Selasa, 15 April 2014

ULASAN KARYA AGUNG


ULASAN KARYA AGUNG : BUSTAN AL-KATIBIN

Bustanu al-Katibin li’s-Sibyan al-Muta’allimin atau lebih dikenali sebagai Bustan al-Katibin  merupakan Kitab Perkebunan Jurutulis bagi Kanak-kanak yang Hendak Belajar. Kitab tersebut merupakan salah satu karya yang ditulis oleh penulis tersohor, ilmuwan dan budayawan Melayu terulung iaitu Raja Ali Haji yang berasal dari Pulau Penyengat, Kepulauan Riau.

Karya tersebut merupakan tulisan paling awal yang berkisar tentang bahasa Melayu. Kitab yang mempunyai pelbagai maklumat tentang tatabahasa Melayu ini siap dikarang pada 1267 Hijrah bersamaan dengan tahun 1850 Masihi. Hasil karya ini dihasilkan oleh penulis ketika beliau berumur kira-kira 41 tahun.


Kitab Bustan al-Katibin yang menjadi rujukan para pelajar dan bahan kajian ini merupakan naskhah salinan manuskrip yang terdapat di Perpustakaan Universiti Leiden. Kitab ini merupakan Koleksi Klinkert (KI 107) yang disusun dalam bentuk slaid dan dicetak foto atau photoprint. Karya awal ini mempunyai ketebalan sebanyak 80 halaman yang ditulis dengan menggunakan tulisan tangan. Tulisan dalam karya ini menggunakan skrip tulisan Jawi/Arab yang berbentuk gaya khat jenis nasyta’lik. Jenis tulisan khat tersebut mempunyai ciri-ciri tulisan yang tegap, seimbang, konsisten dan indah. 

Selain salinan manuskrip Bustan al-Katibin yang merupakan Koleksi Klinkert di Universiti Leiden, terdapat juga sebuah naskhah kitab yang dipercayai pertama kali dicetak pada tahun 1274 Hijrah bersamaan 1858  Masihi. Naskhah yang pernah dimiliki oleh Paderi Keasberry kini tersimpan di perpustakaan School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London. Terdapat perbezaan ketara yang dapat dilihat pada kedua-dua naskhah karya ulung tersebut. Naskhah SOAS mempunyai perkataan “mentaba” atau mencetak pada penghujung kitab yang bermaksud naskhah tersebut merupakan naskhah yang dicetak, manakala naskhah yang dikaji tertulis perkataan “telah selesailah mengarang kitab ini…” yang sememangnya ditulis oleh Raja Ali Haji.

Selain cetakan pertama tersebut, terdapat juga pendapat lain yang menyatakan kitab tersebut telah dicetak kali pertama  dengan menggunakan teknik percetakan batu (lithograph) di Riau pada tahun 1857 dan kemudiannya diulang cetak di Singapura. Terdapat satu naskhah lagi di England yang tersimpan di Perpustakaan University of Cambridge bertarikh 1891 yang bukan merupakan hasil cetakan tetapi disalin daripada naskhah lithograph. Naskhah-naskhah lain ialah Bustanul Katibin I dan Bustanul Katibin II yang tersimpan di Museum Pusat Jakarta.

PENGARANG BUSTAN AL-KATIBIN: RAJA ALI HAJI

Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad dilahirkan di Pulau Penyengat pada 1808 Masihi. Beliau berketurunan pembesar Bugis yang merupakan keturunan kedua, iaitu cucunda kepada Raja Haji FIsabilillah, Yang Dipertuan IV dari Kesultanan Lingga-Riau.
Datuknya, Raja Haji Fisabilillah merupakan seorang pahlawan yang menjadi Yamtuan Muda Johor pada tahun 1777. Ayahnya pula, Raja Haji Ahmad merupakan seorang pembesar Riau yang pernah dihantar berunding dengan Belanda di Jawa. Keadaan itu memberi peluang kepada Raja Ali Haji untuk menperdalam ilmu pengetahuan Islam daripada para ulama di Jawa. Raja Ali Haji sempat berguru dengan Saiyid Abdur Rahman al-Mashri dalam bidang ilmu falak. Selain itu, beliau juga banyak menimba pengalaman dan pengetahuan daripada para sarjana kebudayaan Belanda seperti T.Roode dan Van Der Waal yang merupakan sahabatnya.

Raja Ali Haji telah mengikut ayahnya, Raja Haji Ahmad ke Mekah sekitar tahun 1827. Pada ketika itu, beliau dan bapanya merupakan antara anak Raja Riau yang pertama menunaikan ibadah haji. Raja Ali Haji tinggal dan belajar di Mekah dalam suatu tempoh yang agak panjang. Keadaan itu mempengaruhi penulisannya kerana beliau berpendidikan Arab. Walaupun begitu, beliau masih mengekalkan bahasa Melayu Klasik tetapi banyak dipengaruhi oleh perkataan Arab dan struktur bahasa Arab.

Raja Ali Haji terkenal sebagai ahli bahasa melalui penulisan buku tatabahasa Melayu, iaitu “Bustan al-Katibin” pada tahun 1857. Usaha beliau dalam bidang penulisan mendapat sanjungan kerana penyusunannya membantu dalam penambahan buku tatabahasa Melayu. Di samping itu, beliau turut mengarang sebuah kamus yang bertajuk “Kitab Pengetahuan Bahasa”, iaitu kamus ekabahasa yang pertama di Nusantara. Karyanya yang paling terkenal ialah “Tuhfat al-Nafis” yang dikarangnya pada 1865 di Pulau Penyengat, Riau yang merupakan pusat pemerintahan Empayar Johor-Riau.

Beliau juga berbakat dalam bidang kesusasteraan. Karya-karya sastera beliau yang terkenal adalah seperti Syair Siti Sianah, Syair Suluh Pegawai, Syair Hukum Nikah dan Syair Sultan Abdul Muluk. Karyanya dalam bidang ketatanegaraan dan undang-undang dikenali sebagai “Mukaddimah fi Intizam”. Tokoh karyawan ini meninggal dunia sekitar tahun 1873 di Riau. Pada tahun 2006, pemerintah Republik Indonesia telah memberikan gelaran “Pahlawan Negara” bagi mengenang jasa-jasa yang telah diberikan oleh beliau.

KANDUNGAN BUSTAN AL-KATIBIN

Raja Ali Haji telah membahagikan kitab ini kepada tiga bahagian kandungan. Tiga bahagian tersebut terdiri daripada bahagian Mukadimah atau bahagian pendahuluan, bahagian Fasal-Fasal yang mengandungi 30 Fasal kesemuanya dan bahagian Khatimah atau bahagian penutup.

i)   MUKADIMAH

Bahagian Mukadimah membincangkan tentang kelebihan ilmu, akal, adab dan budi bahasa. Antara kata-kata yang terdapat dalam kitab tersebut yang menunjukkan tentang kelebihan-kelebihan tersebut ialah “’akal ialah sebaik-baik perhiasan”, “tanda ber’akal segera faham” dan “barang siapa jahat adabnya sia-sialah bangsanya (keturunannya)”.

            Selain itu, bahagian ini turut memperkatakan tentang kelebihan ilmu bahasa atau tutur kata dan karang-mengarang. Raja Ali Haji mengistilahkannya sebagai ilmu al-qalam wa al-kalam atau ilmu penulisan dan perbicaraan. Menurut beliau, kepandaian berbahasa dan penggunaan qalam atau pena untuk penulisan karang-mengarang adalah lebih berkuasa daripada pedang dan senjata seperti yang dinyatakannya dalam petikan berikut:
“…segala pekerjaan pedang boleh diperbuat oleh dengan qalam, adapun pekerjaan-pekerjaan qalam tiada boleh diperbuat dengan pedang…”

            Raja Ali Haji turut menyatakan syarat dan adab untuk menuntut ilmu dalam bab ini. Beliau menyatakan syarat bagi menuntut ilmu ialah “antara nafsumu dengan dirimu sendiri” yang bermaksud untuk menuntut ilmu kita perlulah mempunyai keinginan untuk belajar yang tinggi. Adab menuntut ilmu pula ialah “antara dirimu dengan gurumu” yang membawa maksud seseorang yang ingin menuntut ilmu perlulah beradab dan menghormati gurunya.

ii)   FASAL-FASAL

Bahagian kedua dalam Bustan al-Katibin terdiri daripada 30 Fasal. Fasal-fasal tersebut pula dibahagikan kepada enam topik. Pembahagian enam topic tersebut adalah menikut fasal seperti Fasal 1 hingga Fasal 9, Fasal 10 hingga Fasal 13, Fasal 14 dan Fasal 15, Fasal 16 hingga Fasal 28, Fasal 29 dan Fasal 30.

            Fasal 1 hingga Fasal 9 membincangkan tentang peraturan ejaan Jawi bahasa Melayu. Peraturan tersebut menerangkan terdapat 30 abjad bahasa Arab dengan tambahan empat abjad lain, iaitu ca, ga, nga dan nya untuk digunakan sebagai fonem Melayu. Raja Ali Haji menegaskan bahawa walaupun penggunaannya digunakan sebagai fonem Melayu tetapi abjad asalnya adalah daripada bahasa Arab seperti kata berikut, “…diambil rumahnya daripada rumah Arab jua.”

            Topik kedua yang dibincangkan dalam kitab tersebut adalah berkaitan huraian tentang kelas kata. Topik tersebut terletak dalam Fasal 10 hingga Fasal 13. Kelas kata dibahagikan kepada tiga golongan, iaitu kelas kata isim atau kata nama, kelas kata fi’il atau kata kerja dan kelas kata harf atau kata partikel. Raja Ali Haji membahagikan setiap kelas kata tersebut kepada beberapa golongan kecil dan dihuraikan satu-persatu secara terperinci.

            Fasal 14 dan Fasal 15 pula menerangkan tentang topik unit-unit tatabahasa yang terdiri daripada ayat atau klausa, frasa dan perkataan. Unit-unit tatabahasa ini diistilahkan oleh pengarang sebagai perkataan-perkataan bagi ayat atau klausa, kata-kata untuk frasa dan kata digunakan untuk merujuk perkataan.

            Fasal 16 hingga Fasal 28 adalah berkaitan dengan pelbagai binaan sintaksis. Ayat atau klausa dijelaskan mengikut pola binaannya berdasarkan jenis-jenis subjek dan predikat yang berbeza-beza. Selain itu, pelbagai jenis binaan frasa turut dibincangkan dalam topik ini. Unit tatabahasa ketiga, iaitu perkataan pula dikatakan sebagai unsur terkecil dalam sintaksis.

            Fasal 29 pula berkaitan prinsip dan peraturan menyusun perkataan dalam membuat karangan, iaitu perkara yang perlu diutamakan dan didahulukan dalam penulisan sesebuah karangan. Fasal 30 merupakan sambungan prinsip dan peraturan dalam Fasal 29. Pengarang, iaitu Raja Ali Haji menerangkan secara terperinci termasuklah penggunaan bahasa raja-raja. Selain itu, kaedah membuat surat kiriman lengkap yang terdiri daripada pendahuluan, kandungan dan penutup turut dibincangkan dalam fasal ini.

iii)   KHATIMAH

Bahagian Khatimah atau bahagian penutup pula mengandungi tiga pesanan daripada Raja Ali Haji. Pesanan pertama ditujukan kepada para penuntut supaya sentiasa mematuhi adab, syarat dan peraturan menuntut ilmu. Pesanan kedua pula ditujukan kepada para guru. Para guru perlulah mengajar secara tertib mengikut susunan bab dan fasal. Pesanan terakhir ditujukan kepada para penyalin kitab tersebut supaya tidak mengurangkan atau melebih-lebihkan isi kandungan yang terkandung dalam kitab.

Raja Ali Haji mengakhiri penulisan dalam kitab tersebut dengan selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W, keluarga dan sahabatnya. Beliau juga memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T dengan ucapan al-hamdulillahi Rabbi ‘l-‘alamin.


Sumber :

Hashim Musa (2005). Bustan al-katibin. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan

http://www.syarifhade.com/index.php?option=com_content&view=article&id=133:bustan-al-katibin-kitab-tata-bahasa-melayu-pertama-karya-anak-negeri&catid=40:filologi&Itemid=37

http://kumpulan5kac.blogspot.com/2013/05/ulasan-karya-agung_21.html




________________________________



ULASAN KARYA AGUNG : HIKAYAT HANG TUAH

Manuskrip Hikayat Hang Tuah bertulisan Jawi milik Almarhum Tengku Ibrahim ibni Almarhum Tengku Muhammad menjadi bahan sumber utama bagi penerbitan Hikayat Hang Tuah buat kali pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1964 oleh Kassim Ahmad. Naskhah yang berjaya menambat hati para sarjana pelbagai negara ini bukanlah karya yang boleh dianggap sebagai karya sejarah. Hal ini jelas dilihat pada perkataan “Hikayat” yang menjadi pangkal judul karya agung ini. Namun demikian, teks ini diakui sebagai pelopor bentuk novel Melayu moden yang ditampilkan oleh Syed Syeikh al-Hadi menerusi Hikayat Faridah Hanum (1925).

Karya kreatif yang memuatkan elemen sejarah dan sastera ini dimulakan dengan pengenalan dan penubuhan Kesultanan Melayu Melaka yang berpusat di Singapura sebelum ke Bentan dan Melaka. Susur-galur hikayat ini dipenuhi pelbagai kisah mengenai kepahlawanan Hang Tuah dan empat bersaudara iaitu Hang Lekir, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Jebat.  Naskhah ini menampilkan Hang Tuah sebagai seorang legenda yang penuh keramat sama seperti watak Raja Melaka, Bendahara dan Temenggung yang hidup dari tarikh pembukaan kota Melaka, namun tidak disebut tentang kematiannya. Unsur realisme magis yang wujud dalam karya ini mengukuhkan kewujudannya sebagai karya kreatif yang penuh kemewahan estetik cerita dan bahasa. Hal ini sekali gus menolak usaha memperkecil karya ini sebagai naskhah tidak logik dan melanggar hukum sejarah.

Epik Melayu Hikayat Hang Tuah mengisahkan kesetiaan dan ketaatan seorang rakyat terhadap raja. Ketaatan tidak berbelah bahagi menyebabkan Hang Tuah rela berkorban nyawa demi memenuhi segala kehendak raja termasuklah menculik Tun Teja yang menjadi idaman raja. Pengkaji mendapati hikayat ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian perlawanan dan bahagian pengembaraan. Wira Hang Tuah yang berjaya memiliki keris Taming Sari menjadi titik temu dalam naskhah ini.

Satu kisah yang amat penting dalam hikayat ini ialah pertelingkahan antara Hang Tuah dengan Hang Jebat akibat perbezaan pendapat. Meskipun Hang Tuah dan Hang Jebat bersahabat sejak kecil hingga dewasa, keengganan Hang Jebat menerima ketaatan penuh Hang Tuah hingga mengorbankan nyawa menyebabkan Hang Jebat mengamuk di istana. Rasa ingin menuntut bela atas kekejaman raja yang menjatuhkan hukuman mati terhadap Hang Tuah ingin dilunasi Hang Jebat. Akhirnya Hang Jebat mati ditikam Hang Tuah.

Persahabatan, kemanusiaan atau kesetiaan terhadap raja menjadi fokus persoalan Hang Tuah dan Hang Jebat. Tingkah Hang Jebat ialah satu usaha baharu pengarang menampilkan pandangan terkini pada era itu mengenai polemik ketaatan terhadap raja yang tidak berperikemanusiaan.

Pengenalan tambahan oleh sarjana sastera Noriah Mohamed dalam edisi ini membolehkan khalayak pembaca mendapat satu gambaran yang lebih jelas dalam meneliti, memahami dan menganalisis karya agung ini. Sekiranya terdapat segelintir masyarakat sastera yang menanggap bahawa naratif penuh magis lahir dari dunia Barat, maka pembacaan terhadap karya agung

Hikayat Hang Tuah dalam Tamadun Melayu ini akan mendedahkan ilmu penulisan kreatif Melayu yang sudah lama dimesrai realisme magis menerusi watak Hang Tuah berserta segala keistimewaannya.

Sumber :

http://dwnsastera.dbp.my/?p=1156

Hassan Ahmad (2000). Pengenalan konsep dan gagasan karya agung yayasan karyawan. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.

http://karyaagung3022.blogspot.com/2013/05/ulasan-karya-agung_21.html




ANALISIS KARYA AGUNG


Hikayat Hang Tuah

Konsep Penulisan Hikayat Hang Tuah

Hikayat Hang Tuah ialah sebuah epik Melayu yang bukan sahaja terkenal dalam kalangan bangsa Melayu tetapi di seluruh Nusantara dan salah satu manuskrip atau teks yang tertua. Penulisan Hikayat Hang Tuah yang asal telah ditulis dalam tulisan jawi. Pertama kali hikayat ini telah disebut pada kurun ke-17 dan dihasilkan pada akhir kurun ke-17 serta terdapat sekurang-kurangnya 20 manuskrip teks tersebut. Hikayat ini memperlihatkan ciri-ciri kepahlawanan pada zaman kesultanan Melayu yang mencatatkan watak Hang Tuah sebagai tokoh agung dan lambang kemegahan bagi bangsa Melayu. Berdasarkan buku Hang Tuah Tokoh Epik Nasional yang ditulis oleh Ahamd Sarji, Hikayat Hang Tuah telah ditulis antara tahun 1641 dan 1721 dan menurut Soelastin Soetrisno menyatakan bahawa jurang tarikh itu boleh dirapatkan lagi iaitu antara 1676 dengan 1700.

Watak Hang Tuah yang timbul dalam penulisan hikayat ini berbeza dalam bahagian pertama dengan wataknya dalam bahagian kedua. Dalam bahagian pertama, Hang Tuah digambarkan sebagai seorang pahlawan yang gagah, garang, dan berani. Dalam bahagian kedua pula Hang Tuah digambarkan seorang pengembara, diplomat, dan ahli sufi, iaitu bijaksana, sabar, dan warak. Kemungkinan, dua watak yang berbeza itu dapat digambarkan mempunyai dua peringkat riwayat bangsa Melayu sebelum zaman moden, iaitu peringkat kebangkitannya dan peringkat kejatuhannya. Melalui sifat-sifat Hang Tuah ini boleh dijadikan sebagai role model orang lain dan sebagai bukti kebolehan yang ada dalam diri seorang anak Melayu.

Pengarang hikayat ini tidak diketahui tetapi mungkin menunjukkan bahawa beliau berasal daripada golongan pegawai Raja yang paling kanan iaitu Bendahara yang keluarganya mempunyai pertalian darah dengan Raja itu dan yang kelihatan mungkin memendam cita-cita untuk menduduki takhta. Mengikut Encyclopedia of Malaysia dalam buku Hang Tuah Tokoh Epik Nasional (2004: 3), perkataan “hikayat” ialah kata pinjaman daripada bahasa Arab yang bererti semua jenis sejarah. Dalam bahasa Melayu, erti perkataan ini telah berubah mengikut edaran masa sehingga dalam judul sesuatu karya, perkataan tersebut membawa maksud “cerita”.

 Kekuatan Pengarang

Sebagai sebuah epik, Hikayat Hang Tuah mempunyai kekuatan tersendiri antaranya daripada segi gaya penulisan, iaitu bahasa. Pengarang Hikayat Hang Tuah telah memuatkan unsur-unsur puisi dalam karyanya sebagaimana prosa Melayu yang lain. Penggunaan puisi ini mampu menjadikan cerita itu berestetik dan indah apabila dibaca oleh orang lain. Puisi ini juga dapat menyampaikan maksud sama ada secara tersirat atau tersurat dan pembaca akan berasa terhibur apabila membacanya. Puisi pantun telah diselitkan dalam karya ini bagi menambahkan keindahan bahasa cerita. Contohnya :

Kain bersuji di atas atap,

     Pakaian raja hari raya;
Jika sudi tuan santap,
     Jika tidak apakan daya.

Hang Tuah dan para sahabatnya juga pandai berpantun. Hal ini demikian jelaslah bahawa mereka suka berbalas-balas pantun dalam menyampaikan sesuatu cerita bagi memeriahkan sesuatu keadaan. Selain itu, kekuatan pengarang terserlah apabila banyak memaparkan aspek-aspek kemasyarakatan, kemanusiaan, kebudayaan, nilai-nilai moral, dan sebagainya. Aspek kemasyarakatan dapat dilihat apabila watak-watak dalam Hikayat Hang Tuah ini mengamalkan sikap kerjasama, gotong-royong, bersatu-padu, dan sebagainya. Sebagai contoh sikap gotong-royong terpamer apabila rakyat jelata bersama-sama membina istana Melaka menyiapkan sebuah kapal atau jong untuk kenaikan raja. Bagi aspek kebudayaan pula dapat diperhatikan dalam pelbagai bentuk sama ada melalui adat resam yang diamalkan seperti adat pertabalan raja, menyambut tetamu, adat bertemu dengan raja atau pembesar kerajaan, adat kenduri, dan sebagainya. Nilai-nilai moral pula dapat ditunjukkan melalui watak Hang Tuah sendiri iaitu seorang yang merendah diri, rajin dalam menuntut ilmu, semangat kesetiaan kepada raja dan sahabat, hormat-menghormati, dan sebagainya. Sikap ini perlu dicontohi oleh para pembaca sebagai motivasi diri untuk menghadapi cabaran yang lebih besar. Jika nilai-nilai positif ini tidak ada dalam diri, maka sukarlah sesuatu pekerjaan itu dapat dilakukan dengan baik malah sering mendapat masalah. Oleh itu, setiap cerita mempunyai maksud yang hendak disampaikan sama ada baik atau buruk. Perkara yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.

 Motif Pengarang

Antara motif pengarang Hikayat Hang Tuah ialah ingin mengetengahkan sifat-sifat positif yang ada dalam diri Hang Tuah itu sendiri. Jati diri Melayu terserlah melalui sifat peribadi Hang Tuah yang dianggap sebagai wira unggul Melayu dan sangat berwibawa. Sikap Hang Tuah telah dipaparkan oleh pengarang dalam pelbagai segi sama ada fizikal, mental, dan rohani. Contohnya, Hang Tuah mempunyai sifat keberanian yang tinggi dan luar biasa. Beliau mampu mengalahkan seramai 70 orang yang mengamuk ketika di Majapahit. Hal ini demikian dapat dibuktikan apabila Hang Tuah dilihat begitu bijak dalam mengatur strategi ketika berhadapan dengan 70 orang penjurit walaupun keseorangan disebabkan beliau mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam dunia persilatan untuk mempertahankan diri daripada musuh. Sifat keberanian yang ditonjolkan ini perlu ada dalam diri setiap generasi seterusnya bagi mengelakkan berlakunya penindasan dan tidak adil dalam sesuatu pentadbiran. Orang yang berada di bawah juga tidak akan terus berada di bawah sebaliknya mampu memajukan diri menjadi yang lebih baik.

Selain itu, pengarang menunjukkan kepentingan menuntut ilmu sebagai suntikan semangat kepada generasi seterusnya untuk mendalami pelbagai ilmu pengetahuan. Hang Tuah telah memantapkan diri dengan mempelajari pelbagai ilmu sama ada secara zahir dan batin. Hal ini demikian dapat dibuktikan oleh Hang Tuah apabila beliau mampu bertutur dalam 12 bahasa asing, fasih berkata-kata, dan mempunyai raut wajah yang manis serta sopan. Gambaran fizikal Hang Tuah telah diceritakan dalam hikayat ini iaitu:

“Maka Syahbandar pun kasih mesra rasanya melihat laku Laksamana berkata-kata dengan bahasa Arab itu, fasih lidahnya dengan manis mukanya berkata-kata, sangat ia merendahkan dirinya”.
(Hikayat Hang Tuah, hlm. 473)

Ketika Hang Tuah berada di Tanah Arab, Rom, Siam, India, dan China, beliau mampu bertutur dan memahami setiap bahasa yang dipertuturkan oleh masyarakat tersebut. Contohnya, Kisna Rayan telah melantik Hang Tuah sebagai wakil kerajaan Keling ke negara China kerana kepandaian Hang Tuah bertutur dalam bahasa Keling menyamai dengan penduduk di negara tersebut. Hang Tuah juga mempelajari semua ilmu hulubalang dan pertapaan. Oleh itu, pengarang ingin menunjukkan bahawa budaya ilmu amat penting sebagai manusia Melayu. Dengan kemantapan ilmu yang dimiliki oleh seseorang mampu menjadikan diri dihormati dan disegani oleh orang lain. Walau bagaimanapun, ilmu yang dimiliki mestilah digunakan secara wajar dan bukan untuk membangga diri. Inilah perkara yang ingin diterapkan oleh pengarang melalui watak-watak yang dipaparkan dalam hikayat ini.



_________________________________

Sulalatus Salatin

Konsep Penulisan Sulalatul-salatin

Sulalatul Salatin atau Sejarah Melayu merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Teks –teks yang dikenali sebagai Sejarah Melayu atau Sulalatul Salatin  ini telah melalui beberapa zaman dan dianugerah dengan sejarahnya yang tersendiri. Karya ini telah menempuh beberapa tahap perkembangan. Naskah asal karya ini telah disalin beberapa kali di Johor. Karya ini ditulis pada tahun 1612 oleh Tun Seri Lanang dan cerita secara lisan serta salasiahnya telah berkembang dalam kalangan istana sejak awal dari tahun tersebut.

Sulalatul Salatin  adalah sebuah karya yang tercipta daripada titah raja. Terdapat sebuah titah yang berbunyi :

“bahawa hamba minta diperbuat hikayat pada bendehara perteturun segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya supaya didengar oleh cucu kita kemudian dari kita dan ketahuinyalah segala perkataan, syahadah beroleh faedahnya mereka itu daripadanya”.
(Sulalatul Salatin, hlmn. 390)

Seluruh sejarah bangsa Melayu melalui karya ini dikonsepkan sebagai terdiri daripada cerita dan episod yang menjadi tapak dan petak sejarah. Dalam cerita dan episod ini terdapat peristiwa yang membawa kepada kesimpulan yang diinginkan misalnya nilai yang diunggulkan, manusia terpilih yang harus dicontohi serta kelemahan dan kejahatan yang merosakkan manusia dan negeri. Hal ini demikian seharusnya dielak dalam pembentukan sesebuah negeri. Tidak kurang juga soal hubungan antara manusia dan negeri yang aman dan berperadaban. Ruang naratif inilah yang membawa pelbagai makna yang tidak hanya menceritakan sebuah jurai keturunan raja-raja Melaka.

 Kekuatan Pengarangan

Kekuatan pengarangan yang dapat dianalisis berdasarkan karya ini ialah melalui bahasa yang disampaikan kepada pembaca. Bahasa hakikatnya berubah bergantung kepada zaman sesebuah karya itu ditulis. Karya akan diwarnai oleh perbendaharaan, cara penggunaan dan cita rasa zaman tersebut. Hal ini dapat membantu para pembaca menyelami akal budi seseorang pengarang Melayu dan dapat mencerminkan bahasa zamannya. Walaupun bahasa sesebuah teks itu dapat berubah mengikut zaman, namun bentuk aslinya masih dapat dikekalkan dan dibayangkan secara langsung kepada pembaca. Hal ini demikian kerana karya yang terhasil adalah daripada sumber bertulis dan bukan secara lisan.

Kekuatan bahasa dalam karya agung ini dibuktikan melalui penggunaan perbendaharaan kata iaitu banyak menggunakan kata-kata bahasa Melayu Kuno. Antara perkataan bahasa Malayu asli kuno yang didapati dalam karya ini seperti :

Tuha, mentuha, poawang, berparang, mutah, nulayan, nyiah, taban, junum, ejung, tujerumusy, ngeran, lasa, jengkelenar, maya, bilalang, remak, semakuk, menguliling, datu nene, bubung.

Begitu juga penggunaan imbuhan yang kita kenal sebagai /ber/, wujud dalam bentuk yang lebih pendek, /be/ yang kelihatan lebih awal sifatnya dalam perkataan seperti betingkah, belayam dan sebagainya. Terdapat juga bentuk kuno yang menyengaukan beberapa bunyi yang tidak lagi disengaukan dalam bahasa Melayu moden seperti :

menengar = mendengar
mementang  = membentang
mengantarkan = menghantarkan

Melalui penelitian dalam aspek bahasa karya ini, didapati terdapat penggunaan kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit yang telah diikitiraf dalam pekembangan awal bahasa melayu. Banyak penggunaan kata yang dipakai tanpa proses asimilasi ke dalam cara penyebutan Melayu.  Asmah haji Omar (1991: 141) juga telah mendapati terdapat pinjamaan bahasa Sanskrit yang lebih purba sifatnya dalam Sulat al-Salatin seperti :

Nugraha, manusya, binasya, basya, syegera, kerena, karunia, syurga, dan pendita

Bakat sastera pengarang karya ini diturunkan dalam pelbagai nada seperti moralistis, sering khusuk dan merujuk kepada Al-Quran dengan pandangan sejarah yang amat luas dan melihat bahawa sejarah harus dibayar dan negara adalah perjanjian rakyat dengan rajanya yang dipilih Allah sebagai gantiNya di dunia (Muhammad Haji Salleh, 1997: 5). Antara unsur yang luar biasa melalui pengarangan teks ini ialah “vignette”nya iaitu bukan saja melukis bakat sepanjang sejarah, tetapi dilukin dengan mata pena  yang halus namun tajam. Ada yang mempamerkan neurosisnya, orang nakal, pelaram, pemabuk dan sebagainya.

Terdapat juga unsur yang jelas dibawa oleh pengarang dalam Sulalatul Salatin iaitu unsur humor yang ditemui dalam halaman-halaman karya ini. Unsur humor diberikan tempat seiring dengan tragedi, keperitan hidup, penganiyaan dan penyeksaan. Dalam kajian Syed Zulfida (1976) dan Yusoff Iskandar dan Abd. Rahman Kaeh (1978: 119-134) diperlihatkan bagaimana Tun Seri Lanang kerap menggunakan unsur ini yang sering digandingkan oleh ejekan serta kecerdasan mengolah bahasa.

Motif Pengarang

Motif pengarang Melayu melalui teks yang ditulisnya tidak jauh membicarakan secara langsung mahupun tidak langsung aspek pengajaran dan kehidupan. Hal ini demikian sebagai salah satu tugas sasteranya. Berbagai-bagai cara telah digunakan untuk tujuan ini dan salah satunya ialah memberi ruang untuk menyampaikan pesanan terakhir seorang raja atau bendehara yang penting. Melalui kata-kata terakhir ini, kesimpulan daripada makna kehidupan dicerna untuk zaman dan generasi akan datang.

Cerita-cerita yang dipaparkan pengarang mempunyai unsur moral, agama dan pedagogi. Pembaca akan memperoleh maklumat tentang keturunan raja-raja Melayu dan adat istiadatnya serta peristiwa-peristiwa penting dalam perjalanan kerajaan Melayu Melaka dan jajahannya. Tambahan pula, pembaca juga diberi pengetahuan tentang kezaliman raja dan golongan bangsawan, serta bagaimana perlakuan seseorang raja yang zalim itu dibalas dengan keruntuhan negerinya. Sifat keangkuhan akan berakhir dengan kejatuhan dan pegawai yang jujur akan disanjung oleh masyarakat.


Bibliografi

Abdul Halim Bandan (1994). Hikayah Hang Tuah untuk SPM. Kuala Lumpur: Cahaya Pantai (M) sdn. Bhd

Ahmad Sarji (2004). Hang Tuah: Tokoh Epik Nasional. Selangor: Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd

Kassim Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka

Muhammad Haji Salleh (1997). Sulalat al-Salatin. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Yusoff  Iskandar dan Abd Rahman Kaeh (1985). Sejarah Melayu: Satu Perbincangan KritisDari Pelbagai Bidang. Kuala Lumpur: Heinnemann.

http://kumpulan5kac.blogspot.com/2013/05/ulasan-karya-agung_21.html


IDEALISME & FALSAFAH MELAYU

FALSAFAH MELAYU DALAM KARYA AGUNG

Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani atau Greek Purba. Perkataan falsafah merupakan gabungan dua perkataan iaitu philo yang bermaksud cinta dan sophia yang bermaksud “kebijaksanaan”. Oleh itu, falsafah boleh diertikan sebagai “cinta akan kebijaksanaan”. Menurut  Kamus Dewan Edisi keempat, falsafah ialah pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu ilmu yang lain. Falsafah juga didefinisikan sebagai kebijaksanaan atau hikmah menggunakan akal fikiran untuk mengetahui kebenaran yang hakiki.

Berdasarkan Hashim Hj. Musa (1994). Falsafah merupakan kajian secara renungan dan spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. Berdasarkan pendapat pendapat yang diberikan, dapatlah dirumuskan bahawa ilmu falsafah ialah ilmu yang mengkaji dan meneliti objek yang abstrak dan logikal yang merupakan hakikat benda benda kejadian di alam semesta.

Falsafah ialah satu disiplin ilmu yang dapat dihuraikan melalui tiga sudut pandangan iaitu sudut pandangan bahasa, sudut pandangan pemerhatian praktis dan sudut pandangan perbezaannya daripada ilmu-ilmu yang lain. falsafah juga merupakan satu disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Perkataan falsafah dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa arab yang juga berasal daripada perkataan yang disebut sebagai philosophia.

FALSAFAH MELAYU

Kehidupan masyarakat Melayu sememangnya tidak terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu dipatuhi berdasarkan kesepakatan masyarakat. Masyarakat Melayu sangat mementingkan aspek nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat. Nilai yang disampaikan bersifat beradab, muafakat dan penuh dengan kesusilaan. Pemupukan nilai dalam masyarakat Melayu membolehkan seseorang itu diterima sebahagian daripada masyarakat.  Nilai sememangnya menjadi sesuatu yang dekat dengan masyarakat Melayu. Nilai dan etika yang dipegang menjadi cerminan kepada masyarakat Melayu dan membentuk jati diri mereka dalam interaksi dan kehidupan bermasyarakat. Sebagai contoh, interaksi yang beradab, sopan, menghormati orang lain merupakan norma- norma yang erat dengan kehidupan masyarakat Melayu. Nilai yang diamalkan akan menghasilkan komunikasi dan tingkah laku yang penuh tatatertib yang beradab dan penggunaan bahasa yang penuh dengan kesantunan. Menurut Al-Farabi, falsafah adalah ilmu yang berkisar tentang alam untuk diselidiki hakikatnya yang sebenar. Al kindi pula menyaakan bahawa falsafah adalah salah satu pengetahuan tentang realiti segala sesuatu, sejauh jangkauan kemampuan manusia.

Selain itu, Masyarakat Melayu mempunyai penilaiannya yang tersendiri terhadap budi bahasa. Mereka telah terdidik untuk mengamalkan adab sopan, tutur kata yang baik dan tingkah laku mengikut adab- adab ketimuran dan Melayu sejati. Anggota masyarakat yang tidak mengamalkan nilai berbudi bahasa dalam kehidupam mereka akan menimbulkan pandangan negatif oleh masyarakat. Ketinggian nilai budi bahasa dalam masyarakat Melayu juga boleh dilihat dalam ungkapan puisi Melayu tradisional. Dunia Melayu mempunyai pelbagai bentuk dan puisi Melayu tradisional seperti pantun, syair, gurindam, seloka, teromba, peribahasa berangkap, nazam, ghazal, berzanji, teka-teki, dan dabus.

FALSAFAH BAHASA DARI SUDUT NAHU DALAM SULALATUS SALATIN

Semua bahasa yang terdapat di dunia mempunyai nahu atau tatabahasa yang tersendiri, terutamanya bahasa Melayu. Nahu atau tatabahasa merujuk kepada sistem atau susunan sesuatu bahasa. Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Penggunaan nahu yang sempurna bermaksud penggunaan kata atau perkataan dan ayat yang betul dalam proses berbahasa. Nyanyian dalam karya sulalatus salatin memperlihatkan penggunaan bahasa yang sangat halus untuk menggambar sesuatu perkaran. Perkara ini dapat dilihat melalui nyanyian Kapitan Melaka.

Dihela-hela diretak sehasta
Kandis dipenggalkan
Alangkah gila Raja Kecil
Menggusta manis ditinggalkan
Melihat buah hartal masuk.
(Muhammad Haji Salleh, 1997: 217)

Nilai berbudi dan berbahasa dianggap sebagai suatu nilai yang tinggi dalam masyarakat Melayu dan disanjung tinggi sebagai ukuran ketinggian keperibadiannya. Dalam karya Sulalatus Salatin yang ditulis oleh Muhammad Haji Salleh menunjukkan ketinggian ilmu orang Melayu dalam berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang indah seperti pantun dan syair.

FALSAFAH ALAM

Hubungkait antara manusia dan alam sekitarnya iaitu “bagaimana manusia menggunakan kebijaksanaan untuk berinteraksi dengan alam. Dalam pemikiran Hamka, alam membantu masyarakat untuk terus berpegang bahawa segala yang ada di seluruh alam ini telah terancang oleh Pencipta. Menurut ahli falsafah agama seperti Klaus Klostermaier, kepentingan memahami alam sebagai unsur yang mempunyai nilai ketuhanan  bukanlah sebagai jalan terakhir, tetapi sebagai jalan yang sebenar dalam memastikan alam sekitar dihargai. Menurut agama Hindhu dan Kristian juga, kedudukan alam wajib dihargai.

KONSEP FALSAFAH ISLAM

Falsafah ialah satu disiplin ilmu yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Menerangkan pertalian antara manusia dengan penciptanya, antara manusia dengan manusia dan juga manusia dengan persekitarannya. Falsafah islam  tidak dapat dipisahkan daripada dua sumber berautoriti iaitu al-quran dan as-sunnah.

FALSAFAH IBADAH DALAM SULALATUS SALATIN

"Hendaklah engkau sangat-sangat menyerahkan dirimu kepada hadrat Allah Taala yang akan memelihara akan kamu, kerana wa man yatawakkal 'ala'llah. Dan segala anak Melayu bagaimanapun besar dosanya, jangan olehmu diaifi dia, dan sampai kepada hukum syarak dosanya derhaka, bunuhlah; ............ Jikalau engkau bunuh ia tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa."
(Muhamad Haji Salleh, 1997: 186 -187)

Raja Iskandar menyuruh Raja Kida Hindi untuk memeluk agama Islam. "Kata Nabi Khidir: ' Ketahui olehmu hei Raja Kida Hindi, bahawa raja kami inilah yang diserahlan Allah Taala kerajaan dunia ini kepadanya,dari daksini lalu ke paksina.”
(Muhammad Haji Salleh, 1997: 5)

Aspek politik masyakarat melayu Walaupun raja pernah bermusuhan, apabila sudah kalah,raja lama secara langsung menghormati raja baru.

FALSAFAH KEADILAN DALAM SULALATUS SALATIN

Falsafah keadilan dapat dilihat melalui tindakan Sultan Muzaffar Syah mewujudkan undang-undang untuk mengelakkan menteri melakukan kesilapan. ganjaran terhadap kesilapan yang dilakukan ialah hukuman. Dalam karya ini tidak banyak menonjolkan sikap raja yang adil, tetapi perkara yang banyak ditonjolkan adalah berkaitan sikap raja yang tidak adil. Beliau memang patut dipuji kerana tidak hanya menceritakan kebaikan sahaja, malah turut menceritakan kezaliman yang telah dilakukan oleh raja. Beliau patut dipuji kerana tidak menyembunyikan kezaliman raja terhadap rakyat dan juga pembesar. Terdapat banyak peristiwa yang mempamerkan ketidakadilan raja. Sebagai contoh, kezaliman yang dilakukan oleh Sulatan Mahmud Syah ke atas keluarga Tun Fatimah kerana berdendam. Sultan Mahmud Syah telah membunuh Tun Mutahir, Tun Ali, dan keluarga Tun Fatimah.

Setelah Sultan Mahmud Syah melihat rupa Tun Fatimah maka baginda pun terlalu khairan. Maka teringinlah rasa Sultan Mahmud Syah akan Tun Fatimah. Maka baginda berkata dalam hatinya, “Jahatnya Pa’ Mutahir ini, demikian baik anaknya tiada ditunjukkannya kepada kita.”

Maka Sultan Mahmud Syah pun berdendamlah rasanaya akan Bendahara Seri Maharaja.

(Muhamad Haji Salleh, 1997 : 201)

FALSAFAH MELAYU BERKAITAN DENGAN ADAT

Adat merupakan peraturan yang diamalkan sejak turun temurun. Adat yang diwujudkan perlu dipatuhi oleh masyarakat. Dalam Sulalatus Salatin, terdapat banyak adat Melayu yang diamalkan oleh golongan raja dan golongan rakyat. Adat yang digunakan pada masa dahulu juga masih ada yang digunakan pada masa sekaranag sesuai dengan peredaran masa.

ADAT PENGANUGERAHAN GELARAN

Adat ini dimulakan dengan menjemput orang yang bakal menerima gelaran ke istana. Jemputan pula penganugerahan adalah mengikut pangkat dan gelaran yang bakal diterima. Orang besar-besar akan menjemputnya jika mendapat penganugerahan ‘Perserian’. Bagi anugerah ‘Persangan’ hanya orang kecil-kecil sahaja yang akan menjemput orang yang bakal menerima anugerah. Orang yang akan menerima anugerah akan dijemput dengan menggunakan gajah atau kuda.

Mereka akan diiringi dengan payung dan gendang se­runai ke istana. Ketika tiba di istana, riwayat mereka akan dibaca dan diberi persalinan mengikut gelaran yang diberikaan oleh raja. Sebagai contoh, anugerah Bendahara akan diberi lima ceper persalinan.

Jika baginda menggelar orang, maka raja dihadap orang di balairung, orang beradat. Maka dijemput orang itu: jika "Perserian ", Orang Besar-besar menjemput dia; jika "Per­sangan", orang kecil menjemput dia; jika "Pertuanan" orang sedang menjemput dia; dan jika orang bergelar itu patut bergajah, dibawakan gajah; yang patut berkuda, dibawakan kuda; dan jikalau tiada patut bergajah dan berkuda, dibawa berjalan dengan bingkisan, dengan payung dan gendang se­runai, tetapi payung itu, ada hijau, ada yang biru, ada yang merah, dan sebesar-besamya payung kuning; dan payung putih dengan nagara itu mahal adanya, sebaik-baiknya nafiri. Dan payung kuning itu payung anak raja-raja dan orang besar-besar; dan payung ungu dan merah dan hijau itu payung sida-sida dan ben tara hulubalang sekalian. Adapun payung biru dan hitam itu akan payung barang orang bergelar juga.
(A. Samad Ahmad, 1979: 76)

ADAT MENGADAP RAJA DI BALAIRUNG

Semasa mengadap raja terdapat adat istiadat mengadap raja di balairung. Pembesar-pembesar akan di susun mengikut pangkat kebesaran tersendiri seperti bendahara, penghulu bendahari, dan temenggung akan duduk di seri balai. Anak- anak raja akan duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Sida- sida yang muda akan duduk berselang-seli dengan bentara dan hulubalang yang berdiri di ketapakan balai memikul pedang. Petikan di bawah menggambarkan aturan mengadap raja di balairung.  Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.

“Kemudian dari­pada itu maka Raja Iskandar pun keluarlah ke penghadapan, dihadap oleh segala raja-raja dan ulama dan pendita dan segala Orang Besar-besar, dan segala pahlawan yang gagah-gagah mengelilingi takhta kerajaan baginda, dan dan belakang ba­ginda segala Hamba yang khas dan segala yang kepercayaannya.”
(A.  Samad Ahmad, 1979: 5)

FALSAFAH KEKUASAAN

Falsafah lain yang boleh dilihat dalam karya agung Melayu ialah tentang falsafah kekuasaan. Kitab Salalatus Salatin banyak menceritakan tentang kekuasaan raja. Raja sangat berpengaruh dari sudut pemerintahan. Hal ini demikian kerana, raja berkuasa menitahkan semua [erkara kepada rakyat dan rakyat wajib menunaikannya jika tidak mahu dihukum. Kuasa raja yang ditonjolkan juga dilihat sebagai satu tindakan yang menindas golongan rakyat. Raja pada zaman dahulu terlalu berkuasa dan bertindak zalim di luat batas kemanusiaan. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika rakyat terlalu patuh kepada raja biarpun diperlakukan dengan buruk. Sebagai contoh, Sultan Mahmud Syah sanggup membunuh keluarga Tun Fatimah kerana terlalu tergoda dengan kecantikkan dan sanggup merampasnya daripada Tun Ali. Perkara ini boleh dilihat melalui petikan teks dibawah:

Maka Sultan Mahmud Syah menitahkan Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara membunuh Bendahara Seri Maharaja. Maka segala anak buah Bendahara Seri Maharaja dan kaum keluarganya berkampunglah kepada Bendahara Seri Maharaja sekaliannya dengan segala senjatanya.
Maka dibunuhlah Bendehara Seri Maharaja dan Seri Nara al- Diraja dan segala anak bauhnya yang mau mati sama-sama dengan dia.
Setelah itu maka Sang Sura datang berlari-lari dari dalam membawa titah pada Sang Sura, “Titah Yang Dipertuan jangan semuanya dibunuh,tinggalkan akan benih.”
(Muhamad Haji Salleh, 1997 : 205)

FALSAFAH WAAD

Falsafah ini merupakan satu falsafah yang berkaitan dengan perjanjian yang dikenali dengan Waad. Waad merupakan kontrak sosial yang dilakukan di antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba. Jika waad ini dilanggar, maka pelbagai bencana akan menimpa seperti menghidapi penyakit kedal iaitu sejenis penyakit kulit. Waad ini dilihat sebagai satu kontrak atau perjanjian di antara golongan pemerintah dan golongan rakyat. Perjanjian ini mengandungi perjanjian timbal balik. Sebagai contoh, rakyat tidak boleh mendehaka kepada raja dan raja juga tidak boleh menzalimi rakyat. Perjanjian ini dapat membuatkan rakyat patuh kepada pemerintah dan raja tidak akan bertindak zalim terhadap golongan rakyat.

Maka sembah Demang Lebar Daun, “Tuanku, segala anak cucu patik sedia akan jadi hambalah ke bawah Duli Yang Dipertuan Hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu tuan hamba. Syahadan jikalau ia berdosya besyar-besyar | dosyanya sekalipun jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosyanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hokum syar’i.
“Maka titah baginda, “Kabullah hamba akan janji bapa hamba Demang Lebar Daun( tetapi hamba hendak minta satu janji pada bapa hamba.)”
Maka Sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu, tuanku?”
Maka titah Seri Teri Buana, “Hendaklah pada akhir Zaman kelak anak cucu bapa jangan durhaka, dan anak cucu hamba, jikalau ia zalim dan jahat, pekertinya sekalipun.
Maka titah Seri Buana, “Baiklah, kabullah hamba akan wa’ad itu.”
(Muhamad Haji Salleh, 1997 : 23-24)

Falsafah lain yang dapat dilihat ialah keberanaian. Keberanian raja merujuk kepada keberanian menjajah dan mentakluk negeri lain untuk meluaskan pengaruh jajahannya. Dalam kitab ini, turut menceritakan keberanian yang ditonjolkan oleh golongan rakyat biasa seperti badang. Badang sanggup melakukan semua perkara dalam keadaan berani dan tidak mengalah. Petikan dibawah dapat menggambarkan tentang peristiwa tersebut.

Adapun akan baginda Seri Rana Wikrama ada hulubalang baginda, terlalu gagah.
Setelah dilihat oleh tuannya maka kata tuannya, “siapa menebang perhumaan kita ini? Bangat amat suci.”
Maka kata badang, “Beta menebang dia.”
Maka kata tuan(nya), “Betapa perinya engkau menebang dia maka bangat amat sudahnya ini, dengan luasnya saujanan mata menentang?” Maka oleh Badang segala perihal ehwalnya semuanya dikatakan kepada tuannya. Maka oelh tuannya Badang itu dimerdhekakannya.
(Muhamad Haji Salleh, 1997 : 37-38)

Maka kata pahlawan keling itu kepada Badang, “Marilah kita berkuat-kuatan mengangkat batu itu. Barang siapa tiada terangkat olehnya, alah.”
Maka sahut Badang, “Baiklah, angkatlah oleh tuan hamba dahulu.” maka diangkatnyalah oleh pahlawa Keling itu, tiada terangkat. Maka disungguh-sungguhinya, terangkat batu itu hingga lututnya, lalu dilepaskan.
Maka katanya kepada Badang, “Sekarang pergantian tuan hambalah.”
Maka kata Badang, “Baiklah.” Oleh Badang itu diangkatnya batu itu lalu dilambungnya seraya dilemparkannya ke seberang kuala Singa Pura.
(Muhamad Haji Salleh, 1997 : 39)


SUMBER:

Muhammad Haji Salleh (1997). Sulalat Al-Salatin. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan
Dewan Bahasa dan Pustaka.

A.Samad Ahmad (2008). Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan
Dewan Bahasa dan Pustaka


http://karyaagung2013.blogspot.com/2013/05/idealisme-falsafah-melayu.html