RETORIK DAN GAYA BAHASA MELAYU KLASIK
PENDAHULUAN
Seni retorik dan gaya bahasa
merujuk kepada seni pemakaian dan penggunaan bahasa dalam sesebuah karya agung.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010 :1326), retorik boleh didefinisikan
sebagai kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan
atau pertuturan. Tujuan adanya seni retorik dan gaya bahasa ini adalah untuk
menjadikan sebuah karya itu menarik dan indah untuk mempengaruhidan meyakinkan
para pembaca. Retorik turut berkaitan dengan seni memilih perkataan, memilih
susunan ayat dan menggunakan bunga-bunga bahasa. Berikut adalah peneltian
terhadap Bustan al-Katibin mengenai Retorik Dan Gaya Bahasa Melayu Klasik
berdasarkan empat ciri. Ciri-ciri tersebut ialah konsep retorik Melayu klasik,
bentuk binaan ayat, frasa dan klausa dan pengaruh bahasa asing yang digunakan
oleh pengarang.
KARYA PILIHAN: BUSTAN
AL-KATIBIN
Bustan al-Katibin atau judul
lengkapnya, Bustanul Katibin Iish Shibyanil Muta’allimin merupakan sebuah karya
bahasa Melayu paling awal yang dikarang oleh seorang ilmuwan dan budayawan
Melayu terulung, iaitu Raja Ali Haji. Karya ini selesai dikarang pada 15
September 1850.
Beliau menekankan bahawa
mempelajari bahasa bukan sekadar mengetahui peraturan nahu, susunan ayat,
struktur kata, sistem bunyi dan ejaannya sahaja tetapi ilmu yang terkandung di
dalamnya perlu dipelajari dan diketahui oleh orang Melayu. Bahasa dikatakan
bertindak sebagai suatu alat dalam sistem pemikiran yang digunakan secara
kreatif oleh manusia untuk mencapai ilmu yang benar dan yakin tentang alam
ciptaan Allah SWT. Pembelajaran bahasa Melayu mampu melahirkan penutur yang
bukan sahaja fasih bercakap tetapi fasih bercakap dengan budi bahasa dan adab
sopan yang mutlak dengan ilmu sahih dan benar.
Bahasa juga dapat melambangkan
budaya, nilai, akal budi dan budi pekerti sosial dan moral bangsa Melayu.
Perlambangan itulah yang dikatakan sebagai ‘isi’ sesuatu bahasa itu, bukan
sekadar ‘struktur’ fizikal sesuatu bahasa. Keistimewaan Raja Ali Haji ialah
beliau telah meletakkan tradisi pengajian bahasa Melayu berdasarkan maksud dan
matlamat pengajian bahasa yang telah digariskan dalam pengajian Islam. Dalam
Islam, pengajian sesuatu bahasa merupakan suatu bentuk ilmu untuk mencapai
makrifat, iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudan alam dan memperteguhkan
keimanan dan ketaqwaan. Pengajian bahasa tersebut merangkumi ilmu-ilmu seperti ilmu nahu
(sintaksis), saraf(morfologi), qawa’id (tatabahasa), mantiq (logik), balaghah
(retorik), istidlal(pendalilan), kalam (penghujahan) dan sebagainya.
Bustan al-Katibin terdiri
daripada tiga bahagian, iaitu bahagian Mukadimah atau pendahuluan, bahagian
Fasal yang mengandungi 30 fasal kesemuanya dan bahagian Khatimah, iaitu
bahagian penutup.
Bahagian Mukadimah membincangkan
tentang kelebihan ilmu, akal, adab dan budi bahasa. Bahagian Fasal pula dibahagikan seperti berikut:
Fasal 1- Fasal 9 : Huraian tentang peraturan
ejaan Jawi bahasa Melayu (30 abjad daripada bahasa Arab dengan tambahan empat abjad,
iaitu ca, ga, nga dan nya).
Fasal 10- Fasal 13 : Huraian tentang kelas kata
yang terbahagi kepada tiga golongan (kelas kata isim, iaitu kata nama, kelas
kata fi’il iaitu kata kerja, kelas kata harf, iaitu kata partikel).
Fasal 14 dan Fasal 15: Huraian tentang unit
tatabahasa, iaitu ayat/klausa, frasa dan perkataan yang diistilahkan oleh
pengarang sebagai perkataan-perkataan, kata-kata dan kata.
Fasal 16- Fasal 28 : Huraian tentang binaan
sintaksis.
Fasal 29 : Huraian tentang prinsip dan
peraturan menusun perkataan dalam membuat karangan.
Fasal 30 : Sambungan prinsip dan
peraturan membuat karangan dan huraian tentang kaedah membuat surat kiriman.
Bahagian Khatimah atau bahagian
penutup pula mengandungi tiga pesanan daripada Raja Ali Haji. Pesanan pertama
ditujukan kepada para penuntut supaya sentiasa mematuhi adab, syarat dan
peraturan menuntut ilmu. Pesanan kedua pula ditujukan kepada para guru. Para
guru perlulah mengajar secara tertib mengikut susunan bab dan fasal. Pesanan
terakhir ditujukan kepada para penyalin kitab tersebut supaya tidak
mengurangkan atau melebih-lebihkan isi kandungan yang terkandung dalam kitab.
SIFAT FIZIKAL KITAB
BUSTAN AL-KATIBIN
Sifat fizikal kitab ini
merangkumi dua aspek, iaitu:
(i) aspek penjilidan
(ii) aspek reka bentuk dalaman
teks
Aspek penjilidan melibatkan ciri
kulit buku atau kitab dan tulang belakang kitab. Kulit buku atau kitab ini
diperbuat daripada kulit asli (bonded leather). Kulit kitab tersebut juga
dihiasi dengan corak kerawang (deboss) di hadapan dan di belakang kulit kitab.
Kitab tersebut dijilid dengan benang yang dijahit ke atas kulit dan kertas
kitab tersebut. Tulang belakang kitab pula beralur sendi antara bahagian
tersebut dengan kulit hadapan dengan kulit belakang. Terdapat perada emas di
bahagian pinggir buku. Pada bahagian atas dan bawah buku mempunyai head band
dan reben disediakan sebagai penanda buku.
Aspek kedua dalam sifat fizikal
kitab adalah aspek reka bentuk dalaman teks. Reka bentuk dalaman teks
merangkumi jenis kertas yang bersifat long life. Jenis kertas ini adalah kertas
yang bebas asid. Teks dalam kitab ini pula terbahagi kepada dua, iaitu teks
tulisan Rumi dan teks tulisn Jawi. Kedua-dua teks ini dihiasi dengan kerawang
di sekeliling teks.
KONSEP RETORIK MELAYU
KLASIK
Retorik berasal daripada
perkataan Yunani ‘rethor’ yang membawa maksud pidato. Konsep retorik dalam
konteks moden ialah seni penggunaan bahasa tulisan utau lisan yang membabitkan
penyampaian fakta atau idea dengan menggunakan bahasa yang menarik dan berkesan
berdasarkan pengetahuan yang tersusun baik.
Retorik melayu klasik sama seperti retorik moden kerana ia turut melibatkan
analisis teks tulisan dan visual.
Dua aspek penting tentang
retorik ialah pengetahuan tentang bahasa dan penggunaan bahasa yang baik dan
pengetahuan tentang sesuatu perkara yang akan disampaikan menggunakan bahasa.
Retorik mempunyai ciri-ciri umum seperti mempunyai bahasa, pemikiran dan perasaan
yang tepat dan baik dalam penulisan atau gaya lisan. Ia juga memerlukan
kekemasan dan wacana yang tersusun. Penghasilan retorik yang berkesan perlu
melibatkan penggunaan satu daripada empat corak wacana, iaitu pemerian,
pendedahan, penghujahan dan penceritaan.
Retorik melayu klasik yang
terkandung dalam kitab Bustan al-Katibin dilihat daripada penyampaian ilmu
bahasa dengan menggunakan bahasa Melayu klasik. Pemakaian bahasa tersebut
merupakan ciri yang ditonjolkan dalam karya agung tersebut selain daripada
penggunaan bahasa asing seperti bahasa Arab.
BENTUK BINAAN AYAT
Pengarang Bustan al-Katibin
iaitu Raja Ali Haji menggunakan ayat yang panjang atau berbelit atau berulang,
penggunaan ayat pasif dan songsang, penggunaan perdu perkataan atau kata
pangkal ayat dan kata partikel dalam karya beliau.
Penggunaan ayat yang panjang,
berbelit atau berulang terdapat dalam karya ini. Pengarang gemar menggunakan
ayat yang panjang dalam penulisan beliau. Sebagai contoh boleh dilihat pada
Fasal 11 (Bustan al-Katibin, 2005 : 26):
Adapun nama itu, nama tiap-tiap
sesuatu seperti nama barang yang di atas seperti langit dan matahari dan bulan
dan bintang dan pengawak dan awan dan mega, atau barang yang di bawah seperti
bumi dan tanah dan bukit dan sekalian haiwan daripada nama manusia dan nama
binatang, ya’ni sekalian haiwan, dan nama batu dan kayu dan tumbuh-tumbuhan dan
nama alat segala pe(r)kakas dan pakaian dan nama makanan dan minuman dan nama
segala ubat-ubatan dan nama segala ba[h]u-ba[h]uan dan nama segala kenderaan
dan nama segala permainannya.
Selain itu, Raja Ali Haji turut
menggunakan ayat pasif atau songsang dalam Bustan al-Katibin dan boleh
dikatakan hampir keseluruhan penulisan ini menggunakan ayat pasif atau
songsang. Hal ini kerana Bustan al-Katibin merupakan karya yang mempunyai
ciri-ciri penggunaan bahasa sastera klasik. Antara contoh penggunaan ayat pasif
atau songsang dalam karya ini ialah pada Fasal (10), halaman 25:
Bermula yang diperbuat
perkataannya itu tiadalah sunyi ia daripada tiga perkara.
Munculnya sesuatu perkataan itu
telah diketahui tentang tiga perkara tersebut.
Raja Ali Haji juga menyelitkan
penggunaan kata pangkal ayat atau perdu perkataan dalam penulisan beliau. Kata
pangkal ayat termasuklah penggunaan perkataan syahadan, alkisah, dan sebermula.
Contoh penggunaan kata pangkal ayat boleh dilihat pada bahagian Muqaddimah
iaitu pada halaman 4:
Syahadan jika demikian nyatalah
apabila tiada ‘ilmu dan ‘akal, ‘alamat tiadalah ia mencium ba[h]u kemuliaan dan
sangatlah jinak kehinaan kepadanya, maka terbukalah pintunya, maka masuklah
kehinaan itu pada tiap-tiap pintu itu.
Di samping itu, penggunaan kata
partikel turut dimasukkan oleh pengarang Bustan al-Katibin. Penggunaan kata
partikel ini boleh dikatakan banyak terdapat dalam karya ini. Kata partikel
termasuklah –lah dan –pun. Antara contoh kata partikel yang digunakan dalam
karya ini boleh dilihat pada bahagian Muqaddimah halaman 10 :
Syahadan telah engkau ketahui
apalah bagi segala perkara yang lima seperti yang tersebut dahulu itu, iaitulah
yang menegahkan sekaliannya kita akan mendapat ‘ilmu itu.
FRASA DAN KLAUSA
Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat (2010: 417), frasa boleh didefiniskan sebagai kumpulan kata yang
membentuk unit sintaksis sesuatu bahasa. Klausa pula ditakrifkan sebagai unit
yang merupakan rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat yang
menjadi konstituen atau bahagian kepada ayat (Kamus Dewan Edisi Keempat 2010 :
798).
Frasa dan klausa yang digunakan
dalam kitab Bustan al-Katibin tidak sama binaannya seperti penggunaannya dalam
bahasa Melayu moden. Binaannya tidak dapat ditentukan kerana ayat yang dibina
merupakan ayat bahasa Melayu klasik yang panjang dna berbelit-belit.
Walaupun binaannya dalam bahasa
Melayu klasik, isi perbincangan dalam kitab ini ada membincangkan tentang aspek
perkataan-perkataan, kata-kata dan kata. Huraian tentang unit-unit tatabahasa
ini diterangkan dalam Fasal 14 dan Fasal 15. Perkataan-perkataan merujuk kepada
ayat atau klausa. Istilah kata-kata pula merujuk kepada frasa, manakala istilah
perkataan bererti perkataan.
Perkataan-perkataan (ayat/klausa)
merupakan didefinisikan sebagai lafaz yang memberikan faedah. Contoh yang
diberikan dalam teks kitab Bustan al-Katibin adalah “Berdirilah engkau” yang
membawa maksud menyuruh seseorang untuk bangun. Istilah kata-kata yang merujuk
kepada frasa pula merupakan kata-kata yang hadir selepas perkataan-perkataan
dan ianya melengkapi perkataan tersebut. Contohnya “Si Zaid itu berdirikah ia
atau dudukkah ia”. Perkataan tersebut akan menjadi sempurna apabila dijawab
dengan “Si Zaid berdiri”.
PENGARUH BAHASA ASING
Pengaruh bahasa asing dalam
kitab Bustan al-Katibin dapat dilihat dengan jelas apabila pengarangnya, Raja
Ali Haji banyak menggunakan istilah-istilah Arab dalam penulisannya. Pengaruh
bahasa Arab dalam penulisan beliau mungkin disebabkan oleh latar belakang
pendidikannya yang telah mendalami ilmu pengetahuan di Makkah.
Seluruh huraian dalam kitab
tersebut yang berkaitan ilmu bahasa Melayu adalah berdasarkan kaedah huraian
dan konsep tatabahasa Arab. Istilah-istilah yang digunakan juga dipinjam secara
langsung daripada bahasa Arab. Contoh penggunaan bahasa Arab dalam penulisan
kitab ini dapat dilihat daripada bab permulaan lagi.
Raja Ali Haji telah memulakan
bahagian Muqaddimah atau pendahuluan dengan ayat Fifadhilati al-‘ilmu wa
‘l-‘aqlu yang bermaksud pendahuluan ini menyatakan tentang kelebihan ilmu dan
akal. Selain itu, beliau juga menyatakan hadith Rasulullah SAW yang berbunyi
Kama qala ‘ n-Nabiyi sallal-Lahu’alaihi wa sallam man yarda ‘l-Lahu bihi
khairan yafqahahu fi’d-din yang membawa pengertian “Barangsiapa dikehendaki
Allah untuk membuat kebaikan, maka ia diberi pemahaman kepada ilmu agama”
(Bustan al-Katibin, 2005: 4).
Penggunaan kata Arab juga dapat
dilihat dalam penyataan lima syarat keberhasilan ilmu yang merangkumi
al-himmat, al-mudarasah, al-muhafazat, muzakarah danmutala’at. Al-himmat
merujuk kepada kesungguhan untuk mendapatkan ilmu. Al-mudarasah pula bererti
kuat menderas atau mengulang ilmu yang sudah diperoleh. Syarat ketiga,
al-muhafazat bermaksud ilmu-ilmu yang diperoleh hendaklah dihafaz.Muzakarah
yang merupakan syarat keempat bererti menyebut-nyebut ilmu itu kepada orang
lain agar sentiasa saling mengingati. Syarat yang terakhir merupakan
mutala’atyang merujuk kepada menilik ilmu yang dikaji dan memikirkan maknanya
(Bustan al-Katibin, 2005: 5-6).
Penggunaan kata Arab juga
digunakan untuk merujuk kepada kata nama, kata kerja dan kata partikel.
Kata-kata tersebut diterangkan dalam Fasal 10 hingga Fasal 13. Kata Arab yang
merujuk kepada kata nama adalah isim, kata kerja (fi’il) dan kata partikel
dirujuk sebagai harf. Bukti penggunaan bahasa Arab dinyatakan seperti berikut:
Pertama, pada bahasa ‘Arab isim
yakni nama, dan kedua, fi’il yakni perbuatan, dan ketiga harf. (Bustan al-Katibin, 2005: 26-26)
PENUTUP
Bustan al-Katibin yang dikarang
oleh Raja Ali Haji merupakan karya awal mengenai tatabahasa bahasa Melayu yang
telah membolehkan pembaca untuk mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada
peringkat awal pembinaan. Bustan al-Katibin mengandungi perbincangan
kepentingan mempelajari bahasa dan huraian dalam konteks bahasa pula luas dan
mendalam. Karya ini juga membincangkan aspek ilmu yang terkandung dalam bahasa
Melayu yang sesuai bukan hanya untuk pembacaan pada zaman tersebut tetapi masih
bermanfaat sehingga sekarang sebagai bahan untuk dikaji dan dibaca. Empat ciri
yang terkandung dalam Seni Retorik dan Gaya Bahasa yang dimasukkan oleh
pengarang Bustan al-Katibin ialah konsep retorik klasik, bentuk binaan ayat,
frasa dan klausa, dan pengaruh bahasa asing. Pengarang menggunakan ayat yang
panjang atau berbelit, ayat pasif atau songsang, kata pangkal ayat, kata
partikel, pengaruh bahasa Arab dan retorik Melayu klasik dalam Bustan
al-Katibin. Bustan al-Katibin secara keseluruhannya merupakan satu karya agung
yang mempunyai nilai estetika tersendiri dan boleh digunakan sebagai rujukan
untuk membuat kajian sama ada dari segi kandungan atau nilainya.
SUMBER
:
Hashim
Musa (2005). Bustan al-katibin. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan
Nik
Safiah Karim (2010). Tatabahasa bahasa melayu: daripada Bustan al-Katibin
kepada tatabahasa dewan. Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan Akademi Pengajian
Melayu, UM
http://kumpulan5kac.blogspot.com/2013/05/retorik-dan-gaya-bahasa-melayu-klasik.html