IBKKM), Ketua Jabtan Pengajian Melayu dan Profesor Madya di Universiti Kebangsaan Malaysia. Harun bersara pada awal tahun 1990 untuk bertugas sebagao penyarah kanan di Universiti Brunei Darussalam dan kemudiannya sebagai Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu di universiti tersebt. Harun bersara dari jawtannya pasa akhir tahun 1977. Kini, beliau melibatkan diri dalam penerbitan karya agung bersama Yayasan Karyawan Malaysia.

            Dalam bidang penulisan, Harun menumpukan pengkhususan kepada sastera klasik selain budaya tradisi dan memberikan sumbangan dalam pengkajian tradisi lisan, permainan-permainan kesenian seperti gamelan. Semasa di maktab, beliau pernah memenangi peradua-peraduan mengarang esei, cerpen dan drama menggunakan nama Hasrum Syam dan Har. Harun juga pernah memenangi peraduan syarahan, perbahasan dan berbalas pantun selain menyertai aktiviti muzik pancaragam. Pada tahun 1983, beliau memenangi Hadiah Sastera Malaysia bagi kategori esei bersama Prof. Muhammad Haji Salleh. Mungkin kerana minatnya lebih tertumpu kepada sastera tradisional dan penulisan akademik yang lebih serius, menyebabkan bajat kreatifnya tidak dikembangkan.

            Dalam aktiviti akademik dan sosial, Harun pernah mengasas dan memimpin persatuan-persatuan belia dan kebajikan masyarakat. Beliau pernah menjadi Setiausaha dan kemudian Pengerusi Persatuan Pengajian Melayu Malaysia pada tahun 1983 dan 1985 hingga 1990. Dengan keahliannya itu, beliau sering dilantik sebagai pakar rujuk sastera klasik.


DEFINISI PANTUN

Pantun merupakan puisi Melayu yang popular jika berdasarkan daripada penggunaannya yang paling meluas. Bukan itu sahaja, puisi ini juga yang paling mendapat perhatian para pengkaji untuk diteliti, tidak kira pengkaji tempatan ataupun pengkaji luar. Pantun juga merupakan puisi Melayu yang tidak diragukan sifat keasliannya. Dalam bahasa Jawa, pantun dikenali sebagai ‘parikan’ dan dalam bahasa Sunda dikenali sebagai ‘paparikan’.

            Harun Mat Piah (1989) telah memberikan definisi pantun berdasarkan aspek dalama dan luaran atau struktur visialnya. Aspek dalama pantun meliputi unsur estetik dan isi (tema dan persoalan). Unsur estetik pantun dapat dilhat berdasarkan dua aspek. Pertama, yang berkaitan penggunaan lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu dan yang kedua, berdasarkan hubungan makna antara pasangan pembayang dengan pembanyang maksud sama ada secara konkrit atau abstrak.

            Berdasarkan pada aspek isi (tema dan persoalan) pantun biasanya menyentuh hampir seluruh kehidupan masyarakat Melayu. Daripada penelitian terhadap isi juga telah membawa kepada pengelompokan pantun yang lebih sistematik (Harun Mat Piah, 1989:63) seperti pantun kanak-kanak, pantun puji-pujian atau sambutan, pantun nasihat dan pendidikan, pantun agama dan kepercayaanm pantun adat, pantun peribahasa, pantun naratif atau cerita dan sebagainya.

CIRI-CIRI PANTUN

1.    Rangkapnya berasingan dan boleh berdiri sendiri sebagai satu kesatuan idea.
2.   Rangkapnya terbina daripada baris atau kerat yang berpasangan misalnya dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan seterusnya. Namun, pantun yang popular dan terus berkembang adalah pantun empat kerat dan dua kerat.
3.    Jumlah perkataan setiap baris sekitar tiga hingga lima patah perkataan.
4.   Jumlah suku kata dalam setiap baris sekitar lapan hingga dua belas suku kata.
5.   Skima rima di tengah dan/atau di hujung baris adalah bersejajar berselangan, iaitu ab;ab. Ada juga skima rima yang sama, iaitu aa;aa.
6.    Struktur pantun terdiri daripada dua unit, iaitu pembayang (yang menjadi kiasan) dan maksud (yang menjadi inti persoalan) yang hendak disampaikan. Pembayang adalah adalah gambaran alam dan maksud adalah gambaran sifat dan sikap manusia.
7.    Setiap rangkap memiliki kesatuan idea yang lengkap.
8.    Pemilihan perkataan merujuk kepada lambang yang sesuai dengan norma, nilai dan tanggapan masyarakat setempat.
9.    Pantun yang baik mempunyai hubungan idea dan wacana antara unit pembayang dan unit maksud.

FUNGSI PANTUN DALAM MASYARAKAT MELAYU

Pantun Melayu terdiri daripada beberapa jenis pantun seperti pantun adat, agama, nasihat, jenaka, budi dan teka-teki. Setiap pantun yang dicipta mempunyai fungsi atau kegunaannya sendiri. Dalam masyarakat Melayu, pantun merupakan satu corak komunikasi berseni yang digunakan di tempat yang tertentu, dalam upacara yang tertentu atau untuk menyampaikan sesuatu dalam maksud kiasan atau sindiran. Penggunaan pantun dalam menyampaikan sindiran bertujuan agar yang kena sindir atau yang kena nasihat itu tidak marah, sebaliknya mempunyai azam untuk membaiki perbuatan dan perangai yang tidak disukai.

            Seseorang yang akan menyampaikan dan melafazkan pantun diingatkan supaya memerhatikan isi pantun. Keadaan pantun yang dilafaz menjadi pertimbangan dalam penyampaian isi pantun. Jika hal ini tidak diberi perhatian oleh seseorang yang melafazkan pantun, dikhuatiri akan menimbulkan salah faham kepada pendengar terutama pantun yang berkaitan sindiran dan nasihat. Begitu juga jika melafazkan pantun yang berkaitan dengan budi dan jenaka. Cara melafazkan pantun harus dijaga agar maksud atau tujuan sesuatu pantun itu dilafazkan sampai kepada pendengar. Sesungguhnya, pantun Melayu yang dicipta oleh masyarakat Melayu dahulu mempunyai pelbagai fungsi. Antara nilai yang terdapat dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata selenggaraan oleh Harun Mat  Piah, ialah:

i.              Mendidik

Masyarakat Melayu terutamanya golongan tua, kaya dengan pelbagai nasihat. Sebagai golongan yang ‘makan garam’ terlebih dahulu pastinya mereka mempunyai pelbagai pengalaman hidup dan amat peka terhadap perubahan sesuatu perkara. Justeru, jika mereka mendapati ada sesuatu perkara yang tidak kena atau bertujuan untuk memberi peringatan kepada golongan muda atau kanak-kanak, mereka akan menggunakan pantun sebagai alat untuk menyampaikan nasihat dan didikan. Contohnya:

Air melurut di tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk;
Elok diturut resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.

            Selain pantun nasihat, pantun agama juga dicipta oleh masyarakat dahulu untuk tujuan mendidik. Pantun agama yang dicipta selalunya memberi peringatan dan pedoman kepada semua lapisan masyarakat agar tidak tersasar ke jalan yang salah. Contohnya seperti pantun Melayu lama ini:

Sungguh indah pintu dipahat,
Burung puyuh di atas dahan;
Kalau hidup hendak selamat,
Taat selalu perintah Tuhan.


ii.             Meluahkan Rasa Kasih Sayang

Pantun Melayu juga digunakan untuk meluahkan perasaan kasih sayang dalam kalangan masyarakat Melayu tanpa kira batasan sama ada rasa sayang teruna kepada dara, suami kepada isteri atau anak kepada ibu dan bapa. Pantun-pantun sebegini akan disulami dengan kata-kata yang indah, berbunga-bunga, puji-pujian yang menggambarkan perasaan kasih, sayang, cinta dan rindu yang mendalam. Misalnya:

Ribu-ribu pokok mengkudu,
Cincin permata jatuh ke ruang;
Kalau rindu sebut namaku,
Air mata jangan dibuang.

            Pantun di atas menggambarkan nasihat orang yang melafazkan pantun kepada pasangannya yang kerinduan tidak kira sama ada pasangan kekasih atau suami isteri atau anak kepada ibu bapanya.

iii.            Menyampaikan Rasa Penghargaan

Masyarakat Melayu juga terkenal sebagai masyarakat yang tahu mengenang budi dan jasa. Oleh itu, kita dapat lihat banyak pantun Melayu yang dicipta untuk menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih kepada orang-orang yang telah berjasa atau berbudi. Antara pantun yang popular sehingga sekarang ialah:

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Rangkap pantun di atas memperlihat masyarakat Melayu zaman dahulu memandang tinggi orang yang berbudi lebih daripada segalanya.

iv.           Adat Istiadat

Masyarakat Melayu sememangnya mementingkan adat istiadat dalam kehidupan sehari-hari. Oleh itu, pantun juga memainkan peranan yang penting dalam upacara yang melibatkan adat istiadat. Dalam majlis merisik, bertunang sehinggalah majlis perkahwinan, pantun akan dilafazkan sebagai mukadimah atau pembuka kata sebagai tanda meminta kebenaran atau untuk menyampaikan maksud di hati. Pantun-pantun sebegini dikenali sebagai pantun adat.  Sebagai contoh, dapatlah kita lihat dalam pantun Melayu lama di bawah ini yang kerap kali dilafazkan dalam majlis merisik sehingga kini:

Tok Sami ke Teluk Lipat,
Kain sekodi dibawa sama;
Datang kami membawa hajat,
Kalau sudi minta terima.

v.            Sindiran

Pantun juga digunakan oleh masyarakat Melayu untuk menggambarkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu dengan bahasa yang berselindung atau dengan kata lain secara tidak berterus terang. Melalui pantun, masyarakat Melayu dapat menyembunyikan perasaan sebenar sama ada kesal, kecewa dan dukacita terhadap sesuatu dengan penyusunan kata-kata yang indah. Hal ini bertujuan mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan akhirnya mencetuskan pergaduhan antara mereka. Contohnya:

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

vi.           Menguji Minda

Pantun juga dicipta untuk tujuan mencabar ketangkasan fikiran. Pantun-pantun sebegini amat digemari ramai terutama golongan kanak-kanak. Pantun yang menguji minda ini dinamakan pantun teka-teki. Antara contoh pantun Melayu lama yang masih diingati ialah:

Kalau tuan pergi ke kedai,
Belikan saya buah keranji;
Kalau tuan bijak pandai,
Apakah binatang keris di kaki?

vii.          Hiburan

Pantun juga dicipta oleh masyarakat Melayu untuk tujuan hiburan. Pada zaman dahulu, masyarakat Melayu akan berhibur dengan melafazkan pantun-pantun bersifat jenaka atau mengusik. Misalnya:

Tuan Puteri memasang panjut,
Dayang tolong menghalau lalat;
Kucing tidur bangkit terkejut,
Melihat tikus pandai bersilat.


            Ada juga pantun yang dijadikan lagu untuk hiburan seperti lagu ‘Dondang Sayang’ yang popular dalam kalangan Baba Nyonya.


Sumber : http://karyaagung234.blogspot.com/2013/05/pantun-melayu-bingkisan-permata.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum. Dah baca kandungan, boleh tinggalkan komen. Terima kasih.