ANALISIS
KARYA AGUNG
Hikayat Hang Tuah
Konsep Penulisan
Hikayat Hang Tuah
Hikayat Hang Tuah ialah sebuah epik Melayu yang bukan sahaja
terkenal dalam kalangan bangsa Melayu tetapi di seluruh Nusantara dan salah
satu manuskrip atau teks yang tertua. Penulisan Hikayat Hang Tuah yang asal
telah ditulis dalam tulisan jawi. Pertama kali hikayat ini telah disebut pada
kurun ke-17 dan dihasilkan pada akhir kurun ke-17 serta terdapat
sekurang-kurangnya 20 manuskrip teks tersebut. Hikayat ini memperlihatkan ciri-ciri
kepahlawanan pada zaman kesultanan Melayu yang mencatatkan watak Hang Tuah
sebagai tokoh agung dan lambang kemegahan bagi bangsa Melayu. Berdasarkan buku
Hang Tuah Tokoh Epik Nasional yang ditulis oleh Ahamd Sarji, Hikayat Hang Tuah
telah ditulis antara tahun 1641 dan 1721 dan menurut Soelastin Soetrisno
menyatakan bahawa jurang tarikh itu boleh dirapatkan lagi iaitu antara 1676
dengan 1700.
Watak Hang Tuah yang timbul dalam penulisan hikayat ini
berbeza dalam bahagian pertama dengan wataknya dalam bahagian kedua. Dalam
bahagian pertama, Hang Tuah digambarkan sebagai seorang pahlawan yang gagah,
garang, dan berani. Dalam bahagian kedua pula Hang Tuah digambarkan seorang
pengembara, diplomat, dan ahli sufi, iaitu bijaksana, sabar, dan warak. Kemungkinan,
dua watak yang berbeza itu dapat digambarkan mempunyai dua peringkat riwayat
bangsa Melayu sebelum zaman moden, iaitu peringkat kebangkitannya dan peringkat
kejatuhannya. Melalui sifat-sifat Hang Tuah ini boleh dijadikan sebagai role
model orang lain dan sebagai bukti kebolehan yang ada dalam diri seorang anak
Melayu.
Pengarang hikayat ini tidak diketahui tetapi mungkin
menunjukkan bahawa beliau berasal daripada golongan pegawai Raja yang paling
kanan iaitu Bendahara yang keluarganya mempunyai pertalian darah dengan Raja
itu dan yang kelihatan mungkin memendam cita-cita untuk menduduki takhta.
Mengikut Encyclopedia of Malaysia dalam buku Hang Tuah Tokoh Epik Nasional
(2004: 3), perkataan “hikayat” ialah kata pinjaman daripada bahasa Arab yang
bererti semua jenis sejarah. Dalam bahasa Melayu, erti perkataan ini telah
berubah mengikut edaran masa sehingga dalam judul sesuatu karya, perkataan
tersebut membawa maksud “cerita”.
Kekuatan Pengarang
Sebagai sebuah epik, Hikayat Hang Tuah mempunyai kekuatan tersendiri
antaranya daripada segi gaya penulisan, iaitu bahasa. Pengarang Hikayat Hang
Tuah telah memuatkan unsur-unsur puisi dalam karyanya sebagaimana prosa Melayu
yang lain. Penggunaan puisi ini mampu menjadikan cerita itu berestetik dan
indah apabila dibaca oleh orang lain. Puisi ini juga dapat menyampaikan maksud
sama ada secara tersirat atau tersurat dan pembaca akan berasa terhibur apabila
membacanya. Puisi pantun telah diselitkan dalam karya ini bagi menambahkan
keindahan bahasa cerita. Contohnya :
Kain bersuji di atas atap,
Pakaian raja hari raya;
Jika sudi tuan santap,
Jika tidak apakan daya.
Kain bersuji di atas atap,
Pakaian raja hari raya;
Jika sudi tuan santap,
Jika tidak apakan daya.
Hang Tuah dan para sahabatnya juga pandai berpantun. Hal ini
demikian jelaslah bahawa mereka suka berbalas-balas pantun dalam menyampaikan
sesuatu cerita bagi memeriahkan sesuatu keadaan. Selain itu, kekuatan pengarang terserlah apabila banyak
memaparkan aspek-aspek kemasyarakatan, kemanusiaan, kebudayaan, nilai-nilai
moral, dan sebagainya. Aspek kemasyarakatan dapat dilihat apabila watak-watak
dalam Hikayat Hang Tuah ini mengamalkan sikap kerjasama, gotong-royong,
bersatu-padu, dan sebagainya. Sebagai contoh sikap gotong-royong terpamer apabila
rakyat jelata bersama-sama membina istana Melaka menyiapkan sebuah kapal atau
jong untuk kenaikan raja. Bagi aspek kebudayaan pula dapat diperhatikan dalam
pelbagai bentuk sama ada melalui adat resam yang diamalkan seperti adat
pertabalan raja, menyambut tetamu, adat bertemu dengan raja atau pembesar
kerajaan, adat kenduri, dan sebagainya. Nilai-nilai moral pula dapat
ditunjukkan melalui watak Hang Tuah sendiri iaitu seorang yang merendah diri,
rajin dalam menuntut ilmu, semangat kesetiaan kepada raja dan sahabat,
hormat-menghormati, dan sebagainya. Sikap ini perlu dicontohi oleh para pembaca
sebagai motivasi diri untuk menghadapi cabaran yang lebih besar. Jika
nilai-nilai positif ini tidak ada dalam diri, maka sukarlah sesuatu pekerjaan
itu dapat dilakukan dengan baik malah sering mendapat masalah. Oleh itu, setiap
cerita mempunyai maksud yang hendak disampaikan sama ada baik atau buruk.
Perkara yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.
Motif Pengarang
Antara motif pengarang Hikayat Hang Tuah ialah ingin
mengetengahkan sifat-sifat positif yang ada dalam diri Hang Tuah itu sendiri.
Jati diri Melayu terserlah melalui sifat peribadi Hang Tuah yang dianggap
sebagai wira unggul Melayu dan sangat berwibawa. Sikap Hang Tuah telah
dipaparkan oleh pengarang dalam pelbagai segi sama ada fizikal, mental, dan
rohani. Contohnya, Hang Tuah mempunyai sifat keberanian yang tinggi dan luar
biasa. Beliau mampu mengalahkan seramai 70 orang yang mengamuk ketika di
Majapahit. Hal ini demikian dapat dibuktikan apabila Hang Tuah dilihat begitu
bijak dalam mengatur strategi ketika berhadapan dengan 70 orang penjurit
walaupun keseorangan disebabkan beliau mempunyai ilmu pengetahuan yang luas
dalam dunia persilatan untuk mempertahankan diri daripada musuh. Sifat keberanian
yang ditonjolkan ini perlu ada dalam diri setiap generasi seterusnya bagi
mengelakkan berlakunya penindasan dan tidak adil dalam sesuatu pentadbiran.
Orang yang berada di bawah juga tidak akan terus berada di bawah sebaliknya
mampu memajukan diri menjadi yang lebih baik.
Selain itu, pengarang menunjukkan kepentingan menuntut ilmu
sebagai suntikan semangat kepada generasi seterusnya untuk mendalami pelbagai
ilmu pengetahuan. Hang Tuah telah memantapkan diri dengan mempelajari pelbagai
ilmu sama ada secara zahir dan batin. Hal ini demikian dapat dibuktikan oleh
Hang Tuah apabila beliau mampu bertutur dalam 12 bahasa asing, fasih
berkata-kata, dan mempunyai raut wajah yang manis serta sopan. Gambaran fizikal
Hang Tuah telah diceritakan dalam hikayat ini iaitu:
“Maka Syahbandar pun kasih mesra rasanya melihat laku
Laksamana berkata-kata dengan bahasa Arab itu, fasih lidahnya dengan manis
mukanya berkata-kata, sangat ia merendahkan dirinya”.
(Hikayat Hang Tuah, hlm. 473)
Ketika Hang Tuah berada di Tanah Arab, Rom, Siam, India, dan
China, beliau mampu bertutur dan memahami setiap bahasa yang dipertuturkan oleh
masyarakat tersebut. Contohnya, Kisna Rayan telah melantik Hang Tuah sebagai
wakil kerajaan Keling ke negara China kerana kepandaian Hang Tuah bertutur
dalam bahasa Keling menyamai dengan penduduk di negara tersebut. Hang Tuah juga
mempelajari semua ilmu hulubalang dan pertapaan. Oleh itu, pengarang ingin
menunjukkan bahawa budaya ilmu amat penting sebagai manusia Melayu. Dengan
kemantapan ilmu yang dimiliki oleh seseorang mampu menjadikan diri dihormati
dan disegani oleh orang lain. Walau bagaimanapun, ilmu yang dimiliki mestilah
digunakan secara wajar dan bukan untuk membangga diri. Inilah perkara yang
ingin diterapkan oleh pengarang melalui watak-watak yang dipaparkan dalam
hikayat ini.
_________________________________
Sulalatus Salatin
Konsep Penulisan Sulalatul-salatin
Sulalatul Salatin atau Sejarah Melayu merupakan satu karya
sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan
Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Teks –teks
yang dikenali sebagai Sejarah Melayu atau Sulalatul Salatin ini telah melalui beberapa zaman dan
dianugerah dengan sejarahnya yang tersendiri. Karya ini telah menempuh beberapa
tahap perkembangan. Naskah asal karya ini telah disalin beberapa kali di Johor.
Karya ini ditulis pada tahun 1612 oleh Tun Seri Lanang dan cerita secara lisan
serta salasiahnya telah berkembang dalam kalangan istana sejak awal dari tahun
tersebut.
Sulalatul Salatin
adalah sebuah karya yang tercipta daripada titah raja. Terdapat sebuah
titah yang berbunyi :
“bahawa hamba minta diperbuat hikayat pada bendehara
perteturun segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya supaya didengar oleh cucu
kita kemudian dari kita dan ketahuinyalah segala perkataan, syahadah beroleh
faedahnya mereka itu daripadanya”.
(Sulalatul Salatin, hlmn. 390)
Seluruh sejarah bangsa Melayu melalui karya ini dikonsepkan
sebagai terdiri daripada cerita dan episod yang menjadi tapak dan petak
sejarah. Dalam cerita dan episod ini terdapat peristiwa yang membawa kepada
kesimpulan yang diinginkan misalnya nilai yang diunggulkan, manusia terpilih
yang harus dicontohi serta kelemahan dan kejahatan yang merosakkan manusia dan
negeri. Hal ini demikian seharusnya dielak dalam pembentukan sesebuah negeri.
Tidak kurang juga soal hubungan antara manusia dan negeri yang aman dan
berperadaban. Ruang naratif inilah yang membawa pelbagai makna yang tidak hanya
menceritakan sebuah jurai keturunan raja-raja Melaka.
Kekuatan Pengarangan
Kekuatan pengarangan yang dapat dianalisis berdasarkan karya
ini ialah melalui bahasa yang disampaikan kepada pembaca. Bahasa hakikatnya
berubah bergantung kepada zaman sesebuah karya itu ditulis. Karya akan diwarnai
oleh perbendaharaan, cara penggunaan dan cita rasa zaman tersebut. Hal ini
dapat membantu para pembaca menyelami akal budi seseorang pengarang Melayu dan
dapat mencerminkan bahasa zamannya. Walaupun bahasa sesebuah teks itu dapat
berubah mengikut zaman, namun bentuk aslinya masih dapat dikekalkan dan
dibayangkan secara langsung kepada pembaca. Hal ini demikian kerana karya yang
terhasil adalah daripada sumber bertulis dan bukan secara lisan.
Kekuatan bahasa dalam karya agung ini dibuktikan melalui
penggunaan perbendaharaan kata iaitu banyak menggunakan kata-kata bahasa Melayu
Kuno. Antara perkataan bahasa Malayu asli kuno yang didapati dalam karya ini
seperti :
Tuha, mentuha, poawang, berparang, mutah, nulayan, nyiah,
taban, junum, ejung, tujerumusy, ngeran, lasa, jengkelenar, maya, bilalang,
remak, semakuk, menguliling, datu nene, bubung.
Begitu juga penggunaan imbuhan yang kita kenal sebagai /ber/,
wujud dalam bentuk yang lebih pendek, /be/ yang kelihatan lebih awal sifatnya
dalam perkataan seperti betingkah, belayam dan sebagainya. Terdapat juga bentuk
kuno yang menyengaukan beberapa bunyi yang tidak lagi disengaukan dalam bahasa
Melayu moden seperti :
menengar = mendengar
menengar = mendengar
mementang = membentang
mengantarkan = menghantarkan
Melalui penelitian dalam aspek bahasa karya ini, didapati
terdapat penggunaan kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit yang telah
diikitiraf dalam pekembangan awal bahasa melayu. Banyak penggunaan kata yang
dipakai tanpa proses asimilasi ke dalam cara penyebutan Melayu. Asmah haji Omar (1991: 141) juga telah
mendapati terdapat pinjamaan bahasa Sanskrit yang lebih purba sifatnya dalam
Sulat al-Salatin seperti :
Nugraha, manusya,
binasya, basya, syegera, kerena, karunia, syurga, dan pendita
Bakat
sastera pengarang karya ini diturunkan dalam pelbagai nada seperti moralistis,
sering khusuk dan merujuk kepada Al-Quran dengan pandangan sejarah yang amat
luas dan melihat bahawa sejarah harus dibayar dan negara adalah perjanjian
rakyat dengan rajanya yang dipilih Allah sebagai gantiNya di dunia (Muhammad
Haji Salleh, 1997: 5). Antara unsur yang luar biasa melalui pengarangan teks
ini ialah “vignette”nya iaitu bukan saja melukis bakat sepanjang sejarah,
tetapi dilukin dengan mata pena yang
halus namun tajam. Ada yang mempamerkan neurosisnya, orang nakal, pelaram,
pemabuk dan sebagainya.
Terdapat juga unsur yang jelas dibawa oleh pengarang dalam
Sulalatul Salatin iaitu unsur humor yang ditemui dalam halaman-halaman karya
ini. Unsur humor diberikan tempat seiring dengan tragedi, keperitan hidup,
penganiyaan dan penyeksaan. Dalam kajian Syed Zulfida (1976) dan Yusoff
Iskandar dan Abd. Rahman Kaeh (1978: 119-134) diperlihatkan bagaimana Tun Seri
Lanang kerap menggunakan unsur ini yang sering digandingkan oleh ejekan serta
kecerdasan mengolah bahasa.
Motif Pengarang
Motif pengarang Melayu melalui teks yang ditulisnya tidak
jauh membicarakan secara langsung mahupun tidak langsung aspek pengajaran dan
kehidupan. Hal ini demikian sebagai salah satu tugas sasteranya. Berbagai-bagai
cara telah digunakan untuk tujuan ini dan salah satunya ialah memberi ruang
untuk menyampaikan pesanan terakhir seorang raja atau bendehara yang penting.
Melalui kata-kata terakhir ini, kesimpulan daripada makna kehidupan dicerna
untuk zaman dan generasi akan datang.
Cerita-cerita yang dipaparkan pengarang mempunyai unsur
moral, agama dan pedagogi. Pembaca akan memperoleh maklumat tentang keturunan
raja-raja Melayu dan adat istiadatnya serta peristiwa-peristiwa penting dalam
perjalanan kerajaan Melayu Melaka dan jajahannya. Tambahan pula, pembaca juga
diberi pengetahuan tentang kezaliman raja dan golongan bangsawan, serta
bagaimana perlakuan seseorang raja yang zalim itu dibalas dengan keruntuhan
negerinya. Sifat keangkuhan akan berakhir dengan kejatuhan dan pegawai yang
jujur akan disanjung oleh masyarakat.
Bibliografi
Abdul Halim Bandan (1994). Hikayah Hang Tuah untuk
SPM. Kuala Lumpur: Cahaya Pantai (M) sdn. Bhd
Ahmad Sarji (2004). Hang Tuah: Tokoh Epik Nasional.
Selangor: Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd
Kassim Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur:
Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka
Muhammad Haji Salleh (1997). Sulalat al-Salatin. Kuala
Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa Dan Pustaka
Yusoff Iskandar
dan Abd Rahman Kaeh (1985). Sejarah Melayu: Satu Perbincangan KritisDari
Pelbagai Bidang. Kuala Lumpur: Heinnemann.
http://kumpulan5kac.blogspot.com/2013/05/ulasan-karya-agung_21.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum. Dah baca kandungan, boleh tinggalkan komen. Terima kasih.