Sabtu, 29 Oktober 2016

KEPUTUSAN PPP DG41 MARA SUDAH DIUMUMKAN

Assalamualaikum... entry kali ini, saya nk maklumkan bahawasanya keputusan permohonan untuk pegawai perkhidmatan pendidikan DG41 bagi menjadi guru Maktab Rendah Sains MARA sudah keluar... Keputusan yang saya peroleh adalah

SUKACITA.....

yeaaaa... saya dapat... tapi saya sudah pun menjadi guru di salah sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur... Saya memilih untuk terus berada di Kuala Lumpur memandangkan keputusan Mara yang saya dapat nih jauh di Pantai Timur...

Walau bagaimanapun, saya tetap gembira kerana keputusan yang saya dapat ini menunjukkan bahawa saya layak menjadi guru MARA... namun, mungkin rezeki saya di Kuala Lumpur dan bukannya di Pantai Timur....

Saya mendapat e-mel pada 25 Oktober 2016... Berikut merupakan kandungan yang terdapat dalam surat tawaran yang diperoleh melalui e-mel...


Kawan saya masih lagi menunggu keputusan, mungkin anda yang membaca juga sedang menunggu... Sabar, kalau ada rezeki tak kemana... semoga anda yang membaca ini bakal menggantikan saya untuk mendidik anak bangsa Melayu kita di MRSM Kota Putra kelak....

Bersama-samalah kita menjadi seorang guru yang cemerlang!!!!!

ok, bye...

Isnin, 3 Oktober 2016

RESIPI BEGEDIL DAGING CINCANG

Bahan-Bahan:

  • 500 gram ubi kentang
  • 150 gram daging kisar
  • 1/2 biji bawang besar, didadu
  • 2 biji cili merah, dihiris halus
  • 2-3 tangkai daun sup, dihiris halus
  • 2 sudu besar bawang goreng
  • 1/2 sudu kecil lada sulah
  • 1 biji telur ayam
  • sedikit garam

Cara Penyediaan:

  1. Kupas kulit ubi kentang, potong kecil dan goreng sehingga empuk. Angkat dan toskan. Biarkan seketika hingga kurang panas.
  2. Dalam kuali berasingan, panaskan sedikit minyak dan tumis bawang besar yang didadu, kemudian masukan daging kisar dan masak seketika.
  3. Di dalam mangkuk, hancurkan ubi kentang dan kemudian gaulkan dengan daging kisar, daun sup, lada sulah, bawang goreng dan garam secukup rasa. Saya gunakan lesung batu sahaja untuk hancurkan ubi kentang tu...cepat dan mudah...
  4. Buatkan bentuk bulat dan leperkan sedikit.
  5. Pecahkan sebiji telur dan kacaukan sebati menggunakan garfu. Celup begedil dan goreng di dalam minyak yang sudah dipanaskan di dalam kuali. Angkat dan toskan di atas kertas tisu untuk menyerap lebihan minyak.
DONE....


PENGALAMAN TEMUDUGA GURU MARA DI JAWI, PULAU PINANG

Assalamualaikum wbt... hari ni saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman saya ditemuduga untuk mendapatkan jawatan guru MARA di pulau pinang... Baiklah, temuduga guru Mara ini terbahagi kepada empat peringkat..

iaitu :

i. Fitness test, iaitu lari lari lari dan lari sampai penat...
ii. Temuduga dengan beberapa orang panel... masuk 4 atau 5 orang sekali gus...
iii. mikro teaching... acah2 mengajar la...buat rph, bawa abm dan sewaktu dengannya...
iv. ujian psikometrik...jawab soalan secara online...

first, macam biasa, dapat mesej daripada pihak Mara yang mengatakan bahawa saya telah berjaya mendapat panggilan temuduga... mesej tersebut meminta saya untuk membuat semakan dengan lebih lanjut di laman web Mara utk download apa yang patut untuk dibawa pada hari temuduga. Download, print dan isi borang2 yang diberi...bawa pada hari temuduga...

okeh... hari temuduga, korang kena pakai pakaian yang sesuai... untuk tahun 2016, korang dikehendaki untuk memakai pakaian sukan...sebab paling awal sekali korang dikehendaki untuk membuat fitness test... nak lariiiii...nak lariiii... memang semput weh... dan trdapat beberapa orang yang memang vavavooom kuat....lama gila dia lari...respect uols yang kuat dan mempunyai stamina yang tinggi....

But, sebelum lari, korang akan diberi taklimat terlebih dahulu...selepas itu, korang berjalan beramai-ramai ke arah padang...di padang, korang kena tunggu giliran untuk lari... takde  senarai nama,,, first come first serve lah... cepat siap, cepat korang gerak ke tempat seterusnya... 

Selesai berlari-lari, terus ke bangunan blok dimana tepat untuk temuduga dan mikroteaching...eh, sebelum itu, tukar dulu pakaian formal sebagai seorang guru... jangan masuk bilik temuduga dengan pakaian sukan pulak ye..hahaha...

oke, saya telah masuk ke dalam bilik temuduga terlebih dahulu....Antara soalan yang saya ingat ialah

a. kenalkan diri dalam masa 10 saat (masa ni semput lari tak habis lagi, nak berkejar masa kenalkan diri pulak...10 saat je ok, 10 saatttttt...tak leh lebih...)
b. kenapa nak jadi guru?
c. apa kelebihan awak?
d. selain dari bidang pendidikan, apa lagi yang Mara tekankan?
e. bahan bacaan terakhir yang awak baca?
f. pengalaman bekerja?
g. solat jenazah ada berapa rakaat?
h. kalau esok awak akan mati, apakah yang akan awak lakukan pada hari ini?
i. soalan bahasa inggeris (apa yang awak akan lakukan di sekolah untuk tingkatkan bidang keusahawanan dalam kalangan pelajar?
j. Hari raya Haji tahun ini berapa haribulan? bulan Islam...
k. Bulan ini bulan apa dalam kalendar Islam?

Nampak tak bentuk soalan yang telah kumpulan kami kena jawab??? itu je yang saya ingat...sebenarnya ada lagi soalan tu...banyak....soalan tak terjangka,,,jadi, pada awak2 yang bakal ditemuduga, pastikan dalam minda ada semua perkara...

Kemudian, saya keluar dari bilik temuduga dengan perasaan yang sukar diungkap sebab soalan soalan yang begitu padu...hihihi...kini, giliran untuk membuat mikroteaching.... Masa ni ramai orang yang membantu saya... terima kasih pada cikgu Rozila Rodzi yang banyak membantu....dari awal sampailah akhir....saya sangat menghargainya... 

Mikro teaching yang saya buat ialah tentang tatabahasa... jenis ayat...saya gunakan audio daripada cerita upin ipin untuk membezakan jenis-jenis ayat dalam bahasa Melayu... Alhamdulillah...mikro teaching ok...huhuhu... maafkan saya cikgu rodzi, kerana saya telah memilih untuk bekerja dengan KPM...bukan dengan MARA...tapi kenangan dengan MARA amat bermakna kepada saya...

Kemudian, ujian psikometrik...untuk ujian psikometrik, korang dikehendaki untuk menjawab soalan secara online pada hari yang lain....kena sentiasa semak laman web mara untuk mengetahui tarikh dan masa,..biasanya mara akan hantar mesej..jadi, tak perlu risau...

bila korang buka laman web ujian psikometrik, korang akan dapat lihat ini


195 soalan dalam masa satu jam....antara bentuk soalan yang ditanya adalah seperti berikut....saya sempat snap gambar sambil2 jawab tu,...hihihi.... saya letak sebahagian sahaja ye...sebab pic yang lain tak jelas pulak....harap dapat membantu semua...










ok..done.... semoga bermanfaat... sebarang soalan boleh komen di bawah... >_<

Ahad, 8 Mei 2016

HOME TUITION / TUISYEN DI RUMAH ANDA Area GURUN, KEDAH

PERKHIDMATAN INI SUDAH TIDAK DISEDIAKAN LAGI. HARAP MAKLUM.


Assalamualaikum dan salam sejahtera... Di sini saya menyediakan perkhidmatan "home tuition" atau tuisyen di rumah kepada adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan PT3 dan SPM... terbuka kepada semua tingkatan 1, tingkatan 2, tingkatan 3, tingkatan 4 dan tingkatan 5...

Adakah anak anda sukar untuk memahami kandungan yang terdapat dalam kertas soalan peperiksaan yang sebenar? adakah anak anda sukar untuk memahami konsep untuk menjawab soalan peperiksaan? Hubungi saya segera di talian yang tertera atau e-mel pada alamat yang disediakan untuk sebarang pertanyaan.

Perkhidmatan tuisyen di rumah ini adalah di sekitar Gurun, Kedah sahaja dan dengan harga yang berpatutan bergantung kepada jarak rumah anda. Perkhidmatan ini juga adalah pada musim cuti sekolah sahaja. 

Subjek bahasa Melayu sahaja.

Sebarang pertanyaan boleh Whatsapp pada nombor telefon 0165968676 atau e-mel kan pada wna_sensor@yahoo.com ... 

Terima kasih. Assalamualaikum.



PERKHIDMATAN INI SUDAH TIDAK DISEDIAKAN LAGI. HARAP MAKLUM.

OlaBola Full Movie English Subtitle

You now can watch OlaBola Movie....Enjoy it!






Khamis, 5 Mei 2016

PENGALAMAN TEMUDUGA SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN MALAYSIA (SPP)

Assalamualaikum wbt... dan hai...
hari ni rasa nilai kerajinan dalam diri muncul secara tiba-tiba untuk mengupdate cerita tentang pengalaman saya ditemuduga di Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran baru-baru ni... saya masih lagi berada di mrsm beseri, dan masih lagi menjadi guru sambilan bahasa Melayu... hari ni cuti israk dan mikraj... jadi, ada kesempatan nk menaip pagi ni... baiklah, berbalik pada pengalaman saya ditemuduga... saya akan ceritakan dari awal, sampailah ke penghabisan...

pertama sekali, pastinya saya semak di laman spp untuk mengetahui tarikh dan tempat untuk ditemuduga... saya dikehendaki untuk hadir pada 21 April 2016 bersamaan hari Khamis di putrajaya... Okey, disebabkan saya bekerja, saya pun membuat surat cuti selama tiga hari iaitu Rabu, Khamis dan Jumaat (rugi RM300 dah) pada pengetua mrsm... hahaha... okey, selesai...

Saya bertolak balik ke Gurun dengan menaiki moto pada petang selasa selepas tamat sesi persekolahan... Dan keesokan harinya saya bersiap-siap untuk ke putrajaya... Saya ke putrajaya dengan menaiki bas... harga tiket bas RM53... Terima kasih pada dia yang membantu saya beli tiket bas... 

Sesampainya di Putrajaya, sudah semestinya kita kena bersedia untuk ditemuduga... Terdapat dua sesi iaitu pada pukul 7.30 pagi dan 9.30 pagi... saya pula kena daftarkan diri pada pukul 9.30 pagi... Saya nak teruskan dengan soalan-soalan yang ditanya pada kumpulan saya sahaja...

Berikut merupakan antara soalan-soalan yang dikemukakan oleh panel penemuduga pada kumpulan kami lima orang :
1. Kenal diri anda, nyatakan nama, anak ke berapa, asal mana, pengalaman bekerja dan jangan lupa nyatakan hobi anda (kelima-lima orang kami kena bercakap...)
2. Berdasarkan hobi anda, bagaimanakah anda mengaplikasikannya ke dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah?
Jawapan hobi dari kami berlima : Bermain alat muzik, membaca novel, bermain badminton, membaca dan satu lagi tak ingat pulak... Disebabkan hobi saya membaca novel, soalannya berkisarkan "bagaimana kamu mengaplikasikan pembacaan luas di sekolah?" 
3. Buku Rancangan Pengajaran Harian (RPH) : Kepentingan buku rph (soalan pada orang pertama), kepentingan markah murid dalam buku rph (soalan pada saya orang kedua), kepentingan rancangan pengajaran tahunan (soalan pada orang ketiga), kepentingan buku rph kepada pihak-pihak lain selain kepada guru? (soalan pada orang keempat) , dan kepentingan jadual waktu yang terdapat dalam buku rph (pada orang yang terakhir)...
4.  soalan yang terakhir adalah berkaitan dengan "pandangan anda tentang GST?"

itu je soalannya... masa dalam bilik tu 1 jam 10 minit... hikssss... 

tunggu dari pukul 9.30 pagi, masuk bilik temuduga pukul 1 petang dan selesai pukul 2 lebih..... Alhamdulillah, semuanya selesai... dan sekarang masanya untuk menunggu keputusan... Persoalannya, adakah saya akan menjadi seorang guru? hihihi.... kita tunggu beberapa bulan lagi... saya akan update sama ada saya menjadi seorang guru atau ......................................... hiksss...

Sebelum balik, sempat lagi kami bergambar di sana sebagai kenang-kenangan...



 

Yeaaaaaay...kbye...

Rabu, 28 Oktober 2015

PENGALAMAN MENJADI GURU GANTI Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)

Assalamualaikum dan hai.
Hari ni saya berpeluang untuk berkongsi pengalaman menjadi guru Maktab Rendah Sains MARA. Bagaimana saya boleh dapat jadi guru ganti/sambilan mrsm ni???? Satu persoalan bukan?

Biasalah, selepas habis belajar di UPSI, saya menganggur lama juga, dari pertengahan bulan enam sampai bulan sepuluh. Lebih dari tiga bulan saya mereput dekat rumah, atau dengan kata yang lain, saya nak enjoy masa cuti saya sehabis mungkin. Lepas ni, mana nak merasa cuti berbulan-bulan lagi kalau dah mula berkecimpung dengan dunia pekerjaan. Betul tak? Hihihi... Nampak tak ayat cover line... kihkihkih...

Baiklah, saya dapat tahu iklan guru sambilan ni di Facebook. Kebetulan, emak saudara saya merupakan guru di mrsm tersebut. Bila emak saudara saya ni share iklan tersebut dekat timeline beliau, automatik lah saya akan nampak iklan tersebut. Jadi, setelah emak saudara saya meminta saya untuk mencuba nasib, dan pergi walk in interview tersebut, saya dengan rela hati pergi temuduga tersebut. Lagi pun, saya dah bosan bercuti tanpa membuat apa-apa pekerjaan.

Berikut merupakan iklan tersebut.


Sebelum itu, saya pos dulu surat permohonan, resume, dan salinan sijil-sijil yang dikehendaki oleh pihak mrsm tersebut. Kemudian, tunggu panggilan dari pihak mrsm yang mengesahkan bahawa segala salinan sijil tersebut sudah sampai, dan anda dijemput untuk menghadiri temuduga pada tarikh yang ditetapkan. Pihak mrsm call saya pada 13 September 2015.

Saya telah dipanggil untuk menghadiri temuduga pada 14 September 2015. Temuduga guru ganti mrsm dan guru ganti sekolah harian biasa tak sama tau. Kalau guru ganti sekolah menengah harian, kita akan ditemuduga oleh pihak PPD kan? tapi, temuduga untuk guru ganti di mrsm, akan ditemuduga oleh pihak mrsm itu sendiri. Semasa menghadiri temuduga tersebut, saya sudah study all about MARA (tapi tak ditanya pun). hihihi. Sebagai keperluan dan untuk mengelakkan daripada bisu di hari temuduga. Hahahaha... kalau ditanya, dan tak tahu nak jawab, jenuh jugak kan. Semasa ditemuduga, terdapat empat orang panel temuduga iaitu Pengetua, Timbalan Pengetua Hepa, Ketua Jabatan Bahasa, dan kerani MARA. Ehem... Saya merupakan peserta yang kedua ditemuduga.

Antara soalan yang ditanya :
- Kenalkan diri anda?
- Apakah maksud perempuan itu memanjang-manjangkan tangannya?
- Tahu tak Komsas tu apa?
- Ada pengalaman jadi guru sebelum ni? Dah grad belum? Berapa pointer? Kenapa mintak jauh sangat dengan rumah? dan banyak lagi soalan-soalan...

.....dan kena bersedia untuk sesi mikro-teaching. Ajar jela apa yang patut. Kalau sediakan RPH, lembaran kerja, ABM lagi bagus, untuk tarik perhatian panel temuduga. Saya cuma sediakan gambar dalam kertas A4 saja, Sebab tak sempat, dalam masa sehari mana nak sempat sediakan bahan. Itu jela yang mampu.

Berikut merupakan keadaan saya sedang buat mikroteaching... Entah apa yang saya buat pun entahlah. hihihi
Selepas selesai mikroteaching, saya pun pulang ke rumah. Dari Beseri, Perlis ke Gurun, Kedah. Sebelum tuh, sempat lagi berkenalan dengan 3 orang lagi yang hendak ditemuduga, dan sempat bertukar-tukar nombor telefon.

Kemudian, pada 22 Oktober 2015, barulah saya dapat berita bahawa saya telah berjaya untuk menjadi guru ganti/sambilan di Mrsm, Beseri, dan diminta untuk melapor diri pada 1 Oktober 2015. Sekarang, saya merupakan salah seorang daripada penghuni rumah warden disini. Nampak tak jarak antara satu-satu perkara tersebut punyalah panjang. ahakss... ok..itu sudah berlalu...

Selama hampir sebulan saya menjadi guru ganti di mrsm ini, Alhamdulillah semuanya ok... Saya masih lagi dalam mood pengecaman wajah dan nama guru-guru dan murid-murid di maktab... Ingat senang ka nak ingat nama. Hahaha... Status saya untuk menjadi guru ganti/sambilan di maktab juga masih dalam keadaan tanda tanya... Sebab masih menunggu guru tetap datang ke sini... Ok, sekiranya ada lagi cerita, akan saya kongsikan di sini... Assalamualaikum.

OKTOBER 2015

Assalamualaikum dan hai.
Saya Syazwana. Saya merupakan admin bagi blog ilmiah ini. Disebabkan blog ini sudah lama tidak diupdate dengan berita-berita terkini, ataupun berita-berita lama, saya mengambil peluang ini untuk melakarkan sedikit coretan.
Hihihi...skema gila ayat...

Baiklah, blog ini dibina semasa saya dan juga rakan, Nur Syahida berada di semester 6. Kami berdua merupakan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris. Sekarang kami dah habis belajar dah... Yahooooooo.... hurayyyyy.... okey, gembira... Hihihi... Kenapa gembira?? Sebab kami sedang menunggu saat untuk memakai jubah konvo saja. Jadi, excited tu lebih sikit lah... Hiks...
Baiklah, saya ingin berkongsi sedikit gambar sepanjang saya berada di semester 8 di Universiti Pendidikan Sultan Idris bersama rakan-rakan tersayang... Atau lebih dikenali sebagai GENG GUNI... Entah macam mana lekat nama geng guni tu pun saya tak tahu menahu... Dimulakan dengan gambar pertama, dan seterusnya dengan tidak mengikut urutan...hahaha...

GENG GUNI di malam pra graduasi. Rindu. Lama tak jumpa.

Ni kelas Dr Rashid. Dr yang sama mengajar Karya Agung ini.

Kerana Dr Rashid juga, tertubuhnya blog ini. hihihi

Bila takda kerja, selfie la. Apa lagi. Hihihi

Kelas last semester 8. Seminar Refleksi Latihan Mengajar. Ingat main-main kelas ni... Sangat havoc... 

Masa ni tengah tunggu semua batch kumpul untuk tangkap gambar reramai... ISMP Bahasa Melayu.

Kami tiga orang ke Tanjong Malim nak ambil transkrip... Alhamdulillah, semua baik-baik saja.

Selasa, 15 April 2014

ULASAN KARYA AGUNG


ULASAN KARYA AGUNG : BUSTAN AL-KATIBIN

Bustanu al-Katibin li’s-Sibyan al-Muta’allimin atau lebih dikenali sebagai Bustan al-Katibin  merupakan Kitab Perkebunan Jurutulis bagi Kanak-kanak yang Hendak Belajar. Kitab tersebut merupakan salah satu karya yang ditulis oleh penulis tersohor, ilmuwan dan budayawan Melayu terulung iaitu Raja Ali Haji yang berasal dari Pulau Penyengat, Kepulauan Riau.

Karya tersebut merupakan tulisan paling awal yang berkisar tentang bahasa Melayu. Kitab yang mempunyai pelbagai maklumat tentang tatabahasa Melayu ini siap dikarang pada 1267 Hijrah bersamaan dengan tahun 1850 Masihi. Hasil karya ini dihasilkan oleh penulis ketika beliau berumur kira-kira 41 tahun.


Kitab Bustan al-Katibin yang menjadi rujukan para pelajar dan bahan kajian ini merupakan naskhah salinan manuskrip yang terdapat di Perpustakaan Universiti Leiden. Kitab ini merupakan Koleksi Klinkert (KI 107) yang disusun dalam bentuk slaid dan dicetak foto atau photoprint. Karya awal ini mempunyai ketebalan sebanyak 80 halaman yang ditulis dengan menggunakan tulisan tangan. Tulisan dalam karya ini menggunakan skrip tulisan Jawi/Arab yang berbentuk gaya khat jenis nasyta’lik. Jenis tulisan khat tersebut mempunyai ciri-ciri tulisan yang tegap, seimbang, konsisten dan indah. 

Selain salinan manuskrip Bustan al-Katibin yang merupakan Koleksi Klinkert di Universiti Leiden, terdapat juga sebuah naskhah kitab yang dipercayai pertama kali dicetak pada tahun 1274 Hijrah bersamaan 1858  Masihi. Naskhah yang pernah dimiliki oleh Paderi Keasberry kini tersimpan di perpustakaan School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London. Terdapat perbezaan ketara yang dapat dilihat pada kedua-dua naskhah karya ulung tersebut. Naskhah SOAS mempunyai perkataan “mentaba” atau mencetak pada penghujung kitab yang bermaksud naskhah tersebut merupakan naskhah yang dicetak, manakala naskhah yang dikaji tertulis perkataan “telah selesailah mengarang kitab ini…” yang sememangnya ditulis oleh Raja Ali Haji.

Selain cetakan pertama tersebut, terdapat juga pendapat lain yang menyatakan kitab tersebut telah dicetak kali pertama  dengan menggunakan teknik percetakan batu (lithograph) di Riau pada tahun 1857 dan kemudiannya diulang cetak di Singapura. Terdapat satu naskhah lagi di England yang tersimpan di Perpustakaan University of Cambridge bertarikh 1891 yang bukan merupakan hasil cetakan tetapi disalin daripada naskhah lithograph. Naskhah-naskhah lain ialah Bustanul Katibin I dan Bustanul Katibin II yang tersimpan di Museum Pusat Jakarta.

PENGARANG BUSTAN AL-KATIBIN: RAJA ALI HAJI

Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad dilahirkan di Pulau Penyengat pada 1808 Masihi. Beliau berketurunan pembesar Bugis yang merupakan keturunan kedua, iaitu cucunda kepada Raja Haji FIsabilillah, Yang Dipertuan IV dari Kesultanan Lingga-Riau.
Datuknya, Raja Haji Fisabilillah merupakan seorang pahlawan yang menjadi Yamtuan Muda Johor pada tahun 1777. Ayahnya pula, Raja Haji Ahmad merupakan seorang pembesar Riau yang pernah dihantar berunding dengan Belanda di Jawa. Keadaan itu memberi peluang kepada Raja Ali Haji untuk menperdalam ilmu pengetahuan Islam daripada para ulama di Jawa. Raja Ali Haji sempat berguru dengan Saiyid Abdur Rahman al-Mashri dalam bidang ilmu falak. Selain itu, beliau juga banyak menimba pengalaman dan pengetahuan daripada para sarjana kebudayaan Belanda seperti T.Roode dan Van Der Waal yang merupakan sahabatnya.

Raja Ali Haji telah mengikut ayahnya, Raja Haji Ahmad ke Mekah sekitar tahun 1827. Pada ketika itu, beliau dan bapanya merupakan antara anak Raja Riau yang pertama menunaikan ibadah haji. Raja Ali Haji tinggal dan belajar di Mekah dalam suatu tempoh yang agak panjang. Keadaan itu mempengaruhi penulisannya kerana beliau berpendidikan Arab. Walaupun begitu, beliau masih mengekalkan bahasa Melayu Klasik tetapi banyak dipengaruhi oleh perkataan Arab dan struktur bahasa Arab.

Raja Ali Haji terkenal sebagai ahli bahasa melalui penulisan buku tatabahasa Melayu, iaitu “Bustan al-Katibin” pada tahun 1857. Usaha beliau dalam bidang penulisan mendapat sanjungan kerana penyusunannya membantu dalam penambahan buku tatabahasa Melayu. Di samping itu, beliau turut mengarang sebuah kamus yang bertajuk “Kitab Pengetahuan Bahasa”, iaitu kamus ekabahasa yang pertama di Nusantara. Karyanya yang paling terkenal ialah “Tuhfat al-Nafis” yang dikarangnya pada 1865 di Pulau Penyengat, Riau yang merupakan pusat pemerintahan Empayar Johor-Riau.

Beliau juga berbakat dalam bidang kesusasteraan. Karya-karya sastera beliau yang terkenal adalah seperti Syair Siti Sianah, Syair Suluh Pegawai, Syair Hukum Nikah dan Syair Sultan Abdul Muluk. Karyanya dalam bidang ketatanegaraan dan undang-undang dikenali sebagai “Mukaddimah fi Intizam”. Tokoh karyawan ini meninggal dunia sekitar tahun 1873 di Riau. Pada tahun 2006, pemerintah Republik Indonesia telah memberikan gelaran “Pahlawan Negara” bagi mengenang jasa-jasa yang telah diberikan oleh beliau.

KANDUNGAN BUSTAN AL-KATIBIN

Raja Ali Haji telah membahagikan kitab ini kepada tiga bahagian kandungan. Tiga bahagian tersebut terdiri daripada bahagian Mukadimah atau bahagian pendahuluan, bahagian Fasal-Fasal yang mengandungi 30 Fasal kesemuanya dan bahagian Khatimah atau bahagian penutup.

i)   MUKADIMAH

Bahagian Mukadimah membincangkan tentang kelebihan ilmu, akal, adab dan budi bahasa. Antara kata-kata yang terdapat dalam kitab tersebut yang menunjukkan tentang kelebihan-kelebihan tersebut ialah “’akal ialah sebaik-baik perhiasan”, “tanda ber’akal segera faham” dan “barang siapa jahat adabnya sia-sialah bangsanya (keturunannya)”.

            Selain itu, bahagian ini turut memperkatakan tentang kelebihan ilmu bahasa atau tutur kata dan karang-mengarang. Raja Ali Haji mengistilahkannya sebagai ilmu al-qalam wa al-kalam atau ilmu penulisan dan perbicaraan. Menurut beliau, kepandaian berbahasa dan penggunaan qalam atau pena untuk penulisan karang-mengarang adalah lebih berkuasa daripada pedang dan senjata seperti yang dinyatakannya dalam petikan berikut:
“…segala pekerjaan pedang boleh diperbuat oleh dengan qalam, adapun pekerjaan-pekerjaan qalam tiada boleh diperbuat dengan pedang…”

            Raja Ali Haji turut menyatakan syarat dan adab untuk menuntut ilmu dalam bab ini. Beliau menyatakan syarat bagi menuntut ilmu ialah “antara nafsumu dengan dirimu sendiri” yang bermaksud untuk menuntut ilmu kita perlulah mempunyai keinginan untuk belajar yang tinggi. Adab menuntut ilmu pula ialah “antara dirimu dengan gurumu” yang membawa maksud seseorang yang ingin menuntut ilmu perlulah beradab dan menghormati gurunya.

ii)   FASAL-FASAL

Bahagian kedua dalam Bustan al-Katibin terdiri daripada 30 Fasal. Fasal-fasal tersebut pula dibahagikan kepada enam topik. Pembahagian enam topic tersebut adalah menikut fasal seperti Fasal 1 hingga Fasal 9, Fasal 10 hingga Fasal 13, Fasal 14 dan Fasal 15, Fasal 16 hingga Fasal 28, Fasal 29 dan Fasal 30.

            Fasal 1 hingga Fasal 9 membincangkan tentang peraturan ejaan Jawi bahasa Melayu. Peraturan tersebut menerangkan terdapat 30 abjad bahasa Arab dengan tambahan empat abjad lain, iaitu ca, ga, nga dan nya untuk digunakan sebagai fonem Melayu. Raja Ali Haji menegaskan bahawa walaupun penggunaannya digunakan sebagai fonem Melayu tetapi abjad asalnya adalah daripada bahasa Arab seperti kata berikut, “…diambil rumahnya daripada rumah Arab jua.”

            Topik kedua yang dibincangkan dalam kitab tersebut adalah berkaitan huraian tentang kelas kata. Topik tersebut terletak dalam Fasal 10 hingga Fasal 13. Kelas kata dibahagikan kepada tiga golongan, iaitu kelas kata isim atau kata nama, kelas kata fi’il atau kata kerja dan kelas kata harf atau kata partikel. Raja Ali Haji membahagikan setiap kelas kata tersebut kepada beberapa golongan kecil dan dihuraikan satu-persatu secara terperinci.

            Fasal 14 dan Fasal 15 pula menerangkan tentang topik unit-unit tatabahasa yang terdiri daripada ayat atau klausa, frasa dan perkataan. Unit-unit tatabahasa ini diistilahkan oleh pengarang sebagai perkataan-perkataan bagi ayat atau klausa, kata-kata untuk frasa dan kata digunakan untuk merujuk perkataan.

            Fasal 16 hingga Fasal 28 adalah berkaitan dengan pelbagai binaan sintaksis. Ayat atau klausa dijelaskan mengikut pola binaannya berdasarkan jenis-jenis subjek dan predikat yang berbeza-beza. Selain itu, pelbagai jenis binaan frasa turut dibincangkan dalam topik ini. Unit tatabahasa ketiga, iaitu perkataan pula dikatakan sebagai unsur terkecil dalam sintaksis.

            Fasal 29 pula berkaitan prinsip dan peraturan menyusun perkataan dalam membuat karangan, iaitu perkara yang perlu diutamakan dan didahulukan dalam penulisan sesebuah karangan. Fasal 30 merupakan sambungan prinsip dan peraturan dalam Fasal 29. Pengarang, iaitu Raja Ali Haji menerangkan secara terperinci termasuklah penggunaan bahasa raja-raja. Selain itu, kaedah membuat surat kiriman lengkap yang terdiri daripada pendahuluan, kandungan dan penutup turut dibincangkan dalam fasal ini.

iii)   KHATIMAH

Bahagian Khatimah atau bahagian penutup pula mengandungi tiga pesanan daripada Raja Ali Haji. Pesanan pertama ditujukan kepada para penuntut supaya sentiasa mematuhi adab, syarat dan peraturan menuntut ilmu. Pesanan kedua pula ditujukan kepada para guru. Para guru perlulah mengajar secara tertib mengikut susunan bab dan fasal. Pesanan terakhir ditujukan kepada para penyalin kitab tersebut supaya tidak mengurangkan atau melebih-lebihkan isi kandungan yang terkandung dalam kitab.

Raja Ali Haji mengakhiri penulisan dalam kitab tersebut dengan selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W, keluarga dan sahabatnya. Beliau juga memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T dengan ucapan al-hamdulillahi Rabbi ‘l-‘alamin.


Sumber :

Hashim Musa (2005). Bustan al-katibin. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan

http://www.syarifhade.com/index.php?option=com_content&view=article&id=133:bustan-al-katibin-kitab-tata-bahasa-melayu-pertama-karya-anak-negeri&catid=40:filologi&Itemid=37

http://kumpulan5kac.blogspot.com/2013/05/ulasan-karya-agung_21.html




________________________________



ULASAN KARYA AGUNG : HIKAYAT HANG TUAH

Manuskrip Hikayat Hang Tuah bertulisan Jawi milik Almarhum Tengku Ibrahim ibni Almarhum Tengku Muhammad menjadi bahan sumber utama bagi penerbitan Hikayat Hang Tuah buat kali pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1964 oleh Kassim Ahmad. Naskhah yang berjaya menambat hati para sarjana pelbagai negara ini bukanlah karya yang boleh dianggap sebagai karya sejarah. Hal ini jelas dilihat pada perkataan “Hikayat” yang menjadi pangkal judul karya agung ini. Namun demikian, teks ini diakui sebagai pelopor bentuk novel Melayu moden yang ditampilkan oleh Syed Syeikh al-Hadi menerusi Hikayat Faridah Hanum (1925).

Karya kreatif yang memuatkan elemen sejarah dan sastera ini dimulakan dengan pengenalan dan penubuhan Kesultanan Melayu Melaka yang berpusat di Singapura sebelum ke Bentan dan Melaka. Susur-galur hikayat ini dipenuhi pelbagai kisah mengenai kepahlawanan Hang Tuah dan empat bersaudara iaitu Hang Lekir, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Jebat.  Naskhah ini menampilkan Hang Tuah sebagai seorang legenda yang penuh keramat sama seperti watak Raja Melaka, Bendahara dan Temenggung yang hidup dari tarikh pembukaan kota Melaka, namun tidak disebut tentang kematiannya. Unsur realisme magis yang wujud dalam karya ini mengukuhkan kewujudannya sebagai karya kreatif yang penuh kemewahan estetik cerita dan bahasa. Hal ini sekali gus menolak usaha memperkecil karya ini sebagai naskhah tidak logik dan melanggar hukum sejarah.

Epik Melayu Hikayat Hang Tuah mengisahkan kesetiaan dan ketaatan seorang rakyat terhadap raja. Ketaatan tidak berbelah bahagi menyebabkan Hang Tuah rela berkorban nyawa demi memenuhi segala kehendak raja termasuklah menculik Tun Teja yang menjadi idaman raja. Pengkaji mendapati hikayat ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian perlawanan dan bahagian pengembaraan. Wira Hang Tuah yang berjaya memiliki keris Taming Sari menjadi titik temu dalam naskhah ini.

Satu kisah yang amat penting dalam hikayat ini ialah pertelingkahan antara Hang Tuah dengan Hang Jebat akibat perbezaan pendapat. Meskipun Hang Tuah dan Hang Jebat bersahabat sejak kecil hingga dewasa, keengganan Hang Jebat menerima ketaatan penuh Hang Tuah hingga mengorbankan nyawa menyebabkan Hang Jebat mengamuk di istana. Rasa ingin menuntut bela atas kekejaman raja yang menjatuhkan hukuman mati terhadap Hang Tuah ingin dilunasi Hang Jebat. Akhirnya Hang Jebat mati ditikam Hang Tuah.

Persahabatan, kemanusiaan atau kesetiaan terhadap raja menjadi fokus persoalan Hang Tuah dan Hang Jebat. Tingkah Hang Jebat ialah satu usaha baharu pengarang menampilkan pandangan terkini pada era itu mengenai polemik ketaatan terhadap raja yang tidak berperikemanusiaan.

Pengenalan tambahan oleh sarjana sastera Noriah Mohamed dalam edisi ini membolehkan khalayak pembaca mendapat satu gambaran yang lebih jelas dalam meneliti, memahami dan menganalisis karya agung ini. Sekiranya terdapat segelintir masyarakat sastera yang menanggap bahawa naratif penuh magis lahir dari dunia Barat, maka pembacaan terhadap karya agung

Hikayat Hang Tuah dalam Tamadun Melayu ini akan mendedahkan ilmu penulisan kreatif Melayu yang sudah lama dimesrai realisme magis menerusi watak Hang Tuah berserta segala keistimewaannya.

Sumber :

http://dwnsastera.dbp.my/?p=1156

Hassan Ahmad (2000). Pengenalan konsep dan gagasan karya agung yayasan karyawan. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.

http://karyaagung3022.blogspot.com/2013/05/ulasan-karya-agung_21.html




ANALISIS KARYA AGUNG


Hikayat Hang Tuah

Konsep Penulisan Hikayat Hang Tuah

Hikayat Hang Tuah ialah sebuah epik Melayu yang bukan sahaja terkenal dalam kalangan bangsa Melayu tetapi di seluruh Nusantara dan salah satu manuskrip atau teks yang tertua. Penulisan Hikayat Hang Tuah yang asal telah ditulis dalam tulisan jawi. Pertama kali hikayat ini telah disebut pada kurun ke-17 dan dihasilkan pada akhir kurun ke-17 serta terdapat sekurang-kurangnya 20 manuskrip teks tersebut. Hikayat ini memperlihatkan ciri-ciri kepahlawanan pada zaman kesultanan Melayu yang mencatatkan watak Hang Tuah sebagai tokoh agung dan lambang kemegahan bagi bangsa Melayu. Berdasarkan buku Hang Tuah Tokoh Epik Nasional yang ditulis oleh Ahamd Sarji, Hikayat Hang Tuah telah ditulis antara tahun 1641 dan 1721 dan menurut Soelastin Soetrisno menyatakan bahawa jurang tarikh itu boleh dirapatkan lagi iaitu antara 1676 dengan 1700.

Watak Hang Tuah yang timbul dalam penulisan hikayat ini berbeza dalam bahagian pertama dengan wataknya dalam bahagian kedua. Dalam bahagian pertama, Hang Tuah digambarkan sebagai seorang pahlawan yang gagah, garang, dan berani. Dalam bahagian kedua pula Hang Tuah digambarkan seorang pengembara, diplomat, dan ahli sufi, iaitu bijaksana, sabar, dan warak. Kemungkinan, dua watak yang berbeza itu dapat digambarkan mempunyai dua peringkat riwayat bangsa Melayu sebelum zaman moden, iaitu peringkat kebangkitannya dan peringkat kejatuhannya. Melalui sifat-sifat Hang Tuah ini boleh dijadikan sebagai role model orang lain dan sebagai bukti kebolehan yang ada dalam diri seorang anak Melayu.

Pengarang hikayat ini tidak diketahui tetapi mungkin menunjukkan bahawa beliau berasal daripada golongan pegawai Raja yang paling kanan iaitu Bendahara yang keluarganya mempunyai pertalian darah dengan Raja itu dan yang kelihatan mungkin memendam cita-cita untuk menduduki takhta. Mengikut Encyclopedia of Malaysia dalam buku Hang Tuah Tokoh Epik Nasional (2004: 3), perkataan “hikayat” ialah kata pinjaman daripada bahasa Arab yang bererti semua jenis sejarah. Dalam bahasa Melayu, erti perkataan ini telah berubah mengikut edaran masa sehingga dalam judul sesuatu karya, perkataan tersebut membawa maksud “cerita”.

 Kekuatan Pengarang

Sebagai sebuah epik, Hikayat Hang Tuah mempunyai kekuatan tersendiri antaranya daripada segi gaya penulisan, iaitu bahasa. Pengarang Hikayat Hang Tuah telah memuatkan unsur-unsur puisi dalam karyanya sebagaimana prosa Melayu yang lain. Penggunaan puisi ini mampu menjadikan cerita itu berestetik dan indah apabila dibaca oleh orang lain. Puisi ini juga dapat menyampaikan maksud sama ada secara tersirat atau tersurat dan pembaca akan berasa terhibur apabila membacanya. Puisi pantun telah diselitkan dalam karya ini bagi menambahkan keindahan bahasa cerita. Contohnya :

Kain bersuji di atas atap,

     Pakaian raja hari raya;
Jika sudi tuan santap,
     Jika tidak apakan daya.

Hang Tuah dan para sahabatnya juga pandai berpantun. Hal ini demikian jelaslah bahawa mereka suka berbalas-balas pantun dalam menyampaikan sesuatu cerita bagi memeriahkan sesuatu keadaan. Selain itu, kekuatan pengarang terserlah apabila banyak memaparkan aspek-aspek kemasyarakatan, kemanusiaan, kebudayaan, nilai-nilai moral, dan sebagainya. Aspek kemasyarakatan dapat dilihat apabila watak-watak dalam Hikayat Hang Tuah ini mengamalkan sikap kerjasama, gotong-royong, bersatu-padu, dan sebagainya. Sebagai contoh sikap gotong-royong terpamer apabila rakyat jelata bersama-sama membina istana Melaka menyiapkan sebuah kapal atau jong untuk kenaikan raja. Bagi aspek kebudayaan pula dapat diperhatikan dalam pelbagai bentuk sama ada melalui adat resam yang diamalkan seperti adat pertabalan raja, menyambut tetamu, adat bertemu dengan raja atau pembesar kerajaan, adat kenduri, dan sebagainya. Nilai-nilai moral pula dapat ditunjukkan melalui watak Hang Tuah sendiri iaitu seorang yang merendah diri, rajin dalam menuntut ilmu, semangat kesetiaan kepada raja dan sahabat, hormat-menghormati, dan sebagainya. Sikap ini perlu dicontohi oleh para pembaca sebagai motivasi diri untuk menghadapi cabaran yang lebih besar. Jika nilai-nilai positif ini tidak ada dalam diri, maka sukarlah sesuatu pekerjaan itu dapat dilakukan dengan baik malah sering mendapat masalah. Oleh itu, setiap cerita mempunyai maksud yang hendak disampaikan sama ada baik atau buruk. Perkara yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.

 Motif Pengarang

Antara motif pengarang Hikayat Hang Tuah ialah ingin mengetengahkan sifat-sifat positif yang ada dalam diri Hang Tuah itu sendiri. Jati diri Melayu terserlah melalui sifat peribadi Hang Tuah yang dianggap sebagai wira unggul Melayu dan sangat berwibawa. Sikap Hang Tuah telah dipaparkan oleh pengarang dalam pelbagai segi sama ada fizikal, mental, dan rohani. Contohnya, Hang Tuah mempunyai sifat keberanian yang tinggi dan luar biasa. Beliau mampu mengalahkan seramai 70 orang yang mengamuk ketika di Majapahit. Hal ini demikian dapat dibuktikan apabila Hang Tuah dilihat begitu bijak dalam mengatur strategi ketika berhadapan dengan 70 orang penjurit walaupun keseorangan disebabkan beliau mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam dunia persilatan untuk mempertahankan diri daripada musuh. Sifat keberanian yang ditonjolkan ini perlu ada dalam diri setiap generasi seterusnya bagi mengelakkan berlakunya penindasan dan tidak adil dalam sesuatu pentadbiran. Orang yang berada di bawah juga tidak akan terus berada di bawah sebaliknya mampu memajukan diri menjadi yang lebih baik.

Selain itu, pengarang menunjukkan kepentingan menuntut ilmu sebagai suntikan semangat kepada generasi seterusnya untuk mendalami pelbagai ilmu pengetahuan. Hang Tuah telah memantapkan diri dengan mempelajari pelbagai ilmu sama ada secara zahir dan batin. Hal ini demikian dapat dibuktikan oleh Hang Tuah apabila beliau mampu bertutur dalam 12 bahasa asing, fasih berkata-kata, dan mempunyai raut wajah yang manis serta sopan. Gambaran fizikal Hang Tuah telah diceritakan dalam hikayat ini iaitu:

“Maka Syahbandar pun kasih mesra rasanya melihat laku Laksamana berkata-kata dengan bahasa Arab itu, fasih lidahnya dengan manis mukanya berkata-kata, sangat ia merendahkan dirinya”.
(Hikayat Hang Tuah, hlm. 473)

Ketika Hang Tuah berada di Tanah Arab, Rom, Siam, India, dan China, beliau mampu bertutur dan memahami setiap bahasa yang dipertuturkan oleh masyarakat tersebut. Contohnya, Kisna Rayan telah melantik Hang Tuah sebagai wakil kerajaan Keling ke negara China kerana kepandaian Hang Tuah bertutur dalam bahasa Keling menyamai dengan penduduk di negara tersebut. Hang Tuah juga mempelajari semua ilmu hulubalang dan pertapaan. Oleh itu, pengarang ingin menunjukkan bahawa budaya ilmu amat penting sebagai manusia Melayu. Dengan kemantapan ilmu yang dimiliki oleh seseorang mampu menjadikan diri dihormati dan disegani oleh orang lain. Walau bagaimanapun, ilmu yang dimiliki mestilah digunakan secara wajar dan bukan untuk membangga diri. Inilah perkara yang ingin diterapkan oleh pengarang melalui watak-watak yang dipaparkan dalam hikayat ini.



_________________________________

Sulalatus Salatin

Konsep Penulisan Sulalatul-salatin

Sulalatul Salatin atau Sejarah Melayu merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Teks –teks yang dikenali sebagai Sejarah Melayu atau Sulalatul Salatin  ini telah melalui beberapa zaman dan dianugerah dengan sejarahnya yang tersendiri. Karya ini telah menempuh beberapa tahap perkembangan. Naskah asal karya ini telah disalin beberapa kali di Johor. Karya ini ditulis pada tahun 1612 oleh Tun Seri Lanang dan cerita secara lisan serta salasiahnya telah berkembang dalam kalangan istana sejak awal dari tahun tersebut.

Sulalatul Salatin  adalah sebuah karya yang tercipta daripada titah raja. Terdapat sebuah titah yang berbunyi :

“bahawa hamba minta diperbuat hikayat pada bendehara perteturun segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya supaya didengar oleh cucu kita kemudian dari kita dan ketahuinyalah segala perkataan, syahadah beroleh faedahnya mereka itu daripadanya”.
(Sulalatul Salatin, hlmn. 390)

Seluruh sejarah bangsa Melayu melalui karya ini dikonsepkan sebagai terdiri daripada cerita dan episod yang menjadi tapak dan petak sejarah. Dalam cerita dan episod ini terdapat peristiwa yang membawa kepada kesimpulan yang diinginkan misalnya nilai yang diunggulkan, manusia terpilih yang harus dicontohi serta kelemahan dan kejahatan yang merosakkan manusia dan negeri. Hal ini demikian seharusnya dielak dalam pembentukan sesebuah negeri. Tidak kurang juga soal hubungan antara manusia dan negeri yang aman dan berperadaban. Ruang naratif inilah yang membawa pelbagai makna yang tidak hanya menceritakan sebuah jurai keturunan raja-raja Melaka.

 Kekuatan Pengarangan

Kekuatan pengarangan yang dapat dianalisis berdasarkan karya ini ialah melalui bahasa yang disampaikan kepada pembaca. Bahasa hakikatnya berubah bergantung kepada zaman sesebuah karya itu ditulis. Karya akan diwarnai oleh perbendaharaan, cara penggunaan dan cita rasa zaman tersebut. Hal ini dapat membantu para pembaca menyelami akal budi seseorang pengarang Melayu dan dapat mencerminkan bahasa zamannya. Walaupun bahasa sesebuah teks itu dapat berubah mengikut zaman, namun bentuk aslinya masih dapat dikekalkan dan dibayangkan secara langsung kepada pembaca. Hal ini demikian kerana karya yang terhasil adalah daripada sumber bertulis dan bukan secara lisan.

Kekuatan bahasa dalam karya agung ini dibuktikan melalui penggunaan perbendaharaan kata iaitu banyak menggunakan kata-kata bahasa Melayu Kuno. Antara perkataan bahasa Malayu asli kuno yang didapati dalam karya ini seperti :

Tuha, mentuha, poawang, berparang, mutah, nulayan, nyiah, taban, junum, ejung, tujerumusy, ngeran, lasa, jengkelenar, maya, bilalang, remak, semakuk, menguliling, datu nene, bubung.

Begitu juga penggunaan imbuhan yang kita kenal sebagai /ber/, wujud dalam bentuk yang lebih pendek, /be/ yang kelihatan lebih awal sifatnya dalam perkataan seperti betingkah, belayam dan sebagainya. Terdapat juga bentuk kuno yang menyengaukan beberapa bunyi yang tidak lagi disengaukan dalam bahasa Melayu moden seperti :

menengar = mendengar
mementang  = membentang
mengantarkan = menghantarkan

Melalui penelitian dalam aspek bahasa karya ini, didapati terdapat penggunaan kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit yang telah diikitiraf dalam pekembangan awal bahasa melayu. Banyak penggunaan kata yang dipakai tanpa proses asimilasi ke dalam cara penyebutan Melayu.  Asmah haji Omar (1991: 141) juga telah mendapati terdapat pinjamaan bahasa Sanskrit yang lebih purba sifatnya dalam Sulat al-Salatin seperti :

Nugraha, manusya, binasya, basya, syegera, kerena, karunia, syurga, dan pendita

Bakat sastera pengarang karya ini diturunkan dalam pelbagai nada seperti moralistis, sering khusuk dan merujuk kepada Al-Quran dengan pandangan sejarah yang amat luas dan melihat bahawa sejarah harus dibayar dan negara adalah perjanjian rakyat dengan rajanya yang dipilih Allah sebagai gantiNya di dunia (Muhammad Haji Salleh, 1997: 5). Antara unsur yang luar biasa melalui pengarangan teks ini ialah “vignette”nya iaitu bukan saja melukis bakat sepanjang sejarah, tetapi dilukin dengan mata pena  yang halus namun tajam. Ada yang mempamerkan neurosisnya, orang nakal, pelaram, pemabuk dan sebagainya.

Terdapat juga unsur yang jelas dibawa oleh pengarang dalam Sulalatul Salatin iaitu unsur humor yang ditemui dalam halaman-halaman karya ini. Unsur humor diberikan tempat seiring dengan tragedi, keperitan hidup, penganiyaan dan penyeksaan. Dalam kajian Syed Zulfida (1976) dan Yusoff Iskandar dan Abd. Rahman Kaeh (1978: 119-134) diperlihatkan bagaimana Tun Seri Lanang kerap menggunakan unsur ini yang sering digandingkan oleh ejekan serta kecerdasan mengolah bahasa.

Motif Pengarang

Motif pengarang Melayu melalui teks yang ditulisnya tidak jauh membicarakan secara langsung mahupun tidak langsung aspek pengajaran dan kehidupan. Hal ini demikian sebagai salah satu tugas sasteranya. Berbagai-bagai cara telah digunakan untuk tujuan ini dan salah satunya ialah memberi ruang untuk menyampaikan pesanan terakhir seorang raja atau bendehara yang penting. Melalui kata-kata terakhir ini, kesimpulan daripada makna kehidupan dicerna untuk zaman dan generasi akan datang.

Cerita-cerita yang dipaparkan pengarang mempunyai unsur moral, agama dan pedagogi. Pembaca akan memperoleh maklumat tentang keturunan raja-raja Melayu dan adat istiadatnya serta peristiwa-peristiwa penting dalam perjalanan kerajaan Melayu Melaka dan jajahannya. Tambahan pula, pembaca juga diberi pengetahuan tentang kezaliman raja dan golongan bangsawan, serta bagaimana perlakuan seseorang raja yang zalim itu dibalas dengan keruntuhan negerinya. Sifat keangkuhan akan berakhir dengan kejatuhan dan pegawai yang jujur akan disanjung oleh masyarakat.


Bibliografi

Abdul Halim Bandan (1994). Hikayah Hang Tuah untuk SPM. Kuala Lumpur: Cahaya Pantai (M) sdn. Bhd

Ahmad Sarji (2004). Hang Tuah: Tokoh Epik Nasional. Selangor: Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd

Kassim Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka

Muhammad Haji Salleh (1997). Sulalat al-Salatin. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Yusoff  Iskandar dan Abd Rahman Kaeh (1985). Sejarah Melayu: Satu Perbincangan KritisDari Pelbagai Bidang. Kuala Lumpur: Heinnemann.

http://kumpulan5kac.blogspot.com/2013/05/ulasan-karya-agung_21.html