RAJA ALI HAJI
Nama sebenar Raja Ali
Haji ialah Tengku Haji Ali al-Haj bin Tengku Haji Ahmad. Beliau telah
dilahirkan pada tahun 1804 di Pulau Penyengat, Kepulauan Riau. Beliau merupakan
kerabat bangsawan Melayu-Riau yang berasal daripada keturunan Daeng Bugis. Raja
Ali Haji merupakan keturunan kedua ataupun cucu kepada Raja Haji Fisabilillah
iaitu Yang Dipertuan IV dari Kesultanan Lingga-Riau. Beliau telah meninggal
dunia di Riau sekitar tahun 1873. Raja Ali Haji dibesarkan dalam istana dengan
suasana yang amat mementingkan ilmu pengetahuan. Pada tahun 1822, ketika beliau
masih kecil beliau pernah dibawa orang tuanya ke Betawi, Jakarta. Pada ketika
itu, bapa Raja Ali Haji iaitu Raja Haji Ahmad menjadi utusan Riau untuk
menjumpai Gabenor Jeneral Van Der Capellen di Betawi. Hal ini menjadikan
puteranya iaitu Raja Ali Haji untuk menemui banyak ulama bagi mendalami ilmu
agama terutamanya tentang ilmu fiqh. Antara ulama Betawi yang sering ditemui
olehnya ialah Saiyid Abdur Rahman Rahman al-Mashri. Selain itu juga, Raja Ali
Haji sempat belajar ilmu falak dengan beliau.
Selain dapat mendalami
ilmu Islam, Raja Ali Haji juga banyak mendapat pengalaman dan pengetahuan hasil
daripada pergaulan dengan sarjana-sarjana kebudayaan Belanda seperti T.Roode
dan Van Der Waal yang kemudiannya menjadi sahabatnya. Pada tahun 1827, Raja Ali
Haji pergi ke Mekah dan beliau bersama bapanya. Mereka merupakan antara anak
Raja Riau pertama menunaikan ibadah haji ketika itu. Raja Ali Haji tinggal dan
belajar di Mekah dalam jangkamasa yang agak lama. Semasa di Mekah, Raja Ali
Haji sempat bergaul dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Setelah pulang dari
Mekah, Raja Ali Haji disuruh oleh saudara sepupunya yang memegang jawatan
sebagai Yamtuan Muda Kerajaan Riau VIII untuk mengajar agama Islam di pulau
itu. Sepupunya itu juga turut sama-sama mendalami ilmu agama dengan tunjuk ajar
Raja Ali Haji. Setelah beberapa lama mendalami ilmu agama, Raja Ali Haji mula
mengajar penduduk Riau dengan ilmu nahu, ilmu sharaf, ilmu usuluddin, ilmu
fiqh, ilmu tasauf dan banyak lagi. Raja Ali Haji bukan sahaja pakar dalam ilmu
agama malahan juga dalam ilmu dunia sehinggakan ramai yang belajar daripada
beliau sehinggalah menjadi tokoh terkemuka seperti Raja Haji Abdullah yang
kemudiannya menjadi Yamtuan Muda Riau IX.
Bukunya yang bertajuk
Kitab Pengetahuan Bahasa merupakan kamus loghat Melayu Johor-Pahang-Riau-Lingga
jilid atau juga disebut sebagai penggalan pertama serta kamus ekabahasa yang
pertama di nusantara. Beliau juga menulis Syair Siti Shianah, Syair Suluh Pegawai
(Hukum Nikah) dan Syair Sultan Abdul Muluk. Satu lagi karyanya yang menjadi
karya agung bagi masyarakat Melayu ialah Tuhfat Al-Nafis yang bererti bingkisan
berharga tentang sejarah Melayu dan juga Bustanul Katibin. Raja Ali Haji turut
menulis Mukaddimah Fi Intizam iaitu berkaitan undang-undang dan politik.
Raja Ali Haji banyak
menulis buku-buku terutamanya yang berbentuk sajak, syair dan juga bentuk
ilmiah yang lain. Penulisan beliau yang bertajuk ‘Bustanul Katibin’ yang
ditulis pada tahun 1850 dan ‘Kitab Pengetahuan Bahasa’ yang ditulis pada tahun
1858 merupakan satu bentuk tulisan tentang kepentingan bahasa. Dalam kedua-dua
kitab ini, beliau banyak menyentuh aspek bahasa. ‘Bustanul Katibin’ merupakan
karya awal beliau yang menceritakan tentang tatabahasa bahasa Melayu sehingga
membolehkan para pembaca untuk mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada
peringkat awal pembinaannya lagi.
Sumbangan Raja Ali
Haji yang setrusnya ialah menerusi penulisannya yang bertajuk ‘Kitab
Pengetahuan Bahasa’ yang banyak membincangkan kelas atau golongan kata,
menghuraikan unit tatabahasa dan membincangkan aspek sintaksis sekaligus
menjadi kamus pertama karya masyarakat tempatan sebelum abad ke-20. Kitab ini
juga dijadikan sebagai kamus ekabahasa tertua di alam Melayu. Bahagian kamus
dibincangkan secara terperinci sehingga menampakkan sebagai kamus terbaik dan
boleh dijadikan sebagai petunjuk dalam kalangan masyarakat pembaca. Entri dalam
kamus ini juga dikatakan disusun dengan baik dan mudah difahami dengan contoh
perkataan yang mencukupi selain memperlihatkan ciri-ciri morfologi dan juga
sintaksis.
ABDUL SAMAD
AL-FALAMBANI
Nama sebenar Abdul
Samad Al-Falembani ialah Syeikh Abdul Samad Al-Falembani. Beliau telah
dilahirkan pada 1116 Hijrah bersamaan 1704 Masihi di Palembang. Nama asal tokoh
ini dikatakan mempunyai tiga versi. Versi pertama adalah seperti yang
diungkapkan dalam ensiklopedia Islam iaitu dikatakan nama asal beliau ialah
Abdus Samad bin Abdullah Al-Jawi Al-Falembani. Versi kedua pula merujuk kepada
sumber-sumber Melayu sebagaimana yang ditulis oleh Azyumardi Azra dalam bukunya
yang berjudul Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan
XVIII dengan mengatakan bahawa nama asli ulama besar ini ialah Abdul Samad bin
Abdullah Al-Jawi Al-Falembani. Versi yang terakhir pula menyatakan bahawa
apabila merujuk sumber-sumber Arab, nama lengkap Syeikh Al-Falembani ialah
Sayyid Abdus Samad Abdurrahman Al-Jawi.
Dari segi
salasilah, nasab Abdul Samad Al-Falembani berketurunan Arab iaitu dari sebelah
bapa. Bapanya, Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab merupakan seorang
ulama besar yang berasal daripada Yaman yang kemudiannya telah dilantik menjadi
mufti bagi negeri Kedah pada sekitar awal abad ke-18. Ibunya bernama Radin
Ranti pula merupakan seorang wanita Palembang yang dikahwini bapanya sebelum
menikahi Wan Zainab yang merupakan puteri kepada Dato’ Seri Maharaja Dewa di
Kedah ketika itu.
Syeikh Abdul Samad
mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri, Syeikh Abdul Jalil di Kedah.
Kemudian bapanya menghantar kesemua anaknya termasuk Syeikh Abdul Samad mengaji
pondok di Pattani. Pada zaman itu dikatakan Pattani menjadi tempat semua orang
Islam untuk menuntut ilmu-ilmu akhirat mengikut sistem pondok secara lebih
mendalam lagi. Syeikh Abdul Samad bersama beberapa orang saudaranya yang lain
iaitu Wan Abdullah dan Wan Abdul Qadir telah dihantar ke pondok-pondok yang
terkenal oleh bapanya seperti Pondok Bendang Gucil di Kerisik, Pondok Kuala
Bekah dan Pondok Semala yang terletak di Pattani.
Abdul Samad telah
berguru dengan pelbagai ulama. Di antara gurunya yang dapat diketahui dengan
jelas hanyalah Syeikh Abdul Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok. Kepada ulama
inilah beliau mendalami pelbagai ilmu agama sehingga membolehkan pelajaran
Syeikh Abdus Samad al-Falembani dilanjutkan ke Mekah dan Madinah. Beliau juga
turut mempelajari ilmu sufi daripada Syeikh Muhammad bin Saman selain mendalami
kitab-kitab tasawuf daripada Syeikh Abdul Rauf Singkel dan Samsuddin
al-Sumaterani yang mana kedua-duanya berasal daripada Acheh. Syeikh Abdul Samad
merupakan seorang ulama yang rajin menulis. Antara hasil tulisannya ialah:
1) Zahratul Murid Fi Bayani Kalimatit Tauhid.
2) Risalah Pada Menyatakan Sebab Yang
Diharamkan Bagi
Nikah.
3)
Hidayatus Salikin Fi Suluki Maslakil Muttaqin.
4) Siyarus Salikin Ila ‘Ibadati Rabbil Alamin.
5) Al-‘Urwatul Wutsqa Wa Silsiltu Waliyil
Atqa.
Abdul Samad
al-Falembani merupakan seorang ulama Islam yang banyak menghasilkan karya.
Melalui penulisan yang dibuat, Abdul Samad secara tidak langsung memberikan
sumbangan yang tidak terhingga dalam dunia penulisan sastera Islam. Beliau juga
dikatakan banyak mengkritik individu yang mengamalkan ilmu tarekat secara
berlebihan.
Abdul Samad juga
telah membantu umat Islam di Patani dalam melawan keganasan penjajah. Dalam
satu peperangan, beliau telah dilantik menjadi antara orang penting untuk
pasukan perangnya. Sheikh Abdul Samad bankyak memberikan sumbangan ilmiah
apabila beliau sering menjadi rujukan masyarakat setempat berhubung dengan
hukum agama selain mengajar anak-anak di kampungnya mendalami Islam.
ABDULLAH
MUNSYI
Munsyi Abdullah
merupakan bapa kesusasteraan moden kerana mampu memperkenal unsur baru dalam bidang kesusasteraan. Munsyi
Abdullah atau nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Beliau
dilahirkan pada hari Ahad, 7 Safar tahun 1976 Masihi bersamaan 1211 Hijrah di
Kampung Masjid, Melaka iaitu juga dikenali Kampung Pali oleh orang-orang Keling
waktu itu. Kelahiran Abdullah ini berlaku setelah lapan bulan selepas Inggeris
mengambil Melaka dari tangan Inggeris. Beliau merupakan anak bongsu daripada
empat adik beradik seibu sebapa dan kesemuanya lelaki. Namun begitu,
ketiga-tiga adik beradiknya meninggal dunia semasa kecil. Beliau berketurunan
keluarga peranakan Arab dan India. Ibunya bernama Salamah dan bapanya Syeikh
Abdul Kadir.
Pada usia 11 tahun,
beliau telah menerima gelaran “munsyi” yang membawa maksud “guru” daripada
askar Islam di Melaka. Pada usia semuda itu, beliau berjaya melayakkan diri
menjadi guru lantaran kepintaran dan keilmuannya. Lantas beliau menjadi guru
mengajar pelajaran agama kepada askar-askar Islam di Melaka.
Beliau diberikan nama
Abdullah kerana ibunya mengambil nasihat daripada seorang guru agama iaitu
Habib Abdullah Hadad. Nasihat tersebut diberikan setelah ketiga adik beradik
beliau meninggal dunia sewaktu kecil. Munsyi Abdullah mendirikan rumah tangga
sewakru berumur 34 tahun, setelah tujuh tahun belajar dan bekerja dengan
orang-orang Inggeris di Melaka.
Abdullah meninggal
dunia di Jeddah pada tahun 1854 ketika berusia 58 tahun di Jeddah. Beliau
meninggal sewaktu pelayarannya ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji kerana
diserang penyakit kolera. Kisah perjalanan perjalanan ini dicatatkan dalam Kisah
Pelayaran Abdullah ke Judah yang tidak tamat. Sejak kecil, Munsyi Abdullah
dididik supaya mementingkan pelajaran. Antara individu yang memberi pendidikan
awal kepada beliau ialah bapa, Neneknya Peri Achi, dan bapa saudara sebelah
ibu, Ismail Lebai dan Muhammad Latif. Bapa dan neneknya adalah orang yang
berpengetahuan. Bapanya telah menerima pendidikan yang cukup seperti belajar
mengaji al-quran, belajar bahasa Tamil dan Arab serta ilmu kira-kira. Lantaran
latar belakang ayahnya yang berpendidikan menyebabkan beliau turut diajar
dengan pelbagai ilmu.
Menurut Shellabear
(1947) Neneknya, Peri Achi seorang guru besar di Pali. Abdullah ketika itu
belum berusia 6 tahun sentiasa bergaul dengan anak-anak yang belajar mengaji,
menulis dan membaca. Secara langsung mendorong minatnya untuk belajar.
Menjelang usia tujuh tahun, Abdullah telah diberikan permainan kalam resam dan
papan loh. Hal ini menyebabkan dia cepat pandai menulis dan membaca.
Munsyi Abdullah juga
mempelajari ilmu kira-kira atas dasar minat beliau ke atas ilmu tersebut.
Abdullah mempunyai minat yang mendalam dalam mempelajari bidang bahasa. Beliau
bukan sahaja belajar Melayu tetapi juga bahasa Tamil dan bahasa Arab, Bahasa
Inggeris, dan bahasa Hindi. Beliau telah mempelajari bahasa-bahasa tersebut sewaktu
beliau sendiri yang mengajar bahasa Melayu kepada paderi-paderi Inggeris
spserti paderi Milne, Thompson dan sewaktu bekerja dengan Tuan Raffles serta
askar-askar Inggeris,. Dalam tahun 1810, ketika berusia 14 tahun beliau telah
menguasai bahasa Melayu, Tamil, Hindustan dan Arab dengan baik. Beliau pernah
belajar bahasa Melayu daripada Datok Sulaiman dan Datok Astor. Pelajaran Islam
dan al-quran pula didalaminya melalui bimbingan kursus daripada mualim Arab
iaitu Mualim Muhyddin.
Beliau amat dikenali dengan
penulisan riwayat hidupnya iaitu Hikayat Abdullah. Menurut Siti Aisah Murad(1996) Abdullah
menyelesaikan Hikayat Abdullah pada 3 Mei 1843. Kemudian diterbitkan pada bulan
Mac 1891 di Singapura. Pada permulaan hikayat Abdullah dapat dilihat sikap dan
pemikirannya terhadap kepentingan bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan ilmu
pengetahuan yang lain. Seterusnya Abdullah mengemukakan pandangan terhadap
sikap orang Melayu yang mundur
berbanding dengan Inggeris yang maju dan sikap-sikap raja yang zalim.
Persoalan dasar yang mahu diketengahkan oleh Munsyi Abdullah ialah mengutarakan
pandangan dan pendapat kehidupan orang Melayu di negeri Pantai Timur
Semenanjung seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang. Pada tiga belas hari
bulan, iaitu Tahun Baru Cina, pukul 7.30 malam telah berlaku kebakaran di kota.
Semua barang-barang miliknya seperti hikayat, buku dan pakaian. Lantaran
peristiwa tersebut Munsyi Abdullah menghasilkan Syair Singapura Terbakar. Dalam
syair ini, beliau menceritakan berkenaan peristiwa yang dilalui dan dirasai
ekoran berlakunya kebakaran tersebut.
Pada tahun tahun 125I
Hijrah sewaktu di Melaka di Melaka, beliau telah menterjemahkan Hikayat Panca
Tanderan. Hikayat ini merupakan hikayat berbahasa Hindu yang berjudul Hikayat
Kalilah dan Daminah. Beliau juga telah menyunting “Injil Yahaya” dalam bahasa
Melayu dan menerbitkan sejarah Melayu. Karya penterjemahan yang lain adalah
“Perhimpunan Saudagar-saudagar”. Beliau juga telah memperbaiki Sejarah Melayu
dan Kitab Adat Segala Raja-Raja Melayu dalam Segala Negeri.
Karyanya dicipta
sendiri untuk dinikmati oleh masyarakat. Munsyi Abdullah menggunakan kaedah
yang tersendiri semasa mengarang. Karya beliau diciptakan secara kronologi
iaitu mengikut urutan peristiwa seperti kelahirannya didahulukan(hikayat Abdullah)
dengan perkembangan yang dialami hingga kematiannya. Begitu juga dalam Kisah
Pelayaran Abdullah. Plot disusun dengan merujuk kepada siri peristiwa dan
kejadian yang berlaku kepada diri
sendiri serta alam sekelilingnya.
TUN SRI
LANANG
Tun Sri Lanang
merupakan timang-timangan yang diberikan kepada Tun Muhammad, anak Tun Ahmad
Paduka Raja yang merupakan seorang Bendahara Kerajaan Johor pada kurun ke-17
Masihi. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor pada tahun
1565. Beliau adalah Bendahara Johor pada ketika itu dan setelah Johor kalah
dalam peperangan dengan Aceh yang pada ketika itu diperintah oleh Sultan
Iskandar Muda Aceh. Beliau kemudiannya telah dibawa ke Aceh pada tahun 1613 dan
telah menetap di negeri Samalanga. Sultan Iskandar Muda telah melantik beliau
sebagai penasihat utama Baginda dan diberi delaran ‘Orang Kaya Datuk Bendahara
Seri Paduka Tun Seberang’. Beliau telah mendirikan pusat penyebaran agama Islam
dan pendidikan terutamanya di negeri-negeri pesisir timur Aceh. Beliau
kemudiannya telah di angkat menjadi raja di negeri Samalanga pada tahun 1615.
Beliau telah mangkat pada tahun 1659 di Lancok dan telah dimakamkan di sana.
Tun Sri Lanang sangat
dikenali oleh kerana karyanya iaitu Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang
merangkumi pelbagai sejarah masyarakat Melayu, Jawa, Brunei, Patani dan Campa.
Kebenaran tentang beliau sebagai penulis asal atau sekadar penyunting kitab
tersebut tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun menurut Syeikh Nuruddin
al-Raniri, ulama dan penasihat agama Sultan Aceh, telah memperakukan Tun Sri
Lanang sebagai pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin kerana beliau kenal
rapat dengan Tun Sri Lanang. Kitab tersebut telah dapat disiapkan penulisan dan
penyuntingannya oleh Tun Sri Lanang dalam masa dua tahun iaitu pada tahun 1614
selepas tarikh penulisannya yang dimulai pada tahun 1612 Masihi. Sulalatus
Salatin adalah diperakui sebagai satu sumber terkaya dan terlengkap yang
menceritakan tentang sejarah bangsa-bangsa di Nusantara.
HAMZAH
FANSURI
Hamzah Fansuri adalah
tokoh ugama yang menggegarkan dunia melalui puisi-puisi sufinya. Menurut
sastrawan Abdul Hadi MW, Hamzah Fansuri merupakan pencipta "syair
Melayu" yang bercirikan puisi empat baris dengan pola rima akhir
"a-a-a-a". Bakatnya sebagai sasterawan besar terserlah dalam
kemampuan dan kreativitinya merubah bahasa lama menjadi bahasa baru dengan cara
memasukkan ratusan kata Arab, istilah konseptual dari Al Quran dan falsafah
Islam. Bahasa ini kemudiannya menjadi sebagai bahasa intelektual yang dihormati
sebab dapat menampung gagasan baru yang diperlukan pada zaman itu. Hamzah
Fansuri lahir di Barus atau Fansur iaitu sebuah kawasan yang merupakan pusat
pendidikan Islam dan melahirkan ramai ulama terkenal.Hamzah mendapat pendidikan
di merata tempat seperti Jawa, Tanah Melayu, India, Parsi dan negara-negara
Arab.
Sekembalinya ke Barus,
beliau menjadi guru agama di Aceh pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin
Riayat Syah ( 1588-1604). Salah seorang
pelajarnya ialah Syamsuddin Al-Sumaterani. Hamzah berkebolehan dalam bidang
pendidikan dan pernah menjadi penasihat kepada Sultan Aceh dan banyak membantu
Sultan Aceh dalam hal pentadbiran negeri. Hamzah bukan sahaja ulama tetapi juga
seorang sasterawan. Beliau menguasai
bidang agama, fikah, tasawuf, mantik, sejarah, falsafah, dan menguasai pelbagai
bahasa seperti Urdu, Arab dan Parsi. Dalam bidang sastera, Hamzah terkenal
sebagai seorang penyair. Karangan
syairnya banyak mengandungi unsur falsafah yang tinggi. Hamzah telah
memperkenalkan sastera sufi atau mistik. Hamzah adalah pengasas dan berpegang
kuat kepada Aliran Wahdatul Wujud.
Beliau telah mendirikan madrasah dan mempunyai ramai pelajar atau
pengikut dan merupakan pengarang pertama menghasilkan karya kesusasteraan
bercorak keagamaan.
Hamzah adalah
pengarang pertama menghasilkan karya kesusasteraan bercorak keagamaan yang
bersifat akhliah atau ilmiah. Karyanya
ditulis dalam Bahasa Melayu.
Kebolehannya dalam pelbagai bahasa membolehkannya menghayati karya-karya
dari bahasa lain. Contoh karya Hamzah dalam bentuk puisi yang berunsur agama
dan tasawuf ialah Syair Perahu, Syair Dagang, Syair Burung Pingai, dan Syair
Sidang Fakir. Berdasarkan pemikiran
beliau yang tinggi dalam karya-karyanya beliau ditempatkan sebagai pelopor
kesusasteraan Melayu Moden oleh Syed Naquib Al Attas dan bukannya Munsyi
Abdullah seperti yang dikemukakan oleh sarjana Barat.
Pengaruh karya-karya
yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri terhadap masyarakat pada zamannya amat
besar terutama fahaman Wahdatul Wujud yang disebarkannya. Pengikutnya yang terkenal ialah Syamsuddin
Al-Sumaterani.
SYAMSUDDIN
AL-SUMATRANI
Sheikh Shamsuddin al-Sumatrani yang hidup abad 16-17 Masihi.
Beliau adalah Sheikhul Islam atau Mufti besar Aceh semasa zaman pemerintahan
Sultan Alauddin Riayat Shah Sayyid al-Mukammil (1589-1604). Beliau juga
terkenal sebagai salah seorang pendokong kuat fahaman Martabat Tujuh. Tarikh
wafat nya ada dicatatkan oleh musuh pegangannya,Nuruddin ar-Raniri,iaitu pada
malam Isnin,12 Rejab 1039H/1630M. Sejak lama Aceh telah dikenal sebagai
satu-satunya daerah yang aksentuasi keislamannya paling menonjol. Selain
menonjolnya warna keislaman dalam kehidupan sosio-kultur di sana, ternyata di
Serambi Mekah ini pernah tersimpan pula sejumlah Sufi ternama semisal Samsuddin
Sumatrani.
Syamsuddin Sumatrani adalah salah satu tokoh sufi terkemuka yang
telah turut mencorak esoteris pada wajah Islam di Aceh. Diantara sumber tua
yang dapat dijumpai mengenai potret Syamsuddin Sumatrani adalah Hikayat Aceh,
Adat Aceh, dan kitab Bustanu al-Salathin. Mengenai asal-usulnya, tidak
diketahui secara pasti bila dan di mana ia lahir. Perihal sebutan Sumatrani
yang selalu diiringkan di belakang namanya, itu merupakan penisbahan dirinya
kepada “negeri Sumatra” alias Samudra Pasai. Sebab memang di kepulauan Sumatra
ini dulunya pernah berdiri sebuah kerajaan yang cukup ternama, yakni Samudra
Pasai. Itulah sebabnya ia juga adakalanya disebut Syamsuddin Pasai.
Aktiviti penulisan pengetahuan keislaman di Aceh memang dimulai
oleh Hamzah Fansuri, yang dilanjutkan oleh Syamsuddin Sumatrani sebagai murid
nya. Apa yang ditulis oleh Syamsuddin Sumatrani adalah senada dan seirama
dengan fahaman dan tulisan Hamzah Fansuri. Pengetahuan sufi tahap muntahi kedua
tokoh ini tidak pernah ditentang oleh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri (Syiah
Kuala) sepertimana diputarbelitkan dari sudut sejarah dan ilmiyah oleh setengah
penulis yang mengatakan Abdul Rauf Fansuri memihak kepada Nuruddin ar-Raniri.
Pembicaraan Martabat 7 yang dimulai dari Hamzah Fansuri turun kepada Syamsuddin
Sumatrani,turun kepada Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri, kemudian kebelakang
disokong oleh beberapa orang ulama nusantara seperti Abdus Shamad al-Falimbani.
Didalam karya nya ‘Siyarus Salikin’, Abdus Shamad al-Falimbani mengiktiraf
karya-karya Syamsuddin Sumatrani sebagai ajaran tasauf peringkat muntahi.
Karya-karya Syamsuddin Sumatrani ditulis sebagian berbahasa Arab, sebahagian
lagi berbahasa Melayu (Jawi).
Sumber :
http://kumpulan5kac.blogspot.com/2013/05/tokoh-tokoh-pengarang-karya-agung-melayu.html