IDEALISME & FALSAFAH MELAYU
FALSAFAH MELAYU DALAM
KARYA AGUNG
Perkataan falsafah
berasal daripada bahasa Yunani atau Greek Purba. Perkataan falsafah merupakan
gabungan dua perkataan iaitu philo yang bermaksud cinta dan sophia yang
bermaksud “kebijaksanaan”. Oleh itu, falsafah boleh diertikan sebagai “cinta
akan kebijaksanaan”. Menurut Kamus Dewan
Edisi keempat, falsafah ialah pengetahuan tentang pengertian yang dianggap
sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu ilmu yang lain. Falsafah
juga didefinisikan sebagai kebijaksanaan atau hikmah menggunakan akal fikiran
untuk mengetahui kebenaran yang hakiki.
Berdasarkan Hashim Hj.
Musa (1994). Falsafah merupakan kajian secara renungan dan spekulatif terhadap
punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati
bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. Berdasarkan pendapat pendapat yang diberikan,
dapatlah dirumuskan bahawa ilmu falsafah ialah ilmu yang mengkaji dan meneliti
objek yang abstrak dan logikal yang merupakan hakikat benda benda kejadian di
alam semesta.
Falsafah ialah satu
disiplin ilmu yang dapat dihuraikan melalui tiga sudut pandangan iaitu sudut
pandangan bahasa, sudut pandangan pemerhatian praktis dan sudut pandangan
perbezaannya daripada ilmu-ilmu yang lain. falsafah juga merupakan satu
disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Perkataan
falsafah dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa arab yang juga berasal
daripada perkataan yang disebut sebagai philosophia.
FALSAFAH MELAYU
Kehidupan masyarakat
Melayu sememangnya tidak terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu
dipatuhi berdasarkan kesepakatan masyarakat. Masyarakat Melayu sangat
mementingkan aspek nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan
masyarakat. Nilai yang disampaikan bersifat beradab, muafakat dan penuh dengan
kesusilaan. Pemupukan nilai dalam masyarakat Melayu membolehkan seseorang itu
diterima sebahagian daripada masyarakat.
Nilai sememangnya menjadi sesuatu yang dekat dengan masyarakat Melayu.
Nilai dan etika yang dipegang menjadi cerminan kepada masyarakat Melayu dan
membentuk jati diri mereka dalam interaksi dan kehidupan bermasyarakat. Sebagai
contoh, interaksi yang beradab, sopan, menghormati orang lain merupakan norma-
norma yang erat dengan kehidupan masyarakat Melayu. Nilai yang diamalkan akan
menghasilkan komunikasi dan tingkah laku yang penuh tatatertib yang beradab dan
penggunaan bahasa yang penuh dengan kesantunan. Menurut Al-Farabi, falsafah
adalah ilmu yang berkisar tentang alam untuk diselidiki hakikatnya yang
sebenar. Al kindi pula menyaakan bahawa falsafah adalah salah satu pengetahuan
tentang realiti segala sesuatu, sejauh jangkauan kemampuan manusia.
Selain itu, Masyarakat
Melayu mempunyai penilaiannya yang tersendiri terhadap budi bahasa. Mereka
telah terdidik untuk mengamalkan adab sopan, tutur kata yang baik dan tingkah
laku mengikut adab- adab ketimuran dan Melayu sejati. Anggota masyarakat yang
tidak mengamalkan nilai berbudi bahasa dalam kehidupam mereka akan menimbulkan
pandangan negatif oleh masyarakat. Ketinggian nilai budi bahasa dalam
masyarakat Melayu juga boleh dilihat dalam ungkapan puisi Melayu tradisional.
Dunia Melayu mempunyai pelbagai bentuk dan puisi Melayu tradisional seperti
pantun, syair, gurindam, seloka, teromba, peribahasa berangkap, nazam, ghazal,
berzanji, teka-teki, dan dabus.
FALSAFAH BAHASA DARI
SUDUT NAHU DALAM SULALATUS SALATIN
Semua bahasa yang
terdapat di dunia mempunyai nahu atau tatabahasa yang tersendiri, terutamanya
bahasa Melayu. Nahu atau tatabahasa merujuk kepada sistem atau susunan sesuatu
bahasa. Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya.
Penggunaan nahu yang sempurna bermaksud penggunaan kata atau perkataan dan ayat
yang betul dalam proses berbahasa. Nyanyian dalam karya sulalatus salatin
memperlihatkan penggunaan bahasa yang sangat halus untuk menggambar sesuatu
perkaran. Perkara ini dapat dilihat melalui nyanyian Kapitan Melaka.
Dihela-hela
diretak sehasta
Kandis
dipenggalkan
Alangkah
gila Raja Kecil
Menggusta
manis ditinggalkan
Melihat
buah hartal masuk.
(Muhammad
Haji Salleh, 1997: 217)
Nilai berbudi dan
berbahasa dianggap sebagai suatu nilai yang tinggi dalam masyarakat Melayu dan
disanjung tinggi sebagai ukuran ketinggian keperibadiannya. Dalam karya
Sulalatus Salatin yang ditulis oleh Muhammad Haji Salleh menunjukkan ketinggian
ilmu orang Melayu dalam berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang indah
seperti pantun dan syair.
FALSAFAH ALAM
Hubungkait antara
manusia dan alam sekitarnya iaitu “bagaimana manusia menggunakan kebijaksanaan
untuk berinteraksi dengan alam. Dalam pemikiran Hamka, alam membantu masyarakat
untuk terus berpegang bahawa segala yang ada di seluruh alam ini telah terancang
oleh Pencipta. Menurut ahli falsafah agama seperti Klaus Klostermaier,
kepentingan memahami alam sebagai unsur yang mempunyai nilai ketuhanan bukanlah sebagai jalan terakhir, tetapi
sebagai jalan yang sebenar dalam memastikan alam sekitar dihargai. Menurut
agama Hindhu dan Kristian juga, kedudukan alam wajib dihargai.
KONSEP FALSAFAH ISLAM
Falsafah ialah satu
disiplin ilmu yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Menerangkan
pertalian antara manusia dengan penciptanya, antara manusia dengan manusia dan
juga manusia dengan persekitarannya. Falsafah islam tidak dapat dipisahkan daripada dua sumber
berautoriti iaitu al-quran dan as-sunnah.
FALSAFAH IBADAH DALAM
SULALATUS SALATIN
"Hendaklah engkau
sangat-sangat menyerahkan dirimu kepada hadrat Allah Taala yang akan memelihara
akan kamu, kerana wa man yatawakkal 'ala'llah. Dan segala anak Melayu
bagaimanapun besar dosanya, jangan olehmu diaifi dia, dan sampai kepada hukum
syarak dosanya derhaka, bunuhlah; ............ Jikalau engkau bunuh ia tiada dosanya,
bahawa kerajaanmu binasa."
(Muhamad Haji
Salleh, 1997: 186 -187)
Raja Iskandar menyuruh
Raja Kida Hindi untuk memeluk agama Islam. "Kata Nabi Khidir: ' Ketahui
olehmu hei Raja Kida Hindi, bahawa raja kami inilah yang diserahlan Allah Taala
kerajaan dunia ini kepadanya,dari daksini lalu ke paksina.”
(Muhammad Haji
Salleh, 1997: 5)
Aspek politik
masyakarat melayu Walaupun raja pernah bermusuhan, apabila sudah kalah,raja
lama secara langsung menghormati raja baru.
FALSAFAH KEADILAN DALAM
SULALATUS SALATIN
Falsafah keadilan dapat
dilihat melalui tindakan Sultan Muzaffar Syah mewujudkan undang-undang untuk
mengelakkan menteri melakukan kesilapan. ganjaran terhadap kesilapan yang
dilakukan ialah hukuman. Dalam karya ini tidak banyak menonjolkan sikap raja
yang adil, tetapi perkara yang banyak ditonjolkan adalah berkaitan sikap raja
yang tidak adil. Beliau memang patut dipuji kerana tidak hanya menceritakan
kebaikan sahaja, malah turut menceritakan kezaliman yang telah dilakukan oleh
raja. Beliau patut dipuji kerana tidak menyembunyikan kezaliman raja terhadap
rakyat dan juga pembesar. Terdapat banyak peristiwa yang mempamerkan ketidakadilan
raja. Sebagai contoh, kezaliman yang dilakukan oleh Sulatan Mahmud Syah ke atas
keluarga Tun Fatimah kerana berdendam. Sultan Mahmud Syah telah membunuh Tun
Mutahir, Tun Ali, dan keluarga Tun Fatimah.
Setelah Sultan Mahmud
Syah melihat rupa Tun Fatimah maka baginda pun terlalu khairan. Maka
teringinlah rasa Sultan Mahmud Syah akan Tun Fatimah. Maka baginda berkata
dalam hatinya, “Jahatnya Pa’ Mutahir ini, demikian baik anaknya tiada
ditunjukkannya kepada kita.”
Maka Sultan Mahmud Syah
pun berdendamlah rasanaya akan Bendahara Seri Maharaja.
(Muhamad Haji
Salleh, 1997 : 201)
FALSAFAH MELAYU
BERKAITAN DENGAN ADAT
Adat merupakan
peraturan yang diamalkan sejak turun temurun. Adat yang diwujudkan perlu
dipatuhi oleh masyarakat. Dalam Sulalatus Salatin, terdapat banyak adat Melayu
yang diamalkan oleh golongan raja dan golongan rakyat. Adat yang digunakan pada
masa dahulu juga masih ada yang digunakan pada masa sekaranag sesuai dengan
peredaran masa.
ADAT PENGANUGERAHAN
GELARAN
Adat ini dimulakan
dengan menjemput orang yang bakal menerima gelaran ke istana. Jemputan pula
penganugerahan adalah mengikut pangkat dan gelaran yang bakal diterima. Orang
besar-besar akan menjemputnya jika mendapat penganugerahan ‘Perserian’. Bagi
anugerah ‘Persangan’ hanya orang kecil-kecil sahaja yang akan menjemput orang
yang bakal menerima anugerah. Orang yang akan menerima anugerah akan dijemput
dengan menggunakan gajah atau kuda.
Mereka akan diiringi
dengan payung dan gendang serunai ke istana. Ketika tiba di istana, riwayat
mereka akan dibaca dan diberi persalinan mengikut gelaran yang diberikaan oleh
raja. Sebagai contoh, anugerah Bendahara akan diberi lima ceper persalinan.
Jika baginda menggelar
orang, maka raja dihadap orang di balairung, orang beradat. Maka dijemput orang
itu: jika "Perserian ", Orang Besar-besar menjemput dia; jika
"Persangan", orang kecil menjemput dia; jika "Pertuanan"
orang sedang menjemput dia; dan jika orang bergelar itu patut bergajah,
dibawakan gajah; yang patut berkuda, dibawakan kuda; dan jikalau tiada patut
bergajah dan berkuda, dibawa berjalan dengan bingkisan, dengan payung dan
gendang serunai, tetapi payung itu, ada hijau, ada yang biru, ada yang merah,
dan sebesar-besamya payung kuning; dan payung putih dengan nagara itu mahal
adanya, sebaik-baiknya nafiri. Dan payung kuning itu payung anak raja-raja dan
orang besar-besar; dan payung ungu dan merah dan hijau itu payung sida-sida dan
ben tara hulubalang sekalian. Adapun payung biru dan hitam itu akan payung
barang orang bergelar juga.
(A. Samad Ahmad,
1979: 76)
ADAT MENGADAP RAJA DI
BALAIRUNG
Semasa mengadap raja
terdapat adat istiadat mengadap raja di balairung. Pembesar-pembesar akan di
susun mengikut pangkat kebesaran tersendiri seperti bendahara, penghulu
bendahari, dan temenggung akan duduk di seri balai. Anak- anak raja akan duduk
di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Sida- sida yang muda akan
duduk berselang-seli dengan bentara dan hulubalang yang berdiri di ketapakan
balai memikul pedang. Petikan di bawah menggambarkan aturan mengadap raja di
balairung. Situasi ini dapat digambarkan
melalui petikan teks di bawah.
“Kemudian daripada itu
maka Raja Iskandar pun keluarlah ke penghadapan, dihadap oleh segala raja-raja
dan ulama dan pendita dan segala Orang Besar-besar, dan segala pahlawan yang
gagah-gagah mengelilingi takhta kerajaan baginda, dan dan belakang baginda
segala Hamba yang khas dan segala yang kepercayaannya.”
(A. Samad Ahmad, 1979: 5)
FALSAFAH KEKUASAAN
Falsafah lain yang
boleh dilihat dalam karya agung Melayu ialah tentang falsafah kekuasaan. Kitab
Salalatus Salatin banyak menceritakan tentang kekuasaan raja. Raja sangat
berpengaruh dari sudut pemerintahan. Hal ini demikian kerana, raja berkuasa
menitahkan semua [erkara kepada rakyat dan rakyat wajib menunaikannya jika
tidak mahu dihukum. Kuasa raja yang ditonjolkan juga dilihat sebagai satu
tindakan yang menindas golongan rakyat. Raja pada zaman dahulu terlalu berkuasa
dan bertindak zalim di luat batas kemanusiaan. Oleh sebab itu, tidak hairanlah
jika rakyat terlalu patuh kepada raja biarpun diperlakukan dengan buruk.
Sebagai contoh, Sultan Mahmud Syah sanggup membunuh keluarga Tun Fatimah kerana
terlalu tergoda dengan kecantikkan dan sanggup merampasnya daripada Tun Ali.
Perkara ini boleh dilihat melalui petikan teks dibawah:
Maka Sultan Mahmud Syah
menitahkan Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara membunuh Bendahara Seri
Maharaja. Maka segala anak buah Bendahara Seri Maharaja dan kaum keluarganya
berkampunglah kepada Bendahara Seri Maharaja sekaliannya dengan segala
senjatanya.
Maka dibunuhlah
Bendehara Seri Maharaja dan Seri Nara al- Diraja dan segala anak bauhnya yang
mau mati sama-sama dengan dia.
Setelah itu maka Sang
Sura datang berlari-lari dari dalam membawa titah pada Sang Sura, “Titah Yang
Dipertuan jangan semuanya dibunuh,tinggalkan akan benih.”
(Muhamad Haji
Salleh, 1997 : 205)
FALSAFAH WAAD
Falsafah ini merupakan
satu falsafah yang berkaitan dengan perjanjian yang dikenali dengan Waad. Waad
merupakan kontrak sosial yang dilakukan di antara Demang Lebar Daun dengan Sang
Sapurba. Jika waad ini dilanggar, maka pelbagai bencana akan menimpa seperti
menghidapi penyakit kedal iaitu sejenis penyakit kulit. Waad ini dilihat
sebagai satu kontrak atau perjanjian di antara golongan pemerintah dan golongan
rakyat. Perjanjian ini mengandungi perjanjian timbal balik. Sebagai contoh,
rakyat tidak boleh mendehaka kepada raja dan raja juga tidak boleh menzalimi
rakyat. Perjanjian ini dapat membuatkan rakyat patuh kepada pemerintah dan raja
tidak akan bertindak zalim terhadap golongan rakyat.
Maka sembah Demang
Lebar Daun, “Tuanku, segala anak cucu patik sedia akan jadi hambalah ke bawah
Duli Yang Dipertuan Hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu tuan hamba. Syahadan
jikalau ia berdosya besyar-besyar | dosyanya sekalipun jangan ia difadhihatkan
dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosyanya dibunuh, itu
pun jikalau patut pada hokum syar’i.
“Maka titah baginda,
“Kabullah hamba akan janji bapa hamba Demang Lebar Daun( tetapi hamba hendak
minta satu janji pada bapa hamba.)”
Maka Sembah Demang
Lebar Daun, “Janji yang mana itu, tuanku?”
Maka titah Seri Teri
Buana, “Hendaklah pada akhir Zaman kelak anak cucu bapa jangan durhaka, dan
anak cucu hamba, jikalau ia zalim dan jahat, pekertinya sekalipun.
Maka titah Seri Buana,
“Baiklah, kabullah hamba akan wa’ad itu.”
(Muhamad Haji
Salleh, 1997 : 23-24)
Falsafah lain yang
dapat dilihat ialah keberanaian. Keberanian raja merujuk kepada keberanian
menjajah dan mentakluk negeri lain untuk meluaskan pengaruh jajahannya. Dalam
kitab ini, turut menceritakan keberanian yang ditonjolkan oleh golongan rakyat
biasa seperti badang. Badang sanggup melakukan semua perkara dalam keadaan
berani dan tidak mengalah. Petikan dibawah dapat menggambarkan tentang
peristiwa tersebut.
Adapun akan baginda
Seri Rana Wikrama ada hulubalang baginda, terlalu gagah.
Setelah dilihat oleh
tuannya maka kata tuannya, “siapa menebang perhumaan kita ini? Bangat amat
suci.”
Maka kata badang, “Beta
menebang dia.”
Maka kata tuan(nya),
“Betapa perinya engkau menebang dia maka bangat amat sudahnya ini, dengan
luasnya saujanan mata menentang?” Maka oleh Badang segala perihal ehwalnya
semuanya dikatakan kepada tuannya. Maka oelh tuannya Badang itu
dimerdhekakannya.
(Muhamad Haji
Salleh, 1997 : 37-38)
Maka kata pahlawan
keling itu kepada Badang, “Marilah kita berkuat-kuatan mengangkat batu itu.
Barang siapa tiada terangkat olehnya, alah.”
Maka sahut Badang,
“Baiklah, angkatlah oleh tuan hamba dahulu.” maka diangkatnyalah oleh pahlawa
Keling itu, tiada terangkat. Maka disungguh-sungguhinya, terangkat batu itu
hingga lututnya, lalu dilepaskan.
Maka katanya kepada
Badang, “Sekarang pergantian tuan hambalah.”
Maka kata Badang,
“Baiklah.” Oleh Badang itu diangkatnya batu itu lalu dilambungnya seraya
dilemparkannya ke seberang kuala Singa Pura.
(Muhamad Haji
Salleh, 1997 : 39)
SUMBER:
Muhammad Haji Salleh (1997). Sulalat
Al-Salatin. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan
Dewan Bahasa dan Pustaka.
A.Samad Ahmad (2008). Sulalatus
Salatin. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan
Dewan Bahasa dan Pustaka
http://karyaagung2013.blogspot.com/2013/05/idealisme-falsafah-melayu.html