Jumaat, 18 April 2014
Selasa, 15 April 2014
ULASAN KARYA AGUNG
ULASAN KARYA AGUNG : BUSTAN AL-KATIBIN
Bustanu al-Katibin li’s-Sibyan
al-Muta’allimin atau lebih dikenali sebagai Bustan al-Katibin merupakan Kitab Perkebunan Jurutulis bagi
Kanak-kanak yang Hendak Belajar. Kitab tersebut merupakan salah satu karya yang
ditulis oleh penulis tersohor, ilmuwan dan budayawan Melayu terulung iaitu Raja
Ali Haji yang berasal dari Pulau Penyengat, Kepulauan Riau.
Karya tersebut merupakan tulisan paling awal yang berkisar tentang bahasa Melayu. Kitab yang mempunyai pelbagai maklumat tentang tatabahasa Melayu ini siap dikarang pada 1267 Hijrah bersamaan dengan tahun 1850 Masihi. Hasil karya ini dihasilkan oleh penulis ketika beliau berumur kira-kira 41 tahun.
Karya tersebut merupakan tulisan paling awal yang berkisar tentang bahasa Melayu. Kitab yang mempunyai pelbagai maklumat tentang tatabahasa Melayu ini siap dikarang pada 1267 Hijrah bersamaan dengan tahun 1850 Masihi. Hasil karya ini dihasilkan oleh penulis ketika beliau berumur kira-kira 41 tahun.
Kitab Bustan al-Katibin yang menjadi
rujukan para pelajar dan bahan kajian ini merupakan naskhah salinan manuskrip
yang terdapat di Perpustakaan Universiti Leiden. Kitab ini merupakan Koleksi
Klinkert (KI 107) yang disusun dalam bentuk slaid dan dicetak foto atau
photoprint. Karya awal ini mempunyai ketebalan sebanyak 80 halaman yang ditulis
dengan menggunakan tulisan tangan. Tulisan dalam karya ini menggunakan skrip
tulisan Jawi/Arab yang berbentuk gaya khat jenis nasyta’lik. Jenis tulisan khat
tersebut mempunyai ciri-ciri tulisan yang tegap, seimbang, konsisten dan
indah.
Selain salinan manuskrip Bustan
al-Katibin yang merupakan Koleksi Klinkert di Universiti Leiden, terdapat juga
sebuah naskhah kitab yang dipercayai pertama kali dicetak pada tahun 1274
Hijrah bersamaan 1858 Masihi. Naskhah
yang pernah dimiliki oleh Paderi Keasberry kini tersimpan di perpustakaan
School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London. Terdapat
perbezaan ketara yang dapat dilihat pada kedua-dua naskhah karya ulung
tersebut. Naskhah SOAS mempunyai perkataan “mentaba” atau mencetak pada
penghujung kitab yang bermaksud naskhah tersebut merupakan naskhah yang
dicetak, manakala naskhah yang dikaji tertulis perkataan “telah selesailah
mengarang kitab ini…” yang sememangnya ditulis oleh Raja Ali Haji.
Selain cetakan pertama tersebut,
terdapat juga pendapat lain yang menyatakan kitab tersebut telah dicetak kali
pertama dengan menggunakan teknik
percetakan batu (lithograph) di Riau pada tahun 1857 dan kemudiannya diulang
cetak di Singapura. Terdapat satu naskhah lagi di England yang tersimpan di
Perpustakaan University of Cambridge bertarikh 1891 yang bukan merupakan hasil
cetakan tetapi disalin daripada naskhah lithograph. Naskhah-naskhah lain ialah
Bustanul Katibin I dan Bustanul Katibin II yang tersimpan di Museum Pusat
Jakarta.
PENGARANG
BUSTAN AL-KATIBIN: RAJA ALI HAJI
Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad
dilahirkan di Pulau Penyengat pada 1808 Masihi. Beliau berketurunan pembesar
Bugis yang merupakan keturunan kedua, iaitu cucunda kepada Raja Haji
FIsabilillah, Yang Dipertuan IV dari Kesultanan Lingga-Riau.
Datuknya, Raja Haji Fisabilillah
merupakan seorang pahlawan yang menjadi Yamtuan Muda Johor pada tahun 1777.
Ayahnya pula, Raja Haji Ahmad merupakan seorang pembesar Riau yang pernah
dihantar berunding dengan Belanda di Jawa. Keadaan itu memberi peluang kepada
Raja Ali Haji untuk menperdalam ilmu pengetahuan Islam daripada para ulama di
Jawa. Raja Ali Haji sempat berguru dengan Saiyid Abdur Rahman al-Mashri dalam
bidang ilmu falak. Selain itu, beliau juga banyak menimba pengalaman dan
pengetahuan daripada para sarjana kebudayaan Belanda seperti T.Roode dan Van
Der Waal yang merupakan sahabatnya.
Raja Ali Haji telah mengikut
ayahnya, Raja Haji Ahmad ke Mekah sekitar tahun 1827. Pada ketika itu, beliau
dan bapanya merupakan antara anak Raja Riau yang pertama menunaikan ibadah
haji. Raja Ali Haji tinggal dan belajar di Mekah dalam suatu tempoh yang agak
panjang. Keadaan itu mempengaruhi penulisannya kerana beliau berpendidikan
Arab. Walaupun begitu, beliau masih mengekalkan bahasa Melayu Klasik tetapi
banyak dipengaruhi oleh perkataan Arab dan struktur bahasa Arab.
Raja Ali Haji terkenal sebagai
ahli bahasa melalui penulisan buku tatabahasa Melayu, iaitu “Bustan al-Katibin”
pada tahun 1857. Usaha beliau dalam bidang penulisan mendapat sanjungan kerana
penyusunannya membantu dalam penambahan buku tatabahasa Melayu. Di samping itu,
beliau turut mengarang sebuah kamus yang bertajuk “Kitab Pengetahuan Bahasa”,
iaitu kamus ekabahasa yang pertama di Nusantara. Karyanya yang paling terkenal
ialah “Tuhfat al-Nafis” yang dikarangnya pada 1865 di Pulau Penyengat, Riau
yang merupakan pusat pemerintahan Empayar Johor-Riau.
Beliau juga berbakat dalam bidang
kesusasteraan. Karya-karya sastera beliau yang terkenal adalah seperti Syair
Siti Sianah, Syair Suluh Pegawai, Syair Hukum Nikah dan Syair Sultan Abdul
Muluk. Karyanya dalam bidang ketatanegaraan dan undang-undang dikenali sebagai
“Mukaddimah fi Intizam”. Tokoh karyawan ini meninggal
dunia sekitar tahun 1873 di Riau. Pada tahun 2006, pemerintah Republik
Indonesia telah memberikan gelaran “Pahlawan Negara” bagi mengenang jasa-jasa
yang telah diberikan oleh beliau.
KANDUNGAN
BUSTAN AL-KATIBIN
Raja Ali Haji telah membahagikan
kitab ini kepada tiga bahagian kandungan. Tiga bahagian tersebut terdiri
daripada bahagian Mukadimah atau bahagian pendahuluan, bahagian Fasal-Fasal
yang mengandungi 30 Fasal kesemuanya dan bahagian Khatimah atau bahagian
penutup.
i) MUKADIMAH
Bahagian Mukadimah membincangkan
tentang kelebihan ilmu, akal, adab dan budi bahasa. Antara kata-kata yang
terdapat dalam kitab tersebut yang menunjukkan tentang kelebihan-kelebihan
tersebut ialah “’akal ialah sebaik-baik perhiasan”, “tanda ber’akal segera
faham” dan “barang siapa jahat adabnya sia-sialah bangsanya (keturunannya)”.
Selain itu, bahagian ini turut
memperkatakan tentang kelebihan ilmu bahasa atau tutur kata dan
karang-mengarang. Raja Ali Haji mengistilahkannya sebagai ilmu al-qalam wa
al-kalam atau ilmu penulisan dan perbicaraan. Menurut beliau, kepandaian
berbahasa dan penggunaan qalam atau pena untuk penulisan karang-mengarang
adalah lebih berkuasa daripada pedang dan senjata seperti yang dinyatakannya
dalam petikan berikut:
“…segala pekerjaan pedang boleh
diperbuat oleh dengan qalam, adapun pekerjaan-pekerjaan qalam tiada boleh
diperbuat dengan pedang…”
Raja Ali Haji turut menyatakan
syarat dan adab untuk menuntut ilmu dalam bab ini. Beliau menyatakan syarat
bagi menuntut ilmu ialah “antara nafsumu dengan dirimu sendiri” yang bermaksud
untuk menuntut ilmu kita perlulah mempunyai keinginan untuk belajar yang
tinggi. Adab menuntut ilmu pula ialah “antara dirimu dengan gurumu” yang
membawa maksud seseorang yang ingin menuntut ilmu perlulah beradab dan
menghormati gurunya.
ii) FASAL-FASAL
Bahagian kedua dalam Bustan
al-Katibin terdiri daripada 30 Fasal. Fasal-fasal tersebut pula dibahagikan
kepada enam topik. Pembahagian enam topic tersebut adalah menikut fasal seperti
Fasal 1 hingga Fasal 9, Fasal 10 hingga Fasal 13, Fasal 14 dan Fasal 15, Fasal
16 hingga Fasal 28, Fasal 29 dan Fasal 30.
Fasal 1 hingga Fasal 9
membincangkan tentang peraturan ejaan Jawi bahasa Melayu. Peraturan tersebut
menerangkan terdapat 30 abjad bahasa Arab dengan tambahan empat abjad lain,
iaitu ca, ga, nga dan nya untuk digunakan sebagai fonem Melayu. Raja Ali Haji
menegaskan bahawa walaupun penggunaannya digunakan sebagai fonem Melayu tetapi
abjad asalnya adalah daripada bahasa Arab seperti kata berikut, “…diambil
rumahnya daripada rumah Arab jua.”
Topik kedua yang dibincangkan dalam
kitab tersebut adalah berkaitan huraian tentang kelas kata. Topik tersebut
terletak dalam Fasal 10 hingga Fasal 13. Kelas kata dibahagikan kepada tiga
golongan, iaitu kelas kata isim atau kata nama, kelas kata fi’il atau kata
kerja dan kelas kata harf atau kata partikel. Raja Ali Haji membahagikan setiap
kelas kata tersebut kepada beberapa golongan kecil dan dihuraikan satu-persatu
secara terperinci.
Fasal 14 dan Fasal 15 pula
menerangkan tentang topik unit-unit tatabahasa yang terdiri daripada ayat atau
klausa, frasa dan perkataan. Unit-unit tatabahasa ini diistilahkan oleh pengarang
sebagai perkataan-perkataan bagi ayat atau klausa, kata-kata untuk frasa dan
kata digunakan untuk merujuk perkataan.
Fasal 16 hingga Fasal 28 adalah
berkaitan dengan pelbagai binaan sintaksis. Ayat atau klausa dijelaskan
mengikut pola binaannya berdasarkan jenis-jenis subjek dan predikat yang
berbeza-beza. Selain itu, pelbagai jenis binaan frasa turut dibincangkan dalam
topik ini. Unit tatabahasa ketiga, iaitu perkataan pula dikatakan sebagai unsur
terkecil dalam sintaksis.
Fasal 29 pula berkaitan prinsip dan peraturan
menyusun perkataan dalam membuat karangan, iaitu perkara yang perlu diutamakan
dan didahulukan dalam penulisan sesebuah karangan. Fasal 30 merupakan sambungan
prinsip dan peraturan dalam Fasal 29. Pengarang, iaitu Raja Ali Haji
menerangkan secara terperinci termasuklah penggunaan bahasa raja-raja. Selain
itu, kaedah membuat surat kiriman lengkap yang terdiri daripada pendahuluan,
kandungan dan penutup turut dibincangkan dalam fasal ini.
iii) KHATIMAH
Bahagian Khatimah atau bahagian
penutup pula mengandungi tiga pesanan daripada Raja Ali Haji. Pesanan pertama
ditujukan kepada para penuntut supaya sentiasa mematuhi adab, syarat dan
peraturan menuntut ilmu. Pesanan kedua pula ditujukan kepada para guru. Para
guru perlulah mengajar secara tertib mengikut susunan bab dan fasal. Pesanan
terakhir ditujukan kepada para penyalin kitab tersebut supaya tidak
mengurangkan atau melebih-lebihkan isi kandungan yang terkandung dalam kitab.
Raja Ali Haji mengakhiri penulisan
dalam kitab tersebut dengan selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W,
keluarga dan sahabatnya. Beliau juga memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T
dengan ucapan al-hamdulillahi Rabbi ‘l-‘alamin.
Sumber :
Hashim Musa (2005). Bustan al-katibin. Kuala Lumpur: Yayasan
Karyawan
http://www.syarifhade.com/index.php?option=com_content&view=article&id=133:bustan-al-katibin-kitab-tata-bahasa-melayu-pertama-karya-anak-negeri&catid=40:filologi&Itemid=37
http://kumpulan5kac.blogspot.com/2013/05/ulasan-karya-agung_21.html
________________________________
ULASAN KARYA AGUNG
: HIKAYAT HANG TUAH
Manuskrip Hikayat Hang Tuah bertulisan
Jawi milik Almarhum Tengku Ibrahim ibni Almarhum Tengku Muhammad menjadi bahan
sumber utama bagi penerbitan Hikayat Hang Tuah buat kali pertama oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka pada tahun 1964 oleh Kassim Ahmad. Naskhah yang berjaya
menambat hati para sarjana pelbagai negara ini bukanlah karya yang boleh dianggap
sebagai karya sejarah. Hal ini jelas dilihat pada perkataan “Hikayat” yang
menjadi pangkal judul karya agung ini. Namun demikian, teks ini diakui sebagai
pelopor bentuk novel Melayu moden yang ditampilkan oleh Syed Syeikh al-Hadi
menerusi Hikayat Faridah Hanum (1925).
Karya kreatif yang memuatkan
elemen sejarah dan sastera ini dimulakan dengan pengenalan dan penubuhan
Kesultanan Melayu Melaka yang berpusat di Singapura sebelum ke Bentan dan
Melaka. Susur-galur hikayat ini dipenuhi pelbagai kisah mengenai kepahlawanan
Hang Tuah dan empat bersaudara iaitu Hang Lekir, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan
Hang Jebat. Naskhah ini menampilkan Hang
Tuah sebagai seorang legenda yang penuh keramat sama seperti watak Raja Melaka,
Bendahara dan Temenggung yang hidup dari tarikh pembukaan kota Melaka, namun
tidak disebut tentang kematiannya. Unsur realisme magis yang wujud dalam karya
ini mengukuhkan kewujudannya sebagai karya kreatif yang penuh kemewahan estetik
cerita dan bahasa. Hal ini sekali gus menolak usaha memperkecil karya ini
sebagai naskhah tidak logik dan melanggar hukum sejarah.
Epik Melayu Hikayat Hang Tuah
mengisahkan kesetiaan dan ketaatan seorang rakyat terhadap raja. Ketaatan tidak
berbelah bahagi menyebabkan Hang Tuah rela berkorban nyawa demi memenuhi segala
kehendak raja termasuklah menculik Tun Teja yang menjadi idaman raja. Pengkaji
mendapati hikayat ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian
perlawanan dan bahagian pengembaraan. Wira Hang Tuah yang berjaya memiliki
keris Taming Sari menjadi titik temu dalam naskhah ini.
Satu kisah yang amat penting
dalam hikayat ini ialah pertelingkahan antara Hang Tuah dengan Hang Jebat
akibat perbezaan pendapat. Meskipun Hang Tuah dan Hang Jebat bersahabat sejak
kecil hingga dewasa, keengganan Hang Jebat menerima ketaatan penuh Hang Tuah
hingga mengorbankan nyawa menyebabkan Hang Jebat mengamuk di istana. Rasa ingin
menuntut bela atas kekejaman raja yang menjatuhkan hukuman mati terhadap Hang
Tuah ingin dilunasi Hang Jebat. Akhirnya Hang Jebat mati ditikam Hang Tuah.
Persahabatan, kemanusiaan atau
kesetiaan terhadap raja menjadi fokus persoalan Hang Tuah dan Hang Jebat.
Tingkah Hang Jebat ialah satu usaha baharu pengarang menampilkan pandangan
terkini pada era itu mengenai polemik ketaatan terhadap raja yang tidak
berperikemanusiaan.
Pengenalan tambahan oleh sarjana
sastera Noriah Mohamed dalam edisi ini membolehkan khalayak pembaca mendapat
satu gambaran yang lebih jelas dalam meneliti, memahami dan menganalisis karya
agung ini. Sekiranya terdapat segelintir masyarakat sastera yang menanggap
bahawa naratif penuh magis lahir dari dunia Barat, maka pembacaan terhadap
karya agung
Hikayat Hang Tuah dalam Tamadun
Melayu ini akan mendedahkan ilmu penulisan kreatif Melayu yang sudah lama
dimesrai realisme magis menerusi watak Hang Tuah berserta segala
keistimewaannya.
Sumber :
http://dwnsastera.dbp.my/?p=1156
Hassan Ahmad (2000). Pengenalan konsep dan gagasan karya
agung yayasan karyawan. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.
ANALISIS
KARYA AGUNG
Hikayat Hang Tuah
Konsep Penulisan
Hikayat Hang Tuah
Hikayat Hang Tuah ialah sebuah epik Melayu yang bukan sahaja
terkenal dalam kalangan bangsa Melayu tetapi di seluruh Nusantara dan salah
satu manuskrip atau teks yang tertua. Penulisan Hikayat Hang Tuah yang asal
telah ditulis dalam tulisan jawi. Pertama kali hikayat ini telah disebut pada
kurun ke-17 dan dihasilkan pada akhir kurun ke-17 serta terdapat
sekurang-kurangnya 20 manuskrip teks tersebut. Hikayat ini memperlihatkan ciri-ciri
kepahlawanan pada zaman kesultanan Melayu yang mencatatkan watak Hang Tuah
sebagai tokoh agung dan lambang kemegahan bagi bangsa Melayu. Berdasarkan buku
Hang Tuah Tokoh Epik Nasional yang ditulis oleh Ahamd Sarji, Hikayat Hang Tuah
telah ditulis antara tahun 1641 dan 1721 dan menurut Soelastin Soetrisno
menyatakan bahawa jurang tarikh itu boleh dirapatkan lagi iaitu antara 1676
dengan 1700.
Watak Hang Tuah yang timbul dalam penulisan hikayat ini
berbeza dalam bahagian pertama dengan wataknya dalam bahagian kedua. Dalam
bahagian pertama, Hang Tuah digambarkan sebagai seorang pahlawan yang gagah,
garang, dan berani. Dalam bahagian kedua pula Hang Tuah digambarkan seorang
pengembara, diplomat, dan ahli sufi, iaitu bijaksana, sabar, dan warak. Kemungkinan,
dua watak yang berbeza itu dapat digambarkan mempunyai dua peringkat riwayat
bangsa Melayu sebelum zaman moden, iaitu peringkat kebangkitannya dan peringkat
kejatuhannya. Melalui sifat-sifat Hang Tuah ini boleh dijadikan sebagai role
model orang lain dan sebagai bukti kebolehan yang ada dalam diri seorang anak
Melayu.
Pengarang hikayat ini tidak diketahui tetapi mungkin
menunjukkan bahawa beliau berasal daripada golongan pegawai Raja yang paling
kanan iaitu Bendahara yang keluarganya mempunyai pertalian darah dengan Raja
itu dan yang kelihatan mungkin memendam cita-cita untuk menduduki takhta.
Mengikut Encyclopedia of Malaysia dalam buku Hang Tuah Tokoh Epik Nasional
(2004: 3), perkataan “hikayat” ialah kata pinjaman daripada bahasa Arab yang
bererti semua jenis sejarah. Dalam bahasa Melayu, erti perkataan ini telah
berubah mengikut edaran masa sehingga dalam judul sesuatu karya, perkataan
tersebut membawa maksud “cerita”.
Kekuatan Pengarang
Sebagai sebuah epik, Hikayat Hang Tuah mempunyai kekuatan tersendiri
antaranya daripada segi gaya penulisan, iaitu bahasa. Pengarang Hikayat Hang
Tuah telah memuatkan unsur-unsur puisi dalam karyanya sebagaimana prosa Melayu
yang lain. Penggunaan puisi ini mampu menjadikan cerita itu berestetik dan
indah apabila dibaca oleh orang lain. Puisi ini juga dapat menyampaikan maksud
sama ada secara tersirat atau tersurat dan pembaca akan berasa terhibur apabila
membacanya. Puisi pantun telah diselitkan dalam karya ini bagi menambahkan
keindahan bahasa cerita. Contohnya :
Kain bersuji di atas atap,
Pakaian raja hari raya;
Jika sudi tuan santap,
Jika tidak apakan daya.
Kain bersuji di atas atap,
Pakaian raja hari raya;
Jika sudi tuan santap,
Jika tidak apakan daya.
Hang Tuah dan para sahabatnya juga pandai berpantun. Hal ini
demikian jelaslah bahawa mereka suka berbalas-balas pantun dalam menyampaikan
sesuatu cerita bagi memeriahkan sesuatu keadaan. Selain itu, kekuatan pengarang terserlah apabila banyak
memaparkan aspek-aspek kemasyarakatan, kemanusiaan, kebudayaan, nilai-nilai
moral, dan sebagainya. Aspek kemasyarakatan dapat dilihat apabila watak-watak
dalam Hikayat Hang Tuah ini mengamalkan sikap kerjasama, gotong-royong,
bersatu-padu, dan sebagainya. Sebagai contoh sikap gotong-royong terpamer apabila
rakyat jelata bersama-sama membina istana Melaka menyiapkan sebuah kapal atau
jong untuk kenaikan raja. Bagi aspek kebudayaan pula dapat diperhatikan dalam
pelbagai bentuk sama ada melalui adat resam yang diamalkan seperti adat
pertabalan raja, menyambut tetamu, adat bertemu dengan raja atau pembesar
kerajaan, adat kenduri, dan sebagainya. Nilai-nilai moral pula dapat
ditunjukkan melalui watak Hang Tuah sendiri iaitu seorang yang merendah diri,
rajin dalam menuntut ilmu, semangat kesetiaan kepada raja dan sahabat,
hormat-menghormati, dan sebagainya. Sikap ini perlu dicontohi oleh para pembaca
sebagai motivasi diri untuk menghadapi cabaran yang lebih besar. Jika
nilai-nilai positif ini tidak ada dalam diri, maka sukarlah sesuatu pekerjaan
itu dapat dilakukan dengan baik malah sering mendapat masalah. Oleh itu, setiap
cerita mempunyai maksud yang hendak disampaikan sama ada baik atau buruk.
Perkara yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.
Motif Pengarang
Antara motif pengarang Hikayat Hang Tuah ialah ingin
mengetengahkan sifat-sifat positif yang ada dalam diri Hang Tuah itu sendiri.
Jati diri Melayu terserlah melalui sifat peribadi Hang Tuah yang dianggap
sebagai wira unggul Melayu dan sangat berwibawa. Sikap Hang Tuah telah
dipaparkan oleh pengarang dalam pelbagai segi sama ada fizikal, mental, dan
rohani. Contohnya, Hang Tuah mempunyai sifat keberanian yang tinggi dan luar
biasa. Beliau mampu mengalahkan seramai 70 orang yang mengamuk ketika di
Majapahit. Hal ini demikian dapat dibuktikan apabila Hang Tuah dilihat begitu
bijak dalam mengatur strategi ketika berhadapan dengan 70 orang penjurit
walaupun keseorangan disebabkan beliau mempunyai ilmu pengetahuan yang luas
dalam dunia persilatan untuk mempertahankan diri daripada musuh. Sifat keberanian
yang ditonjolkan ini perlu ada dalam diri setiap generasi seterusnya bagi
mengelakkan berlakunya penindasan dan tidak adil dalam sesuatu pentadbiran.
Orang yang berada di bawah juga tidak akan terus berada di bawah sebaliknya
mampu memajukan diri menjadi yang lebih baik.
Selain itu, pengarang menunjukkan kepentingan menuntut ilmu
sebagai suntikan semangat kepada generasi seterusnya untuk mendalami pelbagai
ilmu pengetahuan. Hang Tuah telah memantapkan diri dengan mempelajari pelbagai
ilmu sama ada secara zahir dan batin. Hal ini demikian dapat dibuktikan oleh
Hang Tuah apabila beliau mampu bertutur dalam 12 bahasa asing, fasih
berkata-kata, dan mempunyai raut wajah yang manis serta sopan. Gambaran fizikal
Hang Tuah telah diceritakan dalam hikayat ini iaitu:
“Maka Syahbandar pun kasih mesra rasanya melihat laku
Laksamana berkata-kata dengan bahasa Arab itu, fasih lidahnya dengan manis
mukanya berkata-kata, sangat ia merendahkan dirinya”.
(Hikayat Hang Tuah, hlm. 473)
Ketika Hang Tuah berada di Tanah Arab, Rom, Siam, India, dan
China, beliau mampu bertutur dan memahami setiap bahasa yang dipertuturkan oleh
masyarakat tersebut. Contohnya, Kisna Rayan telah melantik Hang Tuah sebagai
wakil kerajaan Keling ke negara China kerana kepandaian Hang Tuah bertutur
dalam bahasa Keling menyamai dengan penduduk di negara tersebut. Hang Tuah juga
mempelajari semua ilmu hulubalang dan pertapaan. Oleh itu, pengarang ingin
menunjukkan bahawa budaya ilmu amat penting sebagai manusia Melayu. Dengan
kemantapan ilmu yang dimiliki oleh seseorang mampu menjadikan diri dihormati
dan disegani oleh orang lain. Walau bagaimanapun, ilmu yang dimiliki mestilah
digunakan secara wajar dan bukan untuk membangga diri. Inilah perkara yang
ingin diterapkan oleh pengarang melalui watak-watak yang dipaparkan dalam
hikayat ini.
_________________________________
Sulalatus Salatin
Konsep Penulisan Sulalatul-salatin
Sulalatul Salatin atau Sejarah Melayu merupakan satu karya
sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan
Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Teks –teks
yang dikenali sebagai Sejarah Melayu atau Sulalatul Salatin ini telah melalui beberapa zaman dan
dianugerah dengan sejarahnya yang tersendiri. Karya ini telah menempuh beberapa
tahap perkembangan. Naskah asal karya ini telah disalin beberapa kali di Johor.
Karya ini ditulis pada tahun 1612 oleh Tun Seri Lanang dan cerita secara lisan
serta salasiahnya telah berkembang dalam kalangan istana sejak awal dari tahun
tersebut.
Sulalatul Salatin
adalah sebuah karya yang tercipta daripada titah raja. Terdapat sebuah
titah yang berbunyi :
“bahawa hamba minta diperbuat hikayat pada bendehara
perteturun segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya supaya didengar oleh cucu
kita kemudian dari kita dan ketahuinyalah segala perkataan, syahadah beroleh
faedahnya mereka itu daripadanya”.
(Sulalatul Salatin, hlmn. 390)
Seluruh sejarah bangsa Melayu melalui karya ini dikonsepkan
sebagai terdiri daripada cerita dan episod yang menjadi tapak dan petak
sejarah. Dalam cerita dan episod ini terdapat peristiwa yang membawa kepada
kesimpulan yang diinginkan misalnya nilai yang diunggulkan, manusia terpilih
yang harus dicontohi serta kelemahan dan kejahatan yang merosakkan manusia dan
negeri. Hal ini demikian seharusnya dielak dalam pembentukan sesebuah negeri.
Tidak kurang juga soal hubungan antara manusia dan negeri yang aman dan
berperadaban. Ruang naratif inilah yang membawa pelbagai makna yang tidak hanya
menceritakan sebuah jurai keturunan raja-raja Melaka.
Kekuatan Pengarangan
Kekuatan pengarangan yang dapat dianalisis berdasarkan karya
ini ialah melalui bahasa yang disampaikan kepada pembaca. Bahasa hakikatnya
berubah bergantung kepada zaman sesebuah karya itu ditulis. Karya akan diwarnai
oleh perbendaharaan, cara penggunaan dan cita rasa zaman tersebut. Hal ini
dapat membantu para pembaca menyelami akal budi seseorang pengarang Melayu dan
dapat mencerminkan bahasa zamannya. Walaupun bahasa sesebuah teks itu dapat
berubah mengikut zaman, namun bentuk aslinya masih dapat dikekalkan dan
dibayangkan secara langsung kepada pembaca. Hal ini demikian kerana karya yang
terhasil adalah daripada sumber bertulis dan bukan secara lisan.
Kekuatan bahasa dalam karya agung ini dibuktikan melalui
penggunaan perbendaharaan kata iaitu banyak menggunakan kata-kata bahasa Melayu
Kuno. Antara perkataan bahasa Malayu asli kuno yang didapati dalam karya ini
seperti :
Tuha, mentuha, poawang, berparang, mutah, nulayan, nyiah,
taban, junum, ejung, tujerumusy, ngeran, lasa, jengkelenar, maya, bilalang,
remak, semakuk, menguliling, datu nene, bubung.
Begitu juga penggunaan imbuhan yang kita kenal sebagai /ber/,
wujud dalam bentuk yang lebih pendek, /be/ yang kelihatan lebih awal sifatnya
dalam perkataan seperti betingkah, belayam dan sebagainya. Terdapat juga bentuk
kuno yang menyengaukan beberapa bunyi yang tidak lagi disengaukan dalam bahasa
Melayu moden seperti :
menengar = mendengar
menengar = mendengar
mementang = membentang
mengantarkan = menghantarkan
Melalui penelitian dalam aspek bahasa karya ini, didapati
terdapat penggunaan kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit yang telah
diikitiraf dalam pekembangan awal bahasa melayu. Banyak penggunaan kata yang
dipakai tanpa proses asimilasi ke dalam cara penyebutan Melayu. Asmah haji Omar (1991: 141) juga telah
mendapati terdapat pinjamaan bahasa Sanskrit yang lebih purba sifatnya dalam
Sulat al-Salatin seperti :
Nugraha, manusya,
binasya, basya, syegera, kerena, karunia, syurga, dan pendita
Bakat
sastera pengarang karya ini diturunkan dalam pelbagai nada seperti moralistis,
sering khusuk dan merujuk kepada Al-Quran dengan pandangan sejarah yang amat
luas dan melihat bahawa sejarah harus dibayar dan negara adalah perjanjian
rakyat dengan rajanya yang dipilih Allah sebagai gantiNya di dunia (Muhammad
Haji Salleh, 1997: 5). Antara unsur yang luar biasa melalui pengarangan teks
ini ialah “vignette”nya iaitu bukan saja melukis bakat sepanjang sejarah,
tetapi dilukin dengan mata pena yang
halus namun tajam. Ada yang mempamerkan neurosisnya, orang nakal, pelaram,
pemabuk dan sebagainya.
Terdapat juga unsur yang jelas dibawa oleh pengarang dalam
Sulalatul Salatin iaitu unsur humor yang ditemui dalam halaman-halaman karya
ini. Unsur humor diberikan tempat seiring dengan tragedi, keperitan hidup,
penganiyaan dan penyeksaan. Dalam kajian Syed Zulfida (1976) dan Yusoff
Iskandar dan Abd. Rahman Kaeh (1978: 119-134) diperlihatkan bagaimana Tun Seri
Lanang kerap menggunakan unsur ini yang sering digandingkan oleh ejekan serta
kecerdasan mengolah bahasa.
Motif Pengarang
Motif pengarang Melayu melalui teks yang ditulisnya tidak
jauh membicarakan secara langsung mahupun tidak langsung aspek pengajaran dan
kehidupan. Hal ini demikian sebagai salah satu tugas sasteranya. Berbagai-bagai
cara telah digunakan untuk tujuan ini dan salah satunya ialah memberi ruang
untuk menyampaikan pesanan terakhir seorang raja atau bendehara yang penting.
Melalui kata-kata terakhir ini, kesimpulan daripada makna kehidupan dicerna
untuk zaman dan generasi akan datang.
Cerita-cerita yang dipaparkan pengarang mempunyai unsur
moral, agama dan pedagogi. Pembaca akan memperoleh maklumat tentang keturunan
raja-raja Melayu dan adat istiadatnya serta peristiwa-peristiwa penting dalam
perjalanan kerajaan Melayu Melaka dan jajahannya. Tambahan pula, pembaca juga
diberi pengetahuan tentang kezaliman raja dan golongan bangsawan, serta
bagaimana perlakuan seseorang raja yang zalim itu dibalas dengan keruntuhan
negerinya. Sifat keangkuhan akan berakhir dengan kejatuhan dan pegawai yang
jujur akan disanjung oleh masyarakat.
Bibliografi
Abdul Halim Bandan (1994). Hikayah Hang Tuah untuk
SPM. Kuala Lumpur: Cahaya Pantai (M) sdn. Bhd
Ahmad Sarji (2004). Hang Tuah: Tokoh Epik Nasional.
Selangor: Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd
Kassim Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur:
Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka
Muhammad Haji Salleh (1997). Sulalat al-Salatin. Kuala
Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa Dan Pustaka
Yusoff Iskandar
dan Abd Rahman Kaeh (1985). Sejarah Melayu: Satu Perbincangan KritisDari
Pelbagai Bidang. Kuala Lumpur: Heinnemann.
http://kumpulan5kac.blogspot.com/2013/05/ulasan-karya-agung_21.html
IDEALISME & FALSAFAH MELAYU
FALSAFAH MELAYU DALAM
KARYA AGUNG
Perkataan falsafah
berasal daripada bahasa Yunani atau Greek Purba. Perkataan falsafah merupakan
gabungan dua perkataan iaitu philo yang bermaksud cinta dan sophia yang
bermaksud “kebijaksanaan”. Oleh itu, falsafah boleh diertikan sebagai “cinta
akan kebijaksanaan”. Menurut Kamus Dewan
Edisi keempat, falsafah ialah pengetahuan tentang pengertian yang dianggap
sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu ilmu yang lain. Falsafah
juga didefinisikan sebagai kebijaksanaan atau hikmah menggunakan akal fikiran
untuk mengetahui kebenaran yang hakiki.
Berdasarkan Hashim Hj.
Musa (1994). Falsafah merupakan kajian secara renungan dan spekulatif terhadap
punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati
bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. Berdasarkan pendapat pendapat yang diberikan,
dapatlah dirumuskan bahawa ilmu falsafah ialah ilmu yang mengkaji dan meneliti
objek yang abstrak dan logikal yang merupakan hakikat benda benda kejadian di
alam semesta.
Falsafah ialah satu
disiplin ilmu yang dapat dihuraikan melalui tiga sudut pandangan iaitu sudut
pandangan bahasa, sudut pandangan pemerhatian praktis dan sudut pandangan
perbezaannya daripada ilmu-ilmu yang lain. falsafah juga merupakan satu
disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Perkataan
falsafah dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa arab yang juga berasal
daripada perkataan yang disebut sebagai philosophia.
FALSAFAH MELAYU
Kehidupan masyarakat
Melayu sememangnya tidak terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu
dipatuhi berdasarkan kesepakatan masyarakat. Masyarakat Melayu sangat
mementingkan aspek nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan
masyarakat. Nilai yang disampaikan bersifat beradab, muafakat dan penuh dengan
kesusilaan. Pemupukan nilai dalam masyarakat Melayu membolehkan seseorang itu
diterima sebahagian daripada masyarakat.
Nilai sememangnya menjadi sesuatu yang dekat dengan masyarakat Melayu.
Nilai dan etika yang dipegang menjadi cerminan kepada masyarakat Melayu dan
membentuk jati diri mereka dalam interaksi dan kehidupan bermasyarakat. Sebagai
contoh, interaksi yang beradab, sopan, menghormati orang lain merupakan norma-
norma yang erat dengan kehidupan masyarakat Melayu. Nilai yang diamalkan akan
menghasilkan komunikasi dan tingkah laku yang penuh tatatertib yang beradab dan
penggunaan bahasa yang penuh dengan kesantunan. Menurut Al-Farabi, falsafah
adalah ilmu yang berkisar tentang alam untuk diselidiki hakikatnya yang
sebenar. Al kindi pula menyaakan bahawa falsafah adalah salah satu pengetahuan
tentang realiti segala sesuatu, sejauh jangkauan kemampuan manusia.
Selain itu, Masyarakat
Melayu mempunyai penilaiannya yang tersendiri terhadap budi bahasa. Mereka
telah terdidik untuk mengamalkan adab sopan, tutur kata yang baik dan tingkah
laku mengikut adab- adab ketimuran dan Melayu sejati. Anggota masyarakat yang
tidak mengamalkan nilai berbudi bahasa dalam kehidupam mereka akan menimbulkan
pandangan negatif oleh masyarakat. Ketinggian nilai budi bahasa dalam
masyarakat Melayu juga boleh dilihat dalam ungkapan puisi Melayu tradisional.
Dunia Melayu mempunyai pelbagai bentuk dan puisi Melayu tradisional seperti
pantun, syair, gurindam, seloka, teromba, peribahasa berangkap, nazam, ghazal,
berzanji, teka-teki, dan dabus.
FALSAFAH BAHASA DARI
SUDUT NAHU DALAM SULALATUS SALATIN
Semua bahasa yang
terdapat di dunia mempunyai nahu atau tatabahasa yang tersendiri, terutamanya
bahasa Melayu. Nahu atau tatabahasa merujuk kepada sistem atau susunan sesuatu
bahasa. Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya.
Penggunaan nahu yang sempurna bermaksud penggunaan kata atau perkataan dan ayat
yang betul dalam proses berbahasa. Nyanyian dalam karya sulalatus salatin
memperlihatkan penggunaan bahasa yang sangat halus untuk menggambar sesuatu
perkaran. Perkara ini dapat dilihat melalui nyanyian Kapitan Melaka.
Dihela-hela
diretak sehasta
Kandis
dipenggalkan
Alangkah
gila Raja Kecil
Menggusta
manis ditinggalkan
Melihat
buah hartal masuk.
(Muhammad
Haji Salleh, 1997: 217)
Nilai berbudi dan
berbahasa dianggap sebagai suatu nilai yang tinggi dalam masyarakat Melayu dan
disanjung tinggi sebagai ukuran ketinggian keperibadiannya. Dalam karya
Sulalatus Salatin yang ditulis oleh Muhammad Haji Salleh menunjukkan ketinggian
ilmu orang Melayu dalam berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang indah
seperti pantun dan syair.
FALSAFAH ALAM
Hubungkait antara
manusia dan alam sekitarnya iaitu “bagaimana manusia menggunakan kebijaksanaan
untuk berinteraksi dengan alam. Dalam pemikiran Hamka, alam membantu masyarakat
untuk terus berpegang bahawa segala yang ada di seluruh alam ini telah terancang
oleh Pencipta. Menurut ahli falsafah agama seperti Klaus Klostermaier,
kepentingan memahami alam sebagai unsur yang mempunyai nilai ketuhanan bukanlah sebagai jalan terakhir, tetapi
sebagai jalan yang sebenar dalam memastikan alam sekitar dihargai. Menurut
agama Hindhu dan Kristian juga, kedudukan alam wajib dihargai.
KONSEP FALSAFAH ISLAM
Falsafah ialah satu
disiplin ilmu yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Menerangkan
pertalian antara manusia dengan penciptanya, antara manusia dengan manusia dan
juga manusia dengan persekitarannya. Falsafah islam tidak dapat dipisahkan daripada dua sumber
berautoriti iaitu al-quran dan as-sunnah.
FALSAFAH IBADAH DALAM
SULALATUS SALATIN
"Hendaklah engkau
sangat-sangat menyerahkan dirimu kepada hadrat Allah Taala yang akan memelihara
akan kamu, kerana wa man yatawakkal 'ala'llah. Dan segala anak Melayu
bagaimanapun besar dosanya, jangan olehmu diaifi dia, dan sampai kepada hukum
syarak dosanya derhaka, bunuhlah; ............ Jikalau engkau bunuh ia tiada dosanya,
bahawa kerajaanmu binasa."
(Muhamad Haji
Salleh, 1997: 186 -187)
Raja Iskandar menyuruh
Raja Kida Hindi untuk memeluk agama Islam. "Kata Nabi Khidir: ' Ketahui
olehmu hei Raja Kida Hindi, bahawa raja kami inilah yang diserahlan Allah Taala
kerajaan dunia ini kepadanya,dari daksini lalu ke paksina.”
(Muhammad Haji
Salleh, 1997: 5)
Aspek politik
masyakarat melayu Walaupun raja pernah bermusuhan, apabila sudah kalah,raja
lama secara langsung menghormati raja baru.
FALSAFAH KEADILAN DALAM
SULALATUS SALATIN
Falsafah keadilan dapat
dilihat melalui tindakan Sultan Muzaffar Syah mewujudkan undang-undang untuk
mengelakkan menteri melakukan kesilapan. ganjaran terhadap kesilapan yang
dilakukan ialah hukuman. Dalam karya ini tidak banyak menonjolkan sikap raja
yang adil, tetapi perkara yang banyak ditonjolkan adalah berkaitan sikap raja
yang tidak adil. Beliau memang patut dipuji kerana tidak hanya menceritakan
kebaikan sahaja, malah turut menceritakan kezaliman yang telah dilakukan oleh
raja. Beliau patut dipuji kerana tidak menyembunyikan kezaliman raja terhadap
rakyat dan juga pembesar. Terdapat banyak peristiwa yang mempamerkan ketidakadilan
raja. Sebagai contoh, kezaliman yang dilakukan oleh Sulatan Mahmud Syah ke atas
keluarga Tun Fatimah kerana berdendam. Sultan Mahmud Syah telah membunuh Tun
Mutahir, Tun Ali, dan keluarga Tun Fatimah.
Setelah Sultan Mahmud
Syah melihat rupa Tun Fatimah maka baginda pun terlalu khairan. Maka
teringinlah rasa Sultan Mahmud Syah akan Tun Fatimah. Maka baginda berkata
dalam hatinya, “Jahatnya Pa’ Mutahir ini, demikian baik anaknya tiada
ditunjukkannya kepada kita.”
Maka Sultan Mahmud Syah
pun berdendamlah rasanaya akan Bendahara Seri Maharaja.
(Muhamad Haji
Salleh, 1997 : 201)
FALSAFAH MELAYU
BERKAITAN DENGAN ADAT
Adat merupakan
peraturan yang diamalkan sejak turun temurun. Adat yang diwujudkan perlu
dipatuhi oleh masyarakat. Dalam Sulalatus Salatin, terdapat banyak adat Melayu
yang diamalkan oleh golongan raja dan golongan rakyat. Adat yang digunakan pada
masa dahulu juga masih ada yang digunakan pada masa sekaranag sesuai dengan
peredaran masa.
ADAT PENGANUGERAHAN
GELARAN
Adat ini dimulakan
dengan menjemput orang yang bakal menerima gelaran ke istana. Jemputan pula
penganugerahan adalah mengikut pangkat dan gelaran yang bakal diterima. Orang
besar-besar akan menjemputnya jika mendapat penganugerahan ‘Perserian’. Bagi
anugerah ‘Persangan’ hanya orang kecil-kecil sahaja yang akan menjemput orang
yang bakal menerima anugerah. Orang yang akan menerima anugerah akan dijemput
dengan menggunakan gajah atau kuda.
Mereka akan diiringi
dengan payung dan gendang serunai ke istana. Ketika tiba di istana, riwayat
mereka akan dibaca dan diberi persalinan mengikut gelaran yang diberikaan oleh
raja. Sebagai contoh, anugerah Bendahara akan diberi lima ceper persalinan.
Jika baginda menggelar
orang, maka raja dihadap orang di balairung, orang beradat. Maka dijemput orang
itu: jika "Perserian ", Orang Besar-besar menjemput dia; jika
"Persangan", orang kecil menjemput dia; jika "Pertuanan"
orang sedang menjemput dia; dan jika orang bergelar itu patut bergajah,
dibawakan gajah; yang patut berkuda, dibawakan kuda; dan jikalau tiada patut
bergajah dan berkuda, dibawa berjalan dengan bingkisan, dengan payung dan
gendang serunai, tetapi payung itu, ada hijau, ada yang biru, ada yang merah,
dan sebesar-besamya payung kuning; dan payung putih dengan nagara itu mahal
adanya, sebaik-baiknya nafiri. Dan payung kuning itu payung anak raja-raja dan
orang besar-besar; dan payung ungu dan merah dan hijau itu payung sida-sida dan
ben tara hulubalang sekalian. Adapun payung biru dan hitam itu akan payung
barang orang bergelar juga.
(A. Samad Ahmad,
1979: 76)
ADAT MENGADAP RAJA DI
BALAIRUNG
Semasa mengadap raja
terdapat adat istiadat mengadap raja di balairung. Pembesar-pembesar akan di
susun mengikut pangkat kebesaran tersendiri seperti bendahara, penghulu
bendahari, dan temenggung akan duduk di seri balai. Anak- anak raja akan duduk
di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Sida- sida yang muda akan
duduk berselang-seli dengan bentara dan hulubalang yang berdiri di ketapakan
balai memikul pedang. Petikan di bawah menggambarkan aturan mengadap raja di
balairung. Situasi ini dapat digambarkan
melalui petikan teks di bawah.
“Kemudian daripada itu
maka Raja Iskandar pun keluarlah ke penghadapan, dihadap oleh segala raja-raja
dan ulama dan pendita dan segala Orang Besar-besar, dan segala pahlawan yang
gagah-gagah mengelilingi takhta kerajaan baginda, dan dan belakang baginda
segala Hamba yang khas dan segala yang kepercayaannya.”
(A. Samad Ahmad, 1979: 5)
FALSAFAH KEKUASAAN
Falsafah lain yang
boleh dilihat dalam karya agung Melayu ialah tentang falsafah kekuasaan. Kitab
Salalatus Salatin banyak menceritakan tentang kekuasaan raja. Raja sangat
berpengaruh dari sudut pemerintahan. Hal ini demikian kerana, raja berkuasa
menitahkan semua [erkara kepada rakyat dan rakyat wajib menunaikannya jika
tidak mahu dihukum. Kuasa raja yang ditonjolkan juga dilihat sebagai satu
tindakan yang menindas golongan rakyat. Raja pada zaman dahulu terlalu berkuasa
dan bertindak zalim di luat batas kemanusiaan. Oleh sebab itu, tidak hairanlah
jika rakyat terlalu patuh kepada raja biarpun diperlakukan dengan buruk.
Sebagai contoh, Sultan Mahmud Syah sanggup membunuh keluarga Tun Fatimah kerana
terlalu tergoda dengan kecantikkan dan sanggup merampasnya daripada Tun Ali.
Perkara ini boleh dilihat melalui petikan teks dibawah:
Maka Sultan Mahmud Syah
menitahkan Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara membunuh Bendahara Seri
Maharaja. Maka segala anak buah Bendahara Seri Maharaja dan kaum keluarganya
berkampunglah kepada Bendahara Seri Maharaja sekaliannya dengan segala
senjatanya.
Maka dibunuhlah
Bendehara Seri Maharaja dan Seri Nara al- Diraja dan segala anak bauhnya yang
mau mati sama-sama dengan dia.
Setelah itu maka Sang
Sura datang berlari-lari dari dalam membawa titah pada Sang Sura, “Titah Yang
Dipertuan jangan semuanya dibunuh,tinggalkan akan benih.”
(Muhamad Haji
Salleh, 1997 : 205)
FALSAFAH WAAD
Falsafah ini merupakan
satu falsafah yang berkaitan dengan perjanjian yang dikenali dengan Waad. Waad
merupakan kontrak sosial yang dilakukan di antara Demang Lebar Daun dengan Sang
Sapurba. Jika waad ini dilanggar, maka pelbagai bencana akan menimpa seperti
menghidapi penyakit kedal iaitu sejenis penyakit kulit. Waad ini dilihat
sebagai satu kontrak atau perjanjian di antara golongan pemerintah dan golongan
rakyat. Perjanjian ini mengandungi perjanjian timbal balik. Sebagai contoh,
rakyat tidak boleh mendehaka kepada raja dan raja juga tidak boleh menzalimi
rakyat. Perjanjian ini dapat membuatkan rakyat patuh kepada pemerintah dan raja
tidak akan bertindak zalim terhadap golongan rakyat.
Maka sembah Demang
Lebar Daun, “Tuanku, segala anak cucu patik sedia akan jadi hambalah ke bawah
Duli Yang Dipertuan Hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu tuan hamba. Syahadan
jikalau ia berdosya besyar-besyar | dosyanya sekalipun jangan ia difadhihatkan
dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosyanya dibunuh, itu
pun jikalau patut pada hokum syar’i.
“Maka titah baginda,
“Kabullah hamba akan janji bapa hamba Demang Lebar Daun( tetapi hamba hendak
minta satu janji pada bapa hamba.)”
Maka Sembah Demang
Lebar Daun, “Janji yang mana itu, tuanku?”
Maka titah Seri Teri
Buana, “Hendaklah pada akhir Zaman kelak anak cucu bapa jangan durhaka, dan
anak cucu hamba, jikalau ia zalim dan jahat, pekertinya sekalipun.
Maka titah Seri Buana,
“Baiklah, kabullah hamba akan wa’ad itu.”
(Muhamad Haji
Salleh, 1997 : 23-24)
Falsafah lain yang
dapat dilihat ialah keberanaian. Keberanian raja merujuk kepada keberanian
menjajah dan mentakluk negeri lain untuk meluaskan pengaruh jajahannya. Dalam
kitab ini, turut menceritakan keberanian yang ditonjolkan oleh golongan rakyat
biasa seperti badang. Badang sanggup melakukan semua perkara dalam keadaan
berani dan tidak mengalah. Petikan dibawah dapat menggambarkan tentang
peristiwa tersebut.
Adapun akan baginda
Seri Rana Wikrama ada hulubalang baginda, terlalu gagah.
Setelah dilihat oleh
tuannya maka kata tuannya, “siapa menebang perhumaan kita ini? Bangat amat
suci.”
Maka kata badang, “Beta
menebang dia.”
Maka kata tuan(nya),
“Betapa perinya engkau menebang dia maka bangat amat sudahnya ini, dengan
luasnya saujanan mata menentang?” Maka oleh Badang segala perihal ehwalnya
semuanya dikatakan kepada tuannya. Maka oelh tuannya Badang itu
dimerdhekakannya.
(Muhamad Haji
Salleh, 1997 : 37-38)
Maka kata pahlawan
keling itu kepada Badang, “Marilah kita berkuat-kuatan mengangkat batu itu.
Barang siapa tiada terangkat olehnya, alah.”
Maka sahut Badang,
“Baiklah, angkatlah oleh tuan hamba dahulu.” maka diangkatnyalah oleh pahlawa
Keling itu, tiada terangkat. Maka disungguh-sungguhinya, terangkat batu itu
hingga lututnya, lalu dilepaskan.
Maka katanya kepada
Badang, “Sekarang pergantian tuan hambalah.”
Maka kata Badang,
“Baiklah.” Oleh Badang itu diangkatnya batu itu lalu dilambungnya seraya
dilemparkannya ke seberang kuala Singa Pura.
(Muhamad Haji
Salleh, 1997 : 39)
SUMBER:
Muhammad Haji Salleh (1997). Sulalat
Al-Salatin. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan
Dewan Bahasa dan Pustaka.
A.Samad Ahmad (2008). Sulalatus
Salatin. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan
Dewan Bahasa dan Pustaka
http://karyaagung2013.blogspot.com/2013/05/idealisme-falsafah-melayu.html
Isnin, 14 April 2014
RETORIK DAN GAYA BAHASA MELAYU KLASIK
PENDAHULUAN
Seni retorik dan gaya bahasa
merujuk kepada seni pemakaian dan penggunaan bahasa dalam sesebuah karya agung.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010 :1326), retorik boleh didefinisikan
sebagai kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan
atau pertuturan. Tujuan adanya seni retorik dan gaya bahasa ini adalah untuk
menjadikan sebuah karya itu menarik dan indah untuk mempengaruhidan meyakinkan
para pembaca. Retorik turut berkaitan dengan seni memilih perkataan, memilih
susunan ayat dan menggunakan bunga-bunga bahasa. Berikut adalah peneltian
terhadap Bustan al-Katibin mengenai Retorik Dan Gaya Bahasa Melayu Klasik
berdasarkan empat ciri. Ciri-ciri tersebut ialah konsep retorik Melayu klasik,
bentuk binaan ayat, frasa dan klausa dan pengaruh bahasa asing yang digunakan
oleh pengarang.
KARYA PILIHAN: BUSTAN
AL-KATIBIN
Bustan al-Katibin atau judul
lengkapnya, Bustanul Katibin Iish Shibyanil Muta’allimin merupakan sebuah karya
bahasa Melayu paling awal yang dikarang oleh seorang ilmuwan dan budayawan
Melayu terulung, iaitu Raja Ali Haji. Karya ini selesai dikarang pada 15
September 1850.
Beliau menekankan bahawa
mempelajari bahasa bukan sekadar mengetahui peraturan nahu, susunan ayat,
struktur kata, sistem bunyi dan ejaannya sahaja tetapi ilmu yang terkandung di
dalamnya perlu dipelajari dan diketahui oleh orang Melayu. Bahasa dikatakan
bertindak sebagai suatu alat dalam sistem pemikiran yang digunakan secara
kreatif oleh manusia untuk mencapai ilmu yang benar dan yakin tentang alam
ciptaan Allah SWT. Pembelajaran bahasa Melayu mampu melahirkan penutur yang
bukan sahaja fasih bercakap tetapi fasih bercakap dengan budi bahasa dan adab
sopan yang mutlak dengan ilmu sahih dan benar.
Bahasa juga dapat melambangkan
budaya, nilai, akal budi dan budi pekerti sosial dan moral bangsa Melayu.
Perlambangan itulah yang dikatakan sebagai ‘isi’ sesuatu bahasa itu, bukan
sekadar ‘struktur’ fizikal sesuatu bahasa. Keistimewaan Raja Ali Haji ialah
beliau telah meletakkan tradisi pengajian bahasa Melayu berdasarkan maksud dan
matlamat pengajian bahasa yang telah digariskan dalam pengajian Islam. Dalam
Islam, pengajian sesuatu bahasa merupakan suatu bentuk ilmu untuk mencapai
makrifat, iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudan alam dan memperteguhkan
keimanan dan ketaqwaan. Pengajian bahasa tersebut merangkumi ilmu-ilmu seperti ilmu nahu
(sintaksis), saraf(morfologi), qawa’id (tatabahasa), mantiq (logik), balaghah
(retorik), istidlal(pendalilan), kalam (penghujahan) dan sebagainya.
Bustan al-Katibin terdiri
daripada tiga bahagian, iaitu bahagian Mukadimah atau pendahuluan, bahagian
Fasal yang mengandungi 30 fasal kesemuanya dan bahagian Khatimah, iaitu
bahagian penutup.
Bahagian Mukadimah membincangkan
tentang kelebihan ilmu, akal, adab dan budi bahasa. Bahagian Fasal pula dibahagikan seperti berikut:
Fasal 1- Fasal 9 : Huraian tentang peraturan
ejaan Jawi bahasa Melayu (30 abjad daripada bahasa Arab dengan tambahan empat abjad,
iaitu ca, ga, nga dan nya).
Fasal 10- Fasal 13 : Huraian tentang kelas kata
yang terbahagi kepada tiga golongan (kelas kata isim, iaitu kata nama, kelas
kata fi’il iaitu kata kerja, kelas kata harf, iaitu kata partikel).
Fasal 14 dan Fasal 15: Huraian tentang unit
tatabahasa, iaitu ayat/klausa, frasa dan perkataan yang diistilahkan oleh
pengarang sebagai perkataan-perkataan, kata-kata dan kata.
Fasal 16- Fasal 28 : Huraian tentang binaan
sintaksis.
Fasal 29 : Huraian tentang prinsip dan
peraturan menusun perkataan dalam membuat karangan.
Fasal 30 : Sambungan prinsip dan
peraturan membuat karangan dan huraian tentang kaedah membuat surat kiriman.
Bahagian Khatimah atau bahagian
penutup pula mengandungi tiga pesanan daripada Raja Ali Haji. Pesanan pertama
ditujukan kepada para penuntut supaya sentiasa mematuhi adab, syarat dan
peraturan menuntut ilmu. Pesanan kedua pula ditujukan kepada para guru. Para
guru perlulah mengajar secara tertib mengikut susunan bab dan fasal. Pesanan
terakhir ditujukan kepada para penyalin kitab tersebut supaya tidak
mengurangkan atau melebih-lebihkan isi kandungan yang terkandung dalam kitab.
SIFAT FIZIKAL KITAB
BUSTAN AL-KATIBIN
Sifat fizikal kitab ini
merangkumi dua aspek, iaitu:
(i) aspek penjilidan
(ii) aspek reka bentuk dalaman
teks
Aspek penjilidan melibatkan ciri
kulit buku atau kitab dan tulang belakang kitab. Kulit buku atau kitab ini
diperbuat daripada kulit asli (bonded leather). Kulit kitab tersebut juga
dihiasi dengan corak kerawang (deboss) di hadapan dan di belakang kulit kitab.
Kitab tersebut dijilid dengan benang yang dijahit ke atas kulit dan kertas
kitab tersebut. Tulang belakang kitab pula beralur sendi antara bahagian
tersebut dengan kulit hadapan dengan kulit belakang. Terdapat perada emas di
bahagian pinggir buku. Pada bahagian atas dan bawah buku mempunyai head band
dan reben disediakan sebagai penanda buku.
Aspek kedua dalam sifat fizikal
kitab adalah aspek reka bentuk dalaman teks. Reka bentuk dalaman teks
merangkumi jenis kertas yang bersifat long life. Jenis kertas ini adalah kertas
yang bebas asid. Teks dalam kitab ini pula terbahagi kepada dua, iaitu teks
tulisan Rumi dan teks tulisn Jawi. Kedua-dua teks ini dihiasi dengan kerawang
di sekeliling teks.
KONSEP RETORIK MELAYU
KLASIK
Retorik berasal daripada
perkataan Yunani ‘rethor’ yang membawa maksud pidato. Konsep retorik dalam
konteks moden ialah seni penggunaan bahasa tulisan utau lisan yang membabitkan
penyampaian fakta atau idea dengan menggunakan bahasa yang menarik dan berkesan
berdasarkan pengetahuan yang tersusun baik.
Retorik melayu klasik sama seperti retorik moden kerana ia turut melibatkan
analisis teks tulisan dan visual.
Dua aspek penting tentang
retorik ialah pengetahuan tentang bahasa dan penggunaan bahasa yang baik dan
pengetahuan tentang sesuatu perkara yang akan disampaikan menggunakan bahasa.
Retorik mempunyai ciri-ciri umum seperti mempunyai bahasa, pemikiran dan perasaan
yang tepat dan baik dalam penulisan atau gaya lisan. Ia juga memerlukan
kekemasan dan wacana yang tersusun. Penghasilan retorik yang berkesan perlu
melibatkan penggunaan satu daripada empat corak wacana, iaitu pemerian,
pendedahan, penghujahan dan penceritaan.
Retorik melayu klasik yang
terkandung dalam kitab Bustan al-Katibin dilihat daripada penyampaian ilmu
bahasa dengan menggunakan bahasa Melayu klasik. Pemakaian bahasa tersebut
merupakan ciri yang ditonjolkan dalam karya agung tersebut selain daripada
penggunaan bahasa asing seperti bahasa Arab.
BENTUK BINAAN AYAT
Pengarang Bustan al-Katibin
iaitu Raja Ali Haji menggunakan ayat yang panjang atau berbelit atau berulang,
penggunaan ayat pasif dan songsang, penggunaan perdu perkataan atau kata
pangkal ayat dan kata partikel dalam karya beliau.
Penggunaan ayat yang panjang,
berbelit atau berulang terdapat dalam karya ini. Pengarang gemar menggunakan
ayat yang panjang dalam penulisan beliau. Sebagai contoh boleh dilihat pada
Fasal 11 (Bustan al-Katibin, 2005 : 26):
Adapun nama itu, nama tiap-tiap
sesuatu seperti nama barang yang di atas seperti langit dan matahari dan bulan
dan bintang dan pengawak dan awan dan mega, atau barang yang di bawah seperti
bumi dan tanah dan bukit dan sekalian haiwan daripada nama manusia dan nama
binatang, ya’ni sekalian haiwan, dan nama batu dan kayu dan tumbuh-tumbuhan dan
nama alat segala pe(r)kakas dan pakaian dan nama makanan dan minuman dan nama
segala ubat-ubatan dan nama segala ba[h]u-ba[h]uan dan nama segala kenderaan
dan nama segala permainannya.
Selain itu, Raja Ali Haji turut
menggunakan ayat pasif atau songsang dalam Bustan al-Katibin dan boleh
dikatakan hampir keseluruhan penulisan ini menggunakan ayat pasif atau
songsang. Hal ini kerana Bustan al-Katibin merupakan karya yang mempunyai
ciri-ciri penggunaan bahasa sastera klasik. Antara contoh penggunaan ayat pasif
atau songsang dalam karya ini ialah pada Fasal (10), halaman 25:
Bermula yang diperbuat
perkataannya itu tiadalah sunyi ia daripada tiga perkara.
Munculnya sesuatu perkataan itu
telah diketahui tentang tiga perkara tersebut.
Raja Ali Haji juga menyelitkan
penggunaan kata pangkal ayat atau perdu perkataan dalam penulisan beliau. Kata
pangkal ayat termasuklah penggunaan perkataan syahadan, alkisah, dan sebermula.
Contoh penggunaan kata pangkal ayat boleh dilihat pada bahagian Muqaddimah
iaitu pada halaman 4:
Syahadan jika demikian nyatalah
apabila tiada ‘ilmu dan ‘akal, ‘alamat tiadalah ia mencium ba[h]u kemuliaan dan
sangatlah jinak kehinaan kepadanya, maka terbukalah pintunya, maka masuklah
kehinaan itu pada tiap-tiap pintu itu.
Di samping itu, penggunaan kata
partikel turut dimasukkan oleh pengarang Bustan al-Katibin. Penggunaan kata
partikel ini boleh dikatakan banyak terdapat dalam karya ini. Kata partikel
termasuklah –lah dan –pun. Antara contoh kata partikel yang digunakan dalam
karya ini boleh dilihat pada bahagian Muqaddimah halaman 10 :
Syahadan telah engkau ketahui
apalah bagi segala perkara yang lima seperti yang tersebut dahulu itu, iaitulah
yang menegahkan sekaliannya kita akan mendapat ‘ilmu itu.
FRASA DAN KLAUSA
Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat (2010: 417), frasa boleh didefiniskan sebagai kumpulan kata yang
membentuk unit sintaksis sesuatu bahasa. Klausa pula ditakrifkan sebagai unit
yang merupakan rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat yang
menjadi konstituen atau bahagian kepada ayat (Kamus Dewan Edisi Keempat 2010 :
798).
Frasa dan klausa yang digunakan
dalam kitab Bustan al-Katibin tidak sama binaannya seperti penggunaannya dalam
bahasa Melayu moden. Binaannya tidak dapat ditentukan kerana ayat yang dibina
merupakan ayat bahasa Melayu klasik yang panjang dna berbelit-belit.
Walaupun binaannya dalam bahasa
Melayu klasik, isi perbincangan dalam kitab ini ada membincangkan tentang aspek
perkataan-perkataan, kata-kata dan kata. Huraian tentang unit-unit tatabahasa
ini diterangkan dalam Fasal 14 dan Fasal 15. Perkataan-perkataan merujuk kepada
ayat atau klausa. Istilah kata-kata pula merujuk kepada frasa, manakala istilah
perkataan bererti perkataan.
Perkataan-perkataan (ayat/klausa)
merupakan didefinisikan sebagai lafaz yang memberikan faedah. Contoh yang
diberikan dalam teks kitab Bustan al-Katibin adalah “Berdirilah engkau” yang
membawa maksud menyuruh seseorang untuk bangun. Istilah kata-kata yang merujuk
kepada frasa pula merupakan kata-kata yang hadir selepas perkataan-perkataan
dan ianya melengkapi perkataan tersebut. Contohnya “Si Zaid itu berdirikah ia
atau dudukkah ia”. Perkataan tersebut akan menjadi sempurna apabila dijawab
dengan “Si Zaid berdiri”.
PENGARUH BAHASA ASING
Pengaruh bahasa asing dalam
kitab Bustan al-Katibin dapat dilihat dengan jelas apabila pengarangnya, Raja
Ali Haji banyak menggunakan istilah-istilah Arab dalam penulisannya. Pengaruh
bahasa Arab dalam penulisan beliau mungkin disebabkan oleh latar belakang
pendidikannya yang telah mendalami ilmu pengetahuan di Makkah.
Seluruh huraian dalam kitab
tersebut yang berkaitan ilmu bahasa Melayu adalah berdasarkan kaedah huraian
dan konsep tatabahasa Arab. Istilah-istilah yang digunakan juga dipinjam secara
langsung daripada bahasa Arab. Contoh penggunaan bahasa Arab dalam penulisan
kitab ini dapat dilihat daripada bab permulaan lagi.
Raja Ali Haji telah memulakan
bahagian Muqaddimah atau pendahuluan dengan ayat Fifadhilati al-‘ilmu wa
‘l-‘aqlu yang bermaksud pendahuluan ini menyatakan tentang kelebihan ilmu dan
akal. Selain itu, beliau juga menyatakan hadith Rasulullah SAW yang berbunyi
Kama qala ‘ n-Nabiyi sallal-Lahu’alaihi wa sallam man yarda ‘l-Lahu bihi
khairan yafqahahu fi’d-din yang membawa pengertian “Barangsiapa dikehendaki
Allah untuk membuat kebaikan, maka ia diberi pemahaman kepada ilmu agama”
(Bustan al-Katibin, 2005: 4).
Penggunaan kata Arab juga dapat
dilihat dalam penyataan lima syarat keberhasilan ilmu yang merangkumi
al-himmat, al-mudarasah, al-muhafazat, muzakarah danmutala’at. Al-himmat
merujuk kepada kesungguhan untuk mendapatkan ilmu. Al-mudarasah pula bererti
kuat menderas atau mengulang ilmu yang sudah diperoleh. Syarat ketiga,
al-muhafazat bermaksud ilmu-ilmu yang diperoleh hendaklah dihafaz.Muzakarah
yang merupakan syarat keempat bererti menyebut-nyebut ilmu itu kepada orang
lain agar sentiasa saling mengingati. Syarat yang terakhir merupakan
mutala’atyang merujuk kepada menilik ilmu yang dikaji dan memikirkan maknanya
(Bustan al-Katibin, 2005: 5-6).
Penggunaan kata Arab juga
digunakan untuk merujuk kepada kata nama, kata kerja dan kata partikel.
Kata-kata tersebut diterangkan dalam Fasal 10 hingga Fasal 13. Kata Arab yang
merujuk kepada kata nama adalah isim, kata kerja (fi’il) dan kata partikel
dirujuk sebagai harf. Bukti penggunaan bahasa Arab dinyatakan seperti berikut:
Pertama, pada bahasa ‘Arab isim
yakni nama, dan kedua, fi’il yakni perbuatan, dan ketiga harf. (Bustan al-Katibin, 2005: 26-26)
PENUTUP
Bustan al-Katibin yang dikarang
oleh Raja Ali Haji merupakan karya awal mengenai tatabahasa bahasa Melayu yang
telah membolehkan pembaca untuk mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada
peringkat awal pembinaan. Bustan al-Katibin mengandungi perbincangan
kepentingan mempelajari bahasa dan huraian dalam konteks bahasa pula luas dan
mendalam. Karya ini juga membincangkan aspek ilmu yang terkandung dalam bahasa
Melayu yang sesuai bukan hanya untuk pembacaan pada zaman tersebut tetapi masih
bermanfaat sehingga sekarang sebagai bahan untuk dikaji dan dibaca. Empat ciri
yang terkandung dalam Seni Retorik dan Gaya Bahasa yang dimasukkan oleh
pengarang Bustan al-Katibin ialah konsep retorik klasik, bentuk binaan ayat,
frasa dan klausa, dan pengaruh bahasa asing. Pengarang menggunakan ayat yang
panjang atau berbelit, ayat pasif atau songsang, kata pangkal ayat, kata
partikel, pengaruh bahasa Arab dan retorik Melayu klasik dalam Bustan
al-Katibin. Bustan al-Katibin secara keseluruhannya merupakan satu karya agung
yang mempunyai nilai estetika tersendiri dan boleh digunakan sebagai rujukan
untuk membuat kajian sama ada dari segi kandungan atau nilainya.
SUMBER
:
Hashim
Musa (2005). Bustan al-katibin. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan
Nik
Safiah Karim (2010). Tatabahasa bahasa melayu: daripada Bustan al-Katibin
kepada tatabahasa dewan. Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan Akademi Pengajian
Melayu, UM
http://kumpulan5kac.blogspot.com/2013/05/retorik-dan-gaya-bahasa-melayu-klasik.html
Langgan:
Catatan (Atom)